Nilai Pasaran Fintech Malaysia Capai US$100 Bilion Lima Tahun Akan Datang

KUALA LUMPUR, 24 Julai (Bernama) — Nilai pasaran teknologi kewangan (fintech) Malaysia dijangka meningkat dua kali ganda kepada US$100 bilion (US$1 = RM4.6720) dalam tempoh lima tahun akan datang.

Presiden Persatuan Fintech Malaysia Wilson Beh berkata pada masa ini pasaran fintech dianggarkan bernilai US$50 bilion.

Beliau berkata sektor itu dibina dan sangat bergantung kepada beberapa pencapaian penting yang dibangunkan dalam pasaran seperti DuitNow dan sistem pembayaran rentas sempadan.

“DuitNow bukan sahaja digunakan di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru atau George Town, tetapi jika anda pergi ke pekan-pekan kecil, pembayaran tanpa tunai kini sudah menjadi kebiasaan.

“Mengenai pembayaran rentas sempadan, e-dompet anda boleh digunakan untuk membuat urus niaga masa nyata di Singapura dan Thailand. Ini telah dilakukan dan dipermudahkan melalui Projek Nexus dan beberapa kerjasama utama antara bank-bank pusat di rantau ini,” kata beliau dalam ucaptamanya di Persidangan Teknologi di Asia 2024 di sini hari ini.

Beh berkata pembangunan proses Kenali Pelanggan Anda (eKYC) secara elektronik dan pengenalan bank digital juga telah meningkatkan pasaran sektor itu.

“EKYC juga telah menjadi penting, ia menjadi kebiasaan di Malaysia, dan ia akan membantu inisiatif Identiti Digital Nasional dengan memanfaatkan eKYC.

“Kita mempunyai tiga bank digital, saya rasa pasaran menjangkakan dua lagi,” kata Beh.

Sementara itu, beliau berkata Malaysia juga sentiasa berada di kedudukan nombor satu dalam indeks fintech Islam global, disokong oleh industri kewangan Islam yang kukuh.

Pada masa depan, beliau berkata industri sedang menunggu undang-undang dan peraturan daripada pasukan petugas Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna (CCOB).

CCOB yang berada di bawah Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan mengawal selia model perniagaan inovatif seperti beli sekarang bayar kemudian (BNPL), kata Beh.

Menurut beliau, fasa tiga Projek Nexus yang akan siap bakal menjadi pembangunan utama bagi sektor fintech dalam beberapa bulan akan datang.

“Ini menjanjikan pelaksanaan pembayaran rentas sempadan untuk generasi seterusnya, membuka peluang untuk Asean lebih bersatu sebagai blok ekonomi.

“Bagi Malaysia, ini juga adalah nilai penting terutamanya kerana negara ini akan menjadi Pengerusi Asean pada tahun depan,” tambahnya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

BNM, SC Selaraskan Keutamaan Strategik dalam Memajukan Kepimpinan Kewangan Islam Global Malaysia

Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) semalam telah melangsungkan mesyuarat sulung Panel Penasihat (MAP) Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC).

MAP, platform nasihat dan perundingan antara agensi, telah ditubuhkan untuk mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai pasaran global terkemuka dan pintu masuk antarabangsa untuk kewangan Islam.

Pada mesyuarat tersebut, ahli-ahli membincangkan peranan utama MAP untuk:

  • Menyediakan Panduan Strategik: Memperhalusi dan menyokong keutamaan strategik Rangkaian Perniagaan MIFC (MBN), platform yang dipimpin oleh industri bertujuan untuk memperkukuh  agenda kewangan Islam antarabangsa Malaysia dan usaha pembangunan perniagaan;
  • Menyelaraskan Keutamaan Negara: Memastikan inisiatif yang dipimpin industri mempunyai sumber yang mencukupi dan sejajar dengan strategi ekonomi negara yang lebih luas;
  • Memajukan Hasil Perniagaan: Membincangkan cabaran industri dan menyediakan cadangan yang boleh diambil tindakan untuk memangkin pertumbuhan yang lebih kukuh; dan
  • Memanfaatkan Peluang Global: Memanfaatkan pandangan kolektif untuk meningkatkan penyertaan antarabangsa dan kerjasama rentas sempadan.

MAP menyatukan agensi-agensi  utama kerajaan, badan kawal selia dan peneraju industri, dalam memastikan pendekatan yang holistik untuk memajukan agenda MIFC.

Dipengerusikan bersama oleh BNM dan SC, MAP terdiri daripada wakil daripada:

  1. Kementerian Kewangan
  2. Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri
  3. Bursa Malaysia
  4. Kumpulan Wang Simpanan Pekerja
  5. Khazanah Nasional Berhad
  6. Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan)
  7. Permodalan Nasional Berhad
  8. Lembaga Tabung Haji
  • Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan
  • Tan Sri Azman Mokhtar (Business Envoy)
  • Tan Sri Abdul Wahid Omar (Business Envoy)

Penubuhan MAP bertepatan dengan peralihan rasmi Majlis Kepimpinan MIFC (MLC) ke dalam MBN. Evolusi ini menandakan peralihan ke arah pengawasan yang lebih besar yang dipimpin oleh industri, disokong oleh kerjasama erat antara sektor awam dan swasta.

Berteraskan asas yang didirikan oleh MLC, MBN akan memacu dan melaksanakan keutamaan strategik untuk membuka peluang perniagaan untuk Malaysia. Bagi mempercepatkan momentum ini, panduan dan sokongan MAP akan memainkan peranan penting dalam memangkinkan pertumbuhan Malaysia dan mengukuhkan kedudukannya sebagai hab kewangan Islam yang terhubung secara global.