
KUALA LUMPUR, 3 Mei (Bernama) — Pemilik jenama teh gaya hidup Malaysia Tealive, Loob Holding Sdn Bhd berhasrat untuk menembusi pasaran Indonesia menjelang akhir tahun ini sekiranya berjaya mencapai sasaran sebanyak 100 cawangan Tealive di Filipina menjelang suku ketiga 2024.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Bryan Loo berkata syarikat itu telah membuka 57 cawangan Tealive di Filipina dan bercadang untuk membuka 43 lagi kedai di negara itu menjelang suku ketiga.
“Sekiranya kami berjaya mencapai sasaran dalam tempoh itu, kami akan berkembang ke pasaran Indonesia menjelang akhir tahun ini,” katanya pada sidang media selepas melancarkan kempen mengukuhkan jenama Tealive dengan slogan baharu ‘Brewing Positivity’ di sini hari ini.
Mengenai rancangan pengembangan globalnya, Loo berkata syarikat itu telah bercadang untuk menembusi tiga pasaran baharu pada setiap tahun antaranya negara di Asia Tenggara.
“Apa yang menarik, setelah meneroka pasaran Asia Tenggara, kami menyedari bahawa tabiat dan selera makan (masyarakat di sini) adalah serupa, yang membantu kami mengembangkan pasaran kami di Filipina,” katanya.
Pada masa ini, Loob mempunyai lebih 1,000 cawangan Tealive di seluruh dunia, dengan lebih lima juta pengguna di Malaysia pada setiap bulan, dan turut beroperasi di Filipina, Vietnam, Myanmar, Australia, Kemboja, Brunei, Mauritius dan Kanada.
— BERNAMA