PM Anwar Umum Sumbangan RM1 Juta Kepada NCCIM

PETALING JAYA, 25 Julai (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan sumbangan RM1 juta kepada Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) atas sokongan kepada usaha kerajaan menggalakkan pelaburan domestik dan antarabangsa.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada NCCIM atas dorongan yang diberikan dalam menyelaraskan dan memahami dasar kerajaan di samping memperkasakan rakyat.

Ucapan itu turut diberikan susulan sokongan dewan perniagaan itu dalam setiap lawatan, tanpa pengecualian, ke negara asing untuk menggalakkan pelaburan baharu, kata beliau.

“Usaha oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan agensi kerajaan lain tidak mungkin berjaya tanpa sokongan penuh NCCIM,” kata beliau pada majlis makan malam gala ulang tahun ke-62 NCCIM di sini, pada Khamis.

Perdana Menteri berkata kerajaan akan mempertimbangkan cadangan baharu dan saranan NCCIM yang melibatkan antaranya peralihan tenaga, pendidikan, transformasi digital, pembinaan kapasiti perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta jaminan makanan.

Cadangan itu ialah mewujudkan dana alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) negara untuk mencapai Karbon Sifar Bersih pada 2050.

Satu lagi cadangan adalah untuk menubuhkan dana perantisan bagi pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) kebangsaan bertujuan meningkatkan latihan vokasional, dengan Suruhanjaya TVET sebagai badan tunggal untuk mengurus dan mengawal pembangunan TVET.

Dalam pada itu, Anwar berkata pada masa ini, kerajaan memperbaiki kelemahan yang ada antaranya mempercepat kelulusan pelaburan di samping melakukan penyesuaian yang perlu agar program yang dirangka dapat dijalankan dengan lebih lancar.

“Saya sentiasa menekankan keperluan dan pengiktirafan kepada usaha rakan domestik kita kerana tanpa pautan dan ekosistem yang dibina oleh perusahaan domestik kita, adalah sukar untuk menggalakkan pelaburan asing masuk ke Malaysia.

“Jadi, peranan anda (NCCIM) adalah penting dan utama untuk memastikan kejayaan Ekonomi MADANI,” kata beliau.

Sementara itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata sumbangan kepada NCCIM itu adalah kali pertama dalam tempoh empat tahun.

“Terdapat kira-kira 700,000 syarikat di bawah NCCIM yang banyak membantu kerajaan dalam misi pelaburan dan perdagangan.

“Mereka juga menjadi jambatan antara kerajaan dan syarikat,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis itu.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

PNB Institusi Pelaburan Keempat Terbaik Global Dalam Skor GSR

KUALA LUMPUR: Permodalan Nasional Bhd (PNB) mencatat pencapaian baharu apabila menduduki tempat keempat terbaik di peringkat global dalam Papan Skor Governance, Sustainability and Resilience (GSR) 2026 yang diterbitkan oleh Global SWF.

PNB turut mengekalkan kedudukan sebagai institusi pelaburan milik negara dengan penarafan tertinggi di Malaysia dalam penilaian yang membabitkan lebih 200 institusi pelaburan milik kerajaan di seluruh dunia.

Dalam penarafan itu, PNB memperoleh markah keseluruhan 88 peratus, merangkumi 90 peratus bagi tadbir urus, 100 peratus untuk kelestarian dan 60 peratus bagi aspek daya tahan.

Pencapaian berkenaan menunjukkan peningkatan ketara berbanding kedudukan ke-17 yang direkodkan pada tahun lalu, sekali gus mencerminkan usaha berterusan organisasi memperkukuh tadbir urus serta amalan perniagaan yang bertanggungjawab.

Menurut PNB, skor penuh bagi komponen kelestarian diberikan berdasarkan kekuatan rangka kerja tadbir urus, ketelusan pendedahan maklumat, komitmen terhadap agenda iklim dan penerapan pertimbangan kelestarian dalam aktiviti pelaburan.

PNB juga memaklumkan bahawa pihaknya memperbaharui Rangka Kerja Kelestarian dengan memberi tumpuan kepada tiga teras strategik iaitu Kelestarian Organisasi, Kepengurusan Bertanggungjawab dan Pembangunan Negara.

Selain itu, antara faktor yang menyokong pencapaian itu ialah kejayaan memenuhi sasaran Perusahaan Sifar Bersih bagi pelepasan Skop 1 dan Skop 2 pada 2025 serta usaha memperkukuh aspirasi Portfolio Sifar Bersih menjelang 2050.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Rizal Rickman Ramli, berkata peningkatan daripada tangga ke-17 kepada tangga keempat global dalam tempoh setahun mencerminkan usaha kolektif organisasi memperkukuh tadbir urus dan daya tahan institusi.

“Pencapaian ini mencerminkan kemajuan yang telah kami capai dalam memperkukuh tadbir urus, menerapkan amalan yang bertanggungjawab dan membina organisasi yang lebih berdaya tahan.

“Pencapaian skor kelestarian sempurna ini merupakan pengiktirafan yang amat bermakna kepada PNB kerana ia mencerminkan komitmen dan usaha berterusan kami untuk mengintegrasikan pertimbangan kelestarian ke dalam cara kami beroperasi, melabur dan melaksanakan kepengurusan.

“Menerusi Rangka Kerja Kelestarian yang telah diperbaharui, kami terus memperkukuh pendekatan yang lebih holistik, berteraskan kelestarian organisasi, kepengurusan bertanggungjawab dan pembangunan negara,” katanya.

— Berita Harian