Maybank Jangka Ringgit Naik Kepada RM4.60 Berbanding Dolar AS Akhir Tahun Ini

KUALA LUMPUR, 10 Jun (Bernama) — Maybank Research menjangkakan ringgit lebih kukuh akhir tahun ini pada RM4.60 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dengan jangkaan pengurangan 50 mata asas dalam kadar faedah AS akhir tahun ini di tengah-tengah kadar dasar semalaman (OPR) yang stabil di Malaysia.

Firma penyelidikan itu berkata tekanan terhadap ringgit berikutan faktor perbezaan kadar faedah yang menyumbang kepada kekukuhan dolar AS sejak 2022 akan mereda.

“Ringgit stabil berbanding dolar AS selepas berdepan tekanan berikutan jangkaan yang berubah-ubah mengenai masa dan kuantum pengurangan kadar faedah AS.

“Ia diniagakan dalam lingkungan RM4.68 hingga RM4.71 berbanding dolar AS daripada 15 Mei hingga 31 Mei 2024 selepas menyusut kepada paras terendah RM4.80 sebanyak dua kali tahun ini pada 20 Februari dan 16 April (akhir 2023: RM4.59 ),” katanya dalam laporan bertajuk ‘Asean Frontiers: The New Trailblazers.’

Firma penyelidikan itu berkata prestasi ringgit baru-baru ini mencerminkan prestasi dan prospek makroekonomi yang positif serta pembaharuan dan penstrukturan semula yang berterusan.

Menurutnya penglibatan pasaran tukaran mata wang asing dan verbal Bank Negara Malaysia, dan langkah tadbir untuk menggalakkan syarikat berkaitan kerajaan dan dana pelaburan — bersama-sama korporat sektor swasta termasuk pengeksport — menghantar balik pendapatan pertukaran asing dan pendapatan pelaburan mereka ke luar negara dan menukar kepada ringgit.

Mengenai OPR, katanya “sukar untuk diramal dalam domestik utama adalah inflasi” berikutan pengenalan Akaun 3 oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja sebagai lonjakan perbelanjaan pengguna daripada pengeluaran Akaun 3.

“Ini boleh menimbulkan risiko peningkatan tambahan kepada inflasi melalui inflasi tarikan permintaan, selain kesan jangkaan pelaksanaan rasionalisasi subsidi bahan api yang disasarkan tahun ini.

“Keadaan ini, seterusnya, berupaya menyumbang kepada risiko meningkat dalam unjuran OPR, yang ketika ini kami jangkakan kekal stabil pada paras semasa 3.00 peratus sehingga akhir 2025,” katanya.

Mengenai Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI), Maybank Research berkata KLCI mencatat kejayaan dalam tempoh lima bulan pertama 2024,  meningkat 7.1 peratus dalam terma dolar AS — dan tampil antara pasaran berprestasi terbaik di rantau ini.

Dari segi aliran dana, pelabur asing pada umumnya masih sebagai penjual bersih, menjual saham bernilai RM760 juta mulai Januari hingga Mei 2024, namun jualan bersih ekuiti Malaysia adalah yang terendah berbanding negara serantau.

“Bagi Mei, mereka adalah pembeli bersih yang utama dalam tempoh tiga minggu pertama tetapi kembali kepada jualan bersih pada minggu keempat,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

TalentCorp Perluas Rangkaian Industri Wanita Bagi Melahirkan Generasi Baharu Pemimpin Wanita Malaysia

KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) — Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp), badan pemikir strategik di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), telah melancarkan Kohort Mentor Rangkaian Industri Wanita (Women-Industry Network, WIN) 2025 di bawah inisiatif utama Wanita MyWira, sebagai usaha memperkukuh penyertaan, kepimpinan dan kesaksamaan wanita dalam tenaga kerja negara.

Usaha ini dilaksanakan dengan kerjasama Girls4Girls Malaysia (G4G) serta Paragon Group sebagai penaja strategik. Kohort ke-11 ini menghimpunkan lebih 300 wanita muda daripada 25 universiti dan institusi TVET di seluruh negara untuk mengikuti program bimbingan selama lima minggu yang dikendalikan oleh 41 pemimpin wanita daripada pelbagai sektor termasuk teknologi, kejuruteraan, kesihatan dan tenaga boleh baharu.

Membina Rangkaian Kepimpinan Masa Hadapan Malaysia Pengerusi Lembaga Pengarah TalentCorp, YB Wong Shu Qi, berkata bahawa WIN merupakan satu pelaburan penting dalam membina barisan kepimpinan masa hadapan negara.

“Melalui Rangkaian Industri Wanita, kita bukan sekadar melabur dalam potensi individu, tetapi dalam transformasi struktur yang diperlukan bagi mencapai sasaran penyertaan tenaga buruh wanita sebanyak 60% menjelang 2030,” katanya.

Beliau turut menambah bahawa peningkatan perwakilan dalam kalangan wanita di peringkat lembaga pengarah — kini sebanyak 33.1% bagi 100 syarikat tersenarai awam utama di Bursa Malaysia, berbanding 14% pada tahun 2015 — adalah satu perkembangan positif, namun kemajuan ini perlu diteruskan dengan usaha pembangunan kepimpinan yang berterusan.

“Untuk mencapai dan mengekalkan sasaran nasional sebanyak 30% wanita sebagai pembuat keputusan, kita perlu membina keyakinan, kemahiran dan rangkaian yang dapat memperkasa wanita untuk memimpin dan membentuk masa depan tenaga kerja Malaysia,” jelas beliau.

Menghubungkan Kemahiran dan Kepimpinan Program WIN Wanita MyWira memberi tumpuan kepada pembangunan kepimpinan, keyakinan diri dan kebolehpasaran melalui modul seperti kepercayaan, komunikasi, rundingan, etika serta khidmat awam. Para peserta dipadankan dengan mentor untuk sesi bimbingan secara individu dan pendedahan kepada cabaran sebenar dunia industri.

Inisiatif ini memperkukuh kemajuan Malaysia dalam menutup jurang gender. Jurang gaji antara jantina telah menurun daripada RM211 pada tahun 2023 kepada RM18 pada Mac 2025, manakala penyertaan tenaga buruh wanita meningkat kepada 56.2%, melebihi purata ASEAN.

Kerjasama Demi Impak Izzana Salleh, Pengasas Bersama dan Presiden Global Girls4Girls International (G4G) berkata, kerjasama dengan TalentCorp membuktikan bahawa kolaborasi berasaskan matlamat bersama mampu mempercepat kemajuan wanita.

“Kerjasama kami bersama TalentCorp melalui Rangkaian Industri Wanita membuktikan bahawa matlamat bersama — mempertingkat peranan wanita dalam kepimpinan dan penyertaan tenaga kerja — boleh diterjemahkan kepada kesan yang nyata dan berkekalan,” katanya.

Sementara itu, Kruthiga Permar, Pengarah Kanan Bahagian Jalinan Korporat dan Perkongsian di Asia School of Business, turut berkongsi pandangan beliau dengan berkata bahawa “Visi TalentCorp dalam menerajui inisiatif transformasi seperti ini amat wajar dipuji. Rangkaian Industri Wanita memberi ruang kepada wanita muda untuk berkembang, membina jaringan perhubungan dan berjaya — ia benar-benar menjadi pemangkin perubahan dalam landskap bakat Malaysia.”

Sejak diperkenalkan pada tahun 2021, Rangkaian Industri Wanita (WIN) di bawah Wanita MyWira telah membimbing lebih 1,000 wanita di seluruh negara, dengan kerjasama organisasi terkemuka seperti PETRONAS, Telekom Malaysia, Microsoft, CTOS, dan Asia School of Business. Program ini kini diperluaskan ke Sabah, Sarawak dan Pantai Timur, membuka laluan baharu bagi wanita dalam bidang STEM, TVET dan sektor teknikal.

Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada mandat TalentCorp untuk memperkukuh tenaga kerja negara serta membina ekonomi berasaskan kemahiran dan inklusif di bawah kerangka dasar Malaysia MADANI.

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.talentcorp.com.my/women