PHB Tubuh Syarikat Pengurusan Aset, Tingkatkan Dana AHB RM20 Bilion Menjelang 2030

SHAH ALAM, 7 Mei (Bernama) — Pelaburan Hartanah Bhd (PHB) menubuhkan PHB Asset Management Bhd (PHBAM), anak syarikat milik penuhnya yang akan menyediakan perkhidmatan pengurusan pakar mengenai produk pelaburan inovatif dan penyelesaian kewangan.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif PHB Mohamad Damshal Awang Damit berkata penubuhan PHBAM adalah sebahagian daripada langkah strategik kumpulan ke arah meningkatkan penyertaan dan pemilikan bumiputera dalam hartanah komersial.

“PHBAM akan menjadi wadah untuk memberi akses kepada pelabur-pelabur bumiputera melalui pengurusan berkesan dana Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) dan mungkin dana hartanah baharu pada masa hadapan.

“Bagi menyokong matlamat jangka panjang PHB, PHBAM bersedia meningkatkan dana AHB kepada RM20 bilion pada 2030 daripada RM5 bilion pada masa ini dengan memperkenalkan strategi pengedaran digital untuk menyediakan akses yang lebih besar kepada masyarakat Bumiputera yang kurang mendapat pendedahan berkenaan skim pelaburan AHB,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Pada masa ini, dana AHB diuruskan oleh Maybank Asset Management Sdn Bhd.

Mengulas lanjut mengenai penubuhan PHBAM, Mohamad Damshal berkata langkah itu akan membolehkan kumpulan mempunyai kawalan operasi yang lebih baik, memandangkan peningkatan pesat dalam pertumbuhan dana adalah kritikal kepada kumpulan itu.

“Apabila kita mengambil alih peranan ini, kita tidak mahu hanya mempunyai satu penyelesaian, tetapi pelbagai penyelesaian yang kita boleh gunakan untuk membolehkan keunikan pemegang-pemegang unit amanah AHB mendapat manfaat daripada penyelesaian lain seperti takaful, wakaf, hibah dan sebagainya pada masa hadapan, selain menerima pulangan yang stabil dan kompetitif,” katanya.

Mohamad Damshal juga berkata dengan memanfaatkan portfolio mantap 25 aset hartanah bernilai kira-kira RM10 bilion, PHB akan membawa kepakaran industri yang luas kepada PHBAM, meletakkan kedudukannya untuk terus berkembang dan berinovasi dalam pembangunan dana berlandaskan hartanah.

Mengenai bakat, Mohamad Damshal berkata PHBAM telah memilih pasukan pengasas dengan pengalaman pasaran modal yang luas, dilengkapkan oleh pasukan pengurusan utama dengan pengalaman sekitar 27 tahun.

“Saya sendiri adalah pengurus dana sebelum ini. Dan dari situ, saya dan pasukan telah memilih pasukan pengasas dengan teliti,” katanya.

PHBAM telah menerima Lesen Perkhidmatan Pasaran Modal daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia pada 22 April, 2024, untuk pengurusan dana dan urus niaga dalam sekuriti bagi unit amanah.

Sehubungan itu PHBAM kini bersedia dari segi kewangan dan pengoperasian untuk menyediakan perkhidmatan pengurusan produk pelaburan serta penyelesaian kewangan kepada PHB.

PHB ditubuhkan pada Mei 2006, diberi mandat oleh kerajaan untuk meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam pemilikan aset hartanah komersial utama di Malaysia.

PHB ialah anak syarikat Yayasan Amanah Hartanah Bumiputera.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

FCPO: Lantunan Melawan Arus Namun Trend Menurun Masih Berlangsung

  • Kekalkan pegangan jualan

FCPO mencatat lantunan melawan arus trend semalam apabila menaik MYR13 untuk ditutup pada paras MYR4,551. Komoditi ini membuka sesi dagangan pada paras lebih rendah iaitu sebanyak MYR4,534. Ia jatuh kepada paras terendah sesi hari itu sebanyak MYR4,528 sebelum minat pembelian yang kuat muncul, lalu membawanya kepada paras tertinggi berjumlah MYR4,580. Akhirnya, ia menutup dagangan berhampiran paras tertinggi berkenaan dan membentuk corak lilin menaik. Pergerakan harga yang positif ini dianggap sebagai lantunan yang melawan arus trend. RSI sekarang semakin meningkat, sekali gus menunjukkan momentum menaik kembali muncul.

Walaupun mengalami kenaikan harga, komoditi ini masih lagi berada di bawah garisan SMA 50 hari, yang mengesahkan bahawa struktur pasaran menurun dalam jangka sederhana masih kuat. Kami ramalkan tekanan jualan akan kembali menghampiri garisan SMA 50 hari sekiranya momentum menaik bertahan. Buat masa sekarang, kami tetap berpegang pada bias dagangan negatif melainkan FCPO melepasi paras MYR4,700.

Kami menyarankan para pedagang untuk terus mengekalkan pegangan jualan yang dimulakan pada penutupan 12 Mei, iaitu MYR4,481. Untuk mengurus risiko-risiko dagangan yang ada, paras ambang henti rugi kekal kukuh pada MYR4,700.

Paras sokongan pertama berada pada MYR4,390 yang diikuti oleh paras MYR4,300. Paras rintangan pertama sebaliknya berada pada MYR4,700 dan diikuti oleh paras rintangan lebih tinggi bernilai MYR4,840.