InvestKL Tarik Pelaburan RM3.3 Bilion, Wujud 3,389 Pekerjaan

KUALA LUMPUR, 25 Julai (Bernama) — Invest KL Corporation (InvestKL) memperoleh RM3.3 bilion dalam pelaburan dan mencipta 3,389 pekerjaan serantau bernilai tinggi dengan penubuhan enam hab perkhidmatan global pada separuh pertama 2024 walaupun menghadapi cabaran global semasa.

Hab perkhidmatan ini merangkumi pusat data, pusat kecemerlangan, pusat operasi global, hab perkhidmatan perniagaan global Asia Pasifik, pusat pelaksanaan kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pemasangan serta ibu pejabat makmal digital oleh syarikat dari Amerika, Eropah dan Asia.

InvestKL berkata pelaburan ini mengesahkan tarikan Greater Kuala Lumpur ( Greater KL) sebagai destinasi pelaburan utama walaupun persekitaran global yang mencabar.

“Daya tarikan Greater KL disokong oleh kemudahan negara dalam menjalankan perniagaan, infrastruktur yang mantap, kumpulan bakat mahir termasuk ekosistemnya yang bertenaga, dipacu oleh kerjasama dan inovasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

InvestKL ialah agensi promosi pelaburan untuk Greater KL. 

Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Muhammad Azmi Zulkifli berkata keputusan separuh pertama tahun ini  menunjukkan impak berterusan InvestKL dalam mengukuhkan status Greater KL sebagai destinasi pelaburan serantau terbaik.

“Ini sejajar dengan sasaran 2024 kami untuk menarik hab perkhidmatan global dengan tumpuan kepada teknologi dan aktiviti termaju yang akan merangsang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada rakyat Malaysia.

“Melalui penglibatan kami, sudah terbukti bahawa lebih banyak minat kini tertumpu kepada Malaysia, dan banyak syarikat global tidak sabar untuk memanfaatkan kelebihan negara bagi memperdalam pelaburan mereka serta meluaskan kehadiran serantau mereka dari Greater KL,” katanya. 

InvestKL menegaskan Malaysia mencatatkan kemajuan pelaburan suku pertama 2024 yang mengagumkan iaitu sebanyak RM83.7 bilion, peningkatan 13 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

“Sejumlah 47 peratus atau RM39.3 bilion adalah daripada sektor perkhidmatan, menandakan peralihan ke arah pelaburan berorientasikan perkhidmatan,” katanya.

Sehingga hari ini, agensi pelaburan itu telah menarik lebih 140 hab perkhidmatan global oleh syarikat terkemuka yang menggaji lebih 27,000 eksekutif dengan purata pendapatan bulanan sebanyak RM17,000.

“Dengan jangkaan pertumbuhan ekonomi Malaysia sebanyak empat peratus hingga lima peratus tahun ini , dipacu oleh pelaburan yang bertambah baik dan permintaan luar, hala tuju strategik InvestKL akan menumpukan pada menarik perkhidmatan global daripada sektor utama seperti digital dan teknologi, kejuruteraan, teknologi kesihatan, serta tenaga boleh diperbaharui, sambil turut menekankan pembangunan modal insan,” tambahnya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Akta Sewa Beli Baharu Kukuh Hak Pengguna, Pembiayaan Lebih Telus

KUALA LUMPUR: Penguatkuasaan Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026 yang bermula bulan ini dilihat sebagai langkah penting untuk memperkukuh perlindungan pengguna, meningkatkan ketelusan pasaran pembiayaan serta memodenkan urusan sewa beli menerusi penggunaan teknologi digital.

Pengarah Program MBA Putra Business School (PBS), Prof Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, berkata penguatkuasaan pindaan berkenaan memberi ruang kepada pengguna mengurangkan komitmen pinjaman sekiranya mereka membuat penyelesaian awal atau pembayaran tambahan terhadap pinjaman yang diambil.

Beliau berkata, penjimatan yang diperoleh bergantung kepada jumlah bayaran awal atau tambahan yang dibuat oleh pengguna sepanjang tempoh pembiayaan.

“Apabila penguatkuasaan ke atas pindaan Akta Sewa Beli bermula, ia akan memberi ruang kepada pengguna untuk mengurangkan komitmen pinjaman mereka jika mereka mengambil keputusan membuat penyelesaian awal atau pembayaran tambahan terhadap pinjaman.

“Penjimatan yang diperoleh bergantung kepada jumlah bayaran awal atau tambahan yang dibuat,” katanya kepada BH.

Mengulas lanjut, Ahmed Razman berkata, pindaan berkenaan turut membantu pengguna membuat keputusan kewangan yang lebih memihak kepada kepentingan mereka, namun manfaat itu hanya dapat dimaksimumkan sekiranya pengguna mempunyai kefahaman dan literasi kewangan yang mencukupi.

Katanya, pengguna perlu memahami sepenuhnya perubahan yang diperkenalkan menerusi akta baharu itu supaya mereka dapat menilai pilihan pembiayaan dengan lebih tepat dan berkesan.

Beliau turut menjelaskan, pindaan yang membenarkan penggunaan dokumentasi serta tandatangan digital dalam urusan sewa beli akan memberikan manfaat daripada pelbagai sudut termasuk mempercepatkan proses transaksi dan meningkatkan tahap keselamatan.

“Transaksi dapat dilaksanakan dengan lebih cepat dan selamat selain membantu mengurangkan kos transaksi yang ditanggung oleh pengguna dan pihak berkaitan,” katanya.

Beliau berkata, dalam jangka panjang, pindaan berkenaan dijangka meningkatkan perlindungan kepada pengguna selain mendorong industri menawarkan perkhidmatan yang lebih mesra pelanggan serta kadar pembiayaan yang lebih kompetitif.

Sementara itu, Pengarah Pakar Strategi Pelaburan dan Ahli Ekonomi Negara IPP Wealth Managers Ltd, Mohd Sedek Jantan berkata, pindaan itu tidak semestinya menjamin penjimatan automatik kepada semua peminjam dari segi jumlah ansuran atau kadar pembiayaan yang ditawarkan.

Namun, beliau berkata, perubahan itu mewujudkan struktur pengiraan faedah yang lebih adil kerana ia mencerminkan kos pembiayaan sebenar yang ditanggung oleh pengguna melalui penggunaan kaedah baki berkurangan atau ‘reducing balance’.

“Di bawah kaedah lama, faedah dikira berdasarkan jumlah pinjaman asal sepanjang tempoh pembiayaan menyebabkan sebahagian besar bayaran pada tahun-tahun awal digunakan untuk membayar faedah.

“Sebaliknya, di bawah kaedah baki berkurangan, faedah hanya dikenakan ke atas baki prinsipal semasa. Oleh itu, setiap bayaran tambahan yang dibuat akan terus mengurangkan prinsipal dan seterusnya mengurangkan jumlah faedah yang perlu dibayar pada masa hadapan,” katanya.

Mohd Sedek berkata, sebagai contoh, pengguna yang mengambil pembiayaan kenderaan sebanyak RM100,000 bagi tempoh sembilan tahun dan membuat bayaran tambahan RM10,000 selepas lima tahun akan menikmati pengurangan baki prinsipal yang seterusnya mengurangkan caj faedah pada tahun-tahun berikutnya.

Katanya, kesan paling ketara akan dinikmati oleh pengguna yang mengamalkan disiplin kewangan yang baik termasuk membuat penyelesaian awal, bayaran tambahan secara berkala atau memilih tempoh pembiayaan yang lebih pendek.

Beliau menjelaskan, antara perkara paling penting yang perlu diberi perhatian oleh pengguna bukanlah kadar faedah yang kelihatan rendah, sebaliknya jumlah sebenar yang perlu dibayar sepanjang tempoh pinjaman.

Katanya, penggunaan kadar faedah efektif (EIR) dan kaedah baki berkurangan membolehkan pengguna melihat gambaran lebih jelas mengenai kos sebenar pembiayaan, sekali gus membantu mereka membuat keputusan berdasarkan kemampuan kewangan sebenar dan bukan sekadar tertumpu kepada jumlah ansuran bulanan.

“Ketelusan yang lebih tinggi membantu pengguna membuat keputusan yang lebih bermaklumat, mengelakkan komitmen hutang yang berlebihan dan menggalakkan amalan peminjaman yang lebih bertanggungjawab.

“Ini bukan sekadar soal formula pengiraan faedah, tetapi membantu rakyat memahami implikasi kewangan sesuatu pinjaman sebelum mereka membuat komitmen yang mungkin berlangsung sehingga tujuh atau sembilan tahun,” katanya.

— Berita Harian