Selangor Dahului Sumbangan KDNK Dalam Ekonomi Sosial – Perangkaan

KUALA LUMPUR, 2 Julai (Bernama) — Pertumbuhan ekonomi Selangor pada tahun lepas menyaksikan negeri itu menerajui sumbangan dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, sebanyak 25.9 peratus.

Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata ia diikuti Kuala Lumpur (15.9 peratus), Johor (9.5), Sarawak (9.1 peratus), Pulau Pinang (7.4 peratus) dan Sabah (5.3 peratus)

“Enam negeri ini menyumbang 73.0 peratus kepada ekonomi nasional pada tahun 2023 berbanding 72.9 peratus pada 2022.

“Pada tahun 2023, ekonomi Malaysia berkembang sederhana sebanyak 3.6 peratus, namun semua negeri mencatatkan pertumbuhan positif yang menggalakkan,” katanya ketika sesi Pembentangan serta Soal Jawab Berkenaan Statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) KDNK Mengikut Negeri, 2023, secara dalam talian, hari ini.

Beliau berkata bagi prestasi ekonomi mengikut negeri pada 2023, empat negeri mengatasi perumbuhan di peringkat nasional iaitu Selangor yang berkembang 5.4 peratus, Pahang 5.2 peratus, Johor 4.1 peratus dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 3.7 peratus.

Katanya prestasi ekonomi Selangor, Pahang dan Johor dipacu oleh sektor perkhidmatan dan sektor pembuatan.

“Bagi Selangor dan Johor, sektor perkhidmatan berkembang masing-masing 6.1 peratus dan 5.4 peratus didorong pertumbuhan subsektor utiliti, pengangkutan dan penyimpanan dan maklumat dan komunikasi.

“Sementara itu, bagi Pahang, pengembangan sektor ini sebanyak enam peratus disokong oleh perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman dan penginapan,” katanya.

Mohd Uzir berkata pengembangan sektor pembuatan sebanyak dua peratus di Selangor pula disebabkan pertumbuhan subsektor peralatan pengangkutan, pembuatan lain dan pembaikan (6.2 peratus) serta produk minyak dan lemak daripada sayuran dan haiwan dan pemprosesan makanan (10.3 peratus).

Bagi Johor, sektor pembuatannya meningkat 2.8 peratus didorong pertumbuhan produk elektrik, elektronik dan optikal (2.9 peratus) manakala di Pahang, pertumbuhan 6.7 peratus bagi produk petroleum, kimia, getah dan plastik telah menyumbang kenaikan 2.1 peratus bagi sektor pembuatan negeri ini, kata beliau.

“Sementara itu, pengembangan ekonomi Kuala Lumpur dipacu oleh sektor perkhidmatan yang bertumbuh 4.9 peratus, disokong perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman dan penginapan,” katanya.

Beliau berkata pertumbuhan sektor perkhidmatan terutama di sektor perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman dan penginapan serta utiliti, pengangkutan dan penyimpanan dan maklumat dan komunikasi berupaya mengimbangi penurunan dalam sektor pembuatan di beberapa negeri.

Penurunan sektor ini disebabkan pengeluaran produk elektrik, elektronik dan optikal yang terkesan oleh permintaan global yang melemah terutama melibatkan semikonduktor, litar bersepadu dan alat ganti, kata Mohd Uzir.

“Pulau Pinang yang merupakan pengeluar utama produk elektrik dan elektronik negara merekodkan kejatuhan sektor pembuatan sebanyak 0.5 peratus disebabkan penyusutan pengeluaran produk berkenaan sebanyak 0.8 peratus.

“Bagaimanapun, pertumbuhan sektor perkhidmatan sebanyak enam peratus mengimbangi kejatuhan ini, sekali gus meningkatkan KDNK Pulau Pinang kepada 3.3 peratus,” katanya.

Beliau berkata sektor pertanian yang merupakan penyumbang ketiga terbesar KDNK nasional pada 2023, menunjukkan sedikit peningkatan sebanyak 0.7 peratus berbanding 2022 sebanyak 1.3 peratus.

“Pahang muncul sebagai peneraju utama dalam sektor ini, bertumbuh 2.5 peratus (2022: 6.8 peratus) diikuti oleh Sarawak dengan kadar pertumbuhan dua peratus (2022: 1.8 peratus) dan Melaka dengan peningkatan 6.5 peratus (2022 : 0.6 peratus),” kata Mohd Uzir.

Bagi sektor perlombongan dan pengkuarian menyumbang 6.2 peratus kepada KDNK nasional pada 2023, menunjukkan pertumbuhan marginal 0.5 peratus (2022: 3.5 peratus).

Beliau berkata sektor pembinaan yang menyumbang 3.6 peratus daripada KDNK nasional,  mencatatkan pertumbuhan sebanyak 6.1 peratus, mengukuh daripada 5.1 peratus pada tahun sebelumnya.

“Prestasi ini didorong oleh pertumbuhan dua angka di Selangor iaitu 10.2 peratus (2022: 4.2 peratus), diikuti oleh Pahang 37.1 peratus (2022: -1.0 peratus), Johor 13.2 peratus (2022: 15.9 peratus), dan Sarawak 8.3 peratus (2022: 4.0 peratus),” katanya.

Sementara itu, Mohd Uzir berkata nilai KDNK per kapita nasional pada tahun 2023 adalah RM54,612.

“Bagi prestasi mengikut negeri, lima negeri merekodkan nilai KDNK per kapita melebihi paras nasional iaitu Kuala Lumpur (RM131,038), Labuan (RM83,596), Pulau Pinang (RM72,586), Sarawak (RM72,411) dan Selangor (RM62,492),” katanya.

Mengenai prospek, beliau berkata ekonomi Malaysia bagi tahun 2024 berdasarkan Indeks Pelopor dari Januari hingga April 2024 menunjukkan prestasi ekonomi akan mengalami pertumbuhan berterusan dalam tempoh terdekat disebabkan peningkatan dalam semua komponen kecuali Import Benar Semi Konduktor.

“Indikator lain seperti keyakinan pengguna, pengeluaran perindustrian dan aliran eksport juga telah menunjukkan daya tahan dan potensi pertumbuhan.

“Faktor-faktor ini dijangka menyumbang kepada trajektori yang stabil bagi ekonomi Malaysia pada tahun akan datang,” katanya.

Mohd Uzir berkata pertumbuhan berterusan juga dapat dilihat melalui prestasi KDNK suku pertama tahun 2024 yang lebih baik dengan pertumbuhan 4.2 peratus berbanding 2.9 peratus pada suku tahun sebelumnya.

Persekitaran ekonomi yang menggalakkan ini membolehkan pasaran buruh negara mengekalkan pertumbuhan yang stabil dengan peningkatan Kadar Penyertaan Tenaga Buruh daripada 70.1 peratus pada suku keempat tahun 2023 kepada 70.2 peratus suku pertama tahun 2024, katanya.

“Kadar Pengangguran pada suku tahun pertama 2024 kekal pada 3.3 peratus seperti yang dicatatkan pada suku yang lalu.

“Bagaimanapun, cabaran seperti ketidaktentuan ekonomi global dan ketidakstabilan harga komoditi kekal sebagai faktor penting yang mempengaruhi prospek ekonomi Malaysia,” kata Mohd Uzir.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Signature Memperkasa Pusat Kechara Soup Kitchen Di Jalan Imbi Untuk Memperluas Impak Komuniti

KUALA LUMPUR: Signature International Berhad (“Signature”) hari ini memperkenalkan Pusat Dapur Pengagihan Makanan & Pemerkasaan 2-dalam-1 yang pertama seumpamanya diterajui oleh korporat, hasil kerjasama bersama Kechara Soup Kitchen (KSK).

Inisiatif ini menyaksikan pusat KSK di Jalan Imbi dinaik taraf menjadi sebuah kemudahan khusus yang menggabungkan pengagihan makanan dengan pemerkasaan komuniti.

Inisiatif ini mencerminkan kepercayaan Signature bahawa perniagaan mampu mewujudkan impak sosial yang lebih besar dengan menerapkan kepakaran yang telah dibangunkan selama bertahun-tahun.

Bagi Signature, yang telah memberi tumpuan kepada penyediaan ruang kediaman berfungsi selama lebih tiga dekad, projek ini memberi peluang untuk menyumbangkan keupayaan dalam reka bentuk, pembuatan, pemasangan serta pengurusan projek bagi menyokong keperluan KSK yang terus berkembang.

Dilaksanakan menerusi Signature Cares, platform tanggungjawab korporat jangka panjang Kumpulan, inisiatif ini memperluaskan kepakaran Signature melangkaui ruang kediaman dan ke dalam komuniti.

Signature mereka bentuk semula pusat Jalan Imbi berdasarkan keperluan operasi organisasi tersebut, di samping mewujudkan ruang yang mampu menyokong program pemerkasaan pada masa hadapan.

Selama hampir dua dekad, pusat Kechara Soup Kitchen di Jalan Imbi telah menjadi salah satu hab komuniti utama organisasi tersebut, menyediakan makanan, bantuan kebajikan serta sokongan kepada individu dan keluarga yang berdepan kesukaran.

Seiring dengan perkembangan usaha jangkauan komuniti, keperluan terhadap sebuah kemudahan yang mampu menyokong pengagihan makanan secara lebih cekap serta program yang melengkapkan penerima manfaat dengan kemahiran praktikal untuk mencapai kebergantungan diri yang lebih tinggi turut meningkat.

Dengan pengalaman lebih 30 tahun sebagai penyedia penyelesaian Total Home & Living terkemuka di Malaysia, Signature telah mereka bentuk semula dan menaik taraf keseluruhan pusat tersebut berdasarkan keperluan operasi organisasi tersebut bagi menambah baik aliran kerja, fungsi ruang serta pengalaman sukarelawan, kakitangan dan penerima manfaat.

Teras utama usaha pemerkasaan ini ialah Pusat Dapur Pengagihan Makanan & Pemerkasaan 2-dalam-1, sebuah konsep inovatif yang membolehkan ruang khusus yang sama menjalankan dua fungsi saling melengkapi. Dalam operasi harian, pusat ini menyokong penyediaan dan pengagihan makanan secara lebih cekap kepada komuniti yang memerlukan.

Selain perkhidmatan penyediaan makanan, ruang ini turut berfungsi sebagai pusat pemerkasaan yang membolehkan program memasak, membakar serta pembangunan kemahiran lain dijalankan bagi melengkapkan penerima manfaat dengan kebolehan praktikal, meningkatkan keyakinan diri dan membuka laluan ke arah kehidupan yang lebih berdikari dalam
jangka panjang.

Reka bentuk fleksibel ini membolehkan KSK memaksimumkan penggunaan satu kemudahan sepanjang hari, memenuhi keperluan komuniti semasa sambil mewujudkan peluang untuk pelaksanaan program pemerkasaan jangka panjang dalam ruang yang sama.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Signature, Encik Lau Kock Sang, berkata projek ini menunjukkan bagaimana perniagaan boleh mencipta perubahan bermakna dengan memanfaatkan kepakaran yang dimiliki.

“Apabila kami pertama kali mengunjungi pusat Kechara Soup Kitchen di Jalan Imbi, kami melihat sebuah organisasi yang telah berkhidmat kepada rakyat Malaysia yang memerlukan dengan penuh dedikasi selama lebih 20 tahun.

Persoalan bagi kami bukanlah sama ada kami perlu membantu, tetapi bagaimana kami boleh menyumbang dengan cara yang paling bermakna menggunakan kepakaran yang telah kami bina selama lebih tiga dekad.

“Kepercayaan tersebut menjadi asas kepada Signature Cares. Setiap perniagaan memiliki keupayaan yang melangkaui produk atau perkhidmatan yang ditawarkan. Apabila keupayaan tersebut dimanfaatkan untuk memenuhi keperluan komuniti sebenar, ia mampu mencipta nilai berpanjangan yang jauh melangkaui satu-satu projek,” katanya.

Pengurus Besar Kechara Soup Kitchen, Encik Justin Cheah Kok Leong, berkata kemudahan yang telah dinaik taraf ini merupakan pencapaian penting dalam usaha berterusan organisasi tersebut untuk membantu komuniti yang memerlukan.

“Pusat yang telah dinaik taraf ini membolehkan kami menyediakan dan mengagihkan makanan dengan lebih cekap, di samping menyediakan persekitaran khusus untuk program yang membantu penerima manfaat membina kemahiran praktikal serta keyakinan diri. Ia memberikan kami fleksibiliti yang lebih besar untuk memenuhi keperluan semasa sambil melabur dalam usaha pemerkasaan jangka panjang,” jelasnya.

Sebagai sebahagian daripada Inisiatif Sumbangan Bank Makanan Signature (Signature Food Bank Donation Initiative), para Signatorians turut bersama-sama menyumbangkan barangan makanan kering asas berdasarkan senarai keperluan yang disediakan oleh Kechara Soup Kitchen.

Barangan yang dikumpulkan akan diserahkan kepada Kechara Soup Kitchen bagi menyokong usaha berterusan organisasi tersebut dalam membantu komuniti yang memerlukan.

Kerjasama ini menandakan permulaan kepada perkongsian jangka panjang antara Signature dan Kechara Soup Kitchen, dengan kedua-dua organisasi meneroka peluang bagi inisiatif sukarelawan, aktiviti penglibatan komuniti serta program pemerkasaan pada masa hadapan di bawah Signature Cares.