Jangkaan Permintaan Tinggi Pada Deepavali Dorong Niaga Hadapan MSM Ditutup Tinggi

KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) — Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi pada Isnin di tengah-tengah jangkaan permintaan yang tinggi menjelang perayaan Deepavali, kata Penganalisis Kanan Fastmarkets Sathia Varqa.

Deepavali akan disambut pada 31 Okt dan perayaan itu dijangka memacu permintaan yang kukuh untuk minyak masak, merangsang kontrak niaga hadapan MSM.

Penganalisis itu memberitahu Bernama, pasaran kini sedang menunggu data eksport Malaysia dari 1-20 Ogos, yang dijadualkan esok untuk menentu hala tuju pasaran.

Sementara itu, peniaga minyak sawit David Ng berkata harga minyak kacang soya yang lebih kukuh turut membantu menaikkan sentimen pasaran.

“Kami mendapati paras sokongan pada RM3,650 satu tan dan paras rintangan pada RM3,850 satu tan,” katanya.

 Pada penutup dagangan, kontrak bulan semerta September 2024 naik RM52 kepada RM3,924 satu tan, Oktober 2024 meningkat RM52 kepada RM3,804 satu tan dan November 2024 bertambah RM40 kepada RM3,721 satu tan.

Kontrak Disember 2024 melonjak RM27 kepada RM3,686 satu tan, Januari 2025 naik RM19 kepada RM3,672 satu tan dan Februari 2025 meningkat RM13 kepada RM3,668 satu tan.

Jumlah dagangan meningkat kepada 70,934 lot berbanding 62,644 lot ketika ditutup pada Jumaat, manakala kepentingan terbuka bertambah kepada 228,716 kontrak daripada 225,277 kontrak sebelumnya.

Harga MSM fizikal bagi Ogos Selatan naik sebanyak RM30 kepada RM3,950 satu tan.

— BERNAMA

Dapatkan Ilmu Betul Untuk Trade FCPO!

Khas untuk pembaca setia MajalahLabur, sertai webinar khas step-by-step untuk anda yang berminat nak tahu selok-belok berdagang Futures.

Pra-daftar dahulu untuk jadi yang terawal dapat info bila kami buka pendaftaran nanti!

Previous ArticleNext Article

FCPO: Menurun Sekali Lagi

  • Kekalkan pegangan belian

FCPO melanjutkan fasa mendatarnya pada hari Isnin apabila ia menurun MYR63 untuk ditutup pada paras MYR4,534. Ia membuka sesi dagangan pada harga MYR4,620 dan tindakan pengambilan untung mengheretnya ke paras terendah intrahari pada MYR4,531. Komoditi ini kemudiannya ditutup pada harga MYR4,534, dengan menyasarkan paras sokongan MYR4,500 selepas menembusi paras sokongan sebelumnya pada MYR4,550. Meskipun penurunan berlaku, struktur trend kenaikan secara meluasnya masih bertahan, dengan garisan SMA 50 hari masih bergerak ke atas.

RSI pula terus bergerak lebih rendah, sekali gus mencerminkan rentak kenaikan yang mereda. Paras sokongan terdekat sekarang adalah pada MYR4,500, yang mungkin membataskan pergerakan menurun lanjut dan membuka ruang untuk lantunan teknikal ke arah paras rintangan MYR4,680. Melainkan FCPO jatuh bawah paras sokongan MYR4,400, penurunan yang berlaku baru-baru ini akan dianggap sebagai fasa koreksi yang baik dalam kerangka kenaikan. Pada ketika ini, kami tetap berpegang pada bias dagangan positif.

Para pedagang disarankan untuk mengekalkan pegangan belian yang dimulakan pada penutupan 6 Mac (MYR4,367). Untuk mengurus risiko-risiko dagangan yang ada, paras ambang henti rugi ditetapkan pada MYR4,400.

Paras sokongan awal kini berada pada MYR4,500 dan diikuti oleh paras MYR4,400. Bagi pergerakan menaik, paras rintangan terdekat ialah MYR4,680 dan diikuti oleh paras ambang MYR4,800