BlackRock Tidak Terlibat Dalam Penstrukturan Semula Kepentingan MAHB – GIP

KUALA LUMPUR, 21 Jun (Bernama) — Global Infrastructure Partners (GIP) menegaskan BlackRock Inc tidak pernah sama sekali terlibat dalam sebarang transaksi berhubung penstrukturan semula kepentingan dalam Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) melalui Gateway Development Alliance (GDA).

Ketua Bahagian Pengangkutan di GIP dan Pengarah GDA Phil Iley berkata seperti yang diumumkan pada Januari lepas, GIP akan diambil alih oleh BlackRock dengan transaksi tersebut dijangka akan dimuktamadkan pada suku ketiga 2024.

Beliau berkata BlackRock mengiktiraf kepakaran GIP dalam pelaburan berkaitan infrastruktur.

“Selepas transaksi ini dimuktamadkan, pihak pengurusan sedia ada GIP akan mengekalkan kawalan penuh dan tanggungjawab bagi hala tuju strategik dan operasi GIP serta syarikat-syarikat di bawah pelaburan kami,” katanya dalam jawapan bertulis kepada Bernama.

GIP merupakan pelabur infrastruktur terkemuka yang menguruskan aset bernilai US$112 bilion (RM527.5 bilion) bagi pihak pelaburnya, yang terdiri daripada kira-kira 500 institusi pelaburan di seluruh dunia. 

Pada 15 Mei lepas, GDA dan pemegang sahamnya mengumumkan tawaran sukarela prasyarat untuk mengambil alih semua saham dalam MAHB yang belum dimiliki oleh Konsortium, pada harga tawaran sebanyak RM11 sesaham yang bersamaan dengan RM18.4 bilion.

Konsortium itu diterajui oleh dua Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan Malaysia – Khazanah Nasional Bhd melalui anak syarikat milik penuhnya, UEM Group Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Iley berkata GIP memiliki kepakaran dalam pelaburan, pengurusan dan pengoperasian antara perniagaan infrastruktur terbesar dan paling rumit di dunia, termasuklah beberapa lapangan terbang.

“GIP yakin dengan potensi yang ada pada MAHB dan Malaysia serta percaya bahawa GDA boleh mengembangkan lagi MAHB menerusi inisiatif yang menambah baik pengalaman penumpang, meningkatkan keterhubungan syarikat penerbangan dan menaik taraf infrastruktur lapangan terbang.

“GIP percaya inisiatif ini akan mewujudkan manfaat ekonomi yang berpanjangan bukan sahaja bagi MAHB dan para pemegang taruhnya tetapi juga buat ekonomi dan rakyat Malaysia,” katanya.

Pelaburan dalam MAHB

Menurut Iley, tawaran yang dikemukakan oleh GDA merupakan peluang untuk menggunakan kepakaran yang ada bagi membawa penambahbaikan di MAHB yang akan memanfaatkan semua pemegang taruh termasuklah penumpang, syarikat penerbangan, kakitangan dan perniagaan lain secara lebih meluas yang berkaitan dengan lapangan terbang MAHB, daripada pelancongan hingga kepada pembuatan.

“Menerusi pelaburan yang signifikan dalam MAHB, kami dan rakan strategik lain memiliki insentif yang sangat kuat untuk memastikan ia mencapai sasaran yang telah kami gariskan.  

“Di samping itu, meskipun kami hanya merupakan pemegang saham minoriti, kami turut akan memainkan peranan selaku rakan strategik teknikal dalam GDA dan menyediakan MAHB dengan seberapa banyak sokongan dan bantuan operasi yang mereka perlukan.

“Kami bersama-sama rakan konsortium yang lain sangat optimis dan komited untuk membawa MAHB ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.

Iley turut menekankan bahawa GIP sentiasa berhasrat untuk melabur dalam aset infrastruktur utama di seluruh dunia yang menyediakan perkhidmatan penting dan menyokong pertumbuhan ekonomi. 

“MAHB memiliki peluang yang cerah untuk kembali meningkatkan kedudukan pasaran mereka dan memulihkan jaringan rangkaian penerbangan mereka yang berada di bawah paras optimum sejak beberapa tahun ini,” katanya.

Iley berkata GIP merupakan pelabur jangka panjang dan secara kebiasaannya, melabur dalam lapangan terbang tertentu selama lebih 10 tahun dan ia perlu mengambil keputusan pelaburan jangka panjang dengan rakan strategik mereka untuk memastikan lapangan terbang di bawah MAHB memiliki kapasiti yang mencukupi bagi beberapa dekad yang mendatang.

“Bagi kami, apa yang lebih penting ialah merealisasikan potensi yang ada pada rangkaian lapangan terbang ini berbanding melaksanakan usaha kami berdasarkan tarikh akhir yang sudah ditentukan.

“Seandainya transformasi ini berjaya dilaksanakan, kami akan mempertimbangkan penyenaraian semula MAHB dalam pasaran saham Malaysia pada masa depan,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Kerajaan Pelbagaikan Sumber Gas Bagi Perkukuh Keterjaminan Tenaga Negara

KUALA LUMPUR: Kerajaan mengutamakan keterjaminan tenaga negara dengan mempelbagaikan akses kepada sumber gas berskala besar yang berpotensi memperluaskan pilihan bekalan dan meningkatkan daya tahan keselamatan tenaga.

Menurut Kementerian Ekonomi, susulan keadaan pasaran tenaga global yang tidak menentu akibat ketegangan geopolitik, tumpuan terus diberikan untuk mempelbagaikan sumber bekalan dengan mengurangkan kebergantungan kepada mana-mana negara atau satu pasaran sahaja.

Jelasnya, sebarang pengimportan minyak mentah dari mana-mana negara termasuk Russia perlu dilaksanakan melalui dasar perdagangan antarabangsa dan saluran komersial yang sah.

“Perkara ini tertakluk kepada pertimbangan harga, spesifikasi produk, logistik, kaedah pembayaran, pengangkutan, insurans, undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa,” kata kementerian itu dalam jawapan bertulis Dewan Negara yang dikeluarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

Kementerian itu menjawab soalan Senator Mohd Hasbie Muda mengenai perjanjian bekalan minyak mentah, gas dan diesel selama 20 tahun dengan Russia serta bagaimana hak pengusahaan telaga gas di Turkmenistan akan diterjemahkan bagi manfaat jangka panjang kepada rakyat.

Tambah Kementerian Ekonomi lagi, peluang pengusahaan telaga gas di Turkmenistan itu dinilai berdasarkan merit komersial dan potensi sumbangannya kepada kepelbagaian sumber bekalan gas dalam jangka panjang.

Pada 20 Jun lalu, PETRONAS memeterai beberapa penjanjian baharu dengan dua syarikat Turkmenistan merangkumi Perjanjian Perkongsian Pengeluaran (PSA) yang meliputi Blok Luar Pesisir 19 dan 20, serta perjanjian kerjasama (CA) bagi kajian seismik 2D untuk blok luar pesisir utara.

PETRONAS memaklumkan bahawa kedua-dua perjanjian itu mencerminkan komitmen bersama untuk membuka peluang baharu, memperkukuh pemahaman bawah permukaan serta menyokong kedudukan Turkmenistan sebagai antara penyumbang penting bekalan tenaga serantau dan global.

Mengenai manfaatnya kepada rakyat, Kementerian Ekonomi menjelaskan bahawa usaha kerajaan mempelbagaikan sumber tenaga boleh diterjemahkan melalui tiga aspek utama iaitu memperkukuhkan keterjaminan bekalan negara melalui akses kepada sumber bekalan tenaga jangka panjang.

Selain itu, ruang yang lebih baik untuk mengurus tekanan harga dan subsidi secara teratur susulan bekalan yang lebih meluas serta meningkatkan penglibatan syarikat perkhidmatan minyak dan gas tempatan kepada rantaian nilai antarabangsa, sekali gus memperkukuh kepakaran teknikal Malaysia dan mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi.

Tambahnya, pendekatan itu tidak bermakna Malaysia akan terlindung sepenuhnya daripada turun naik harga tenaga pasaran dunia.

“Bagaimanapun, akses kepada sumber bekalan yang lebih pelbagai dan berdaya saing berpotensi menyokong kestabilan bekalan dan mengurangkan pendedahan kepada ketidaktentuan pasaran tenaga global.

“Ini seterusnya akan membolehkan Malaysia berada pada kedudukan yang lebih baik untuk melindungi kepentingan rakyat, industri dan ekonomi negara dalam jangka panjang,” tambahnya.

-BERNAMA