JLand Group Bekerjasama Dengan Zaha Hadid Architects Dalam Pembangunan Bercampur Di Johor

JOHOR BAHRU, 20 Ogos (Bernama) — JLand Group Sdn Bhd (JLand), anak syarikat milik penuh Johor Corporation, bekerjasama dengan Zaha Hadid Architects yang berpangkalan di United Kingdom untuk membangunkan presint Discovery City dalam perbandaran Ibrahim Technopolis (IBTEC).

Menurut JLand dalam kenyataan hari ini, pembangunan bercampur itu, meliputi kira-kira 235.53 hektar dalam IBTEC seluas 2,950.16 hektar, akan menampilkan Zaha Hadid Architects sebagai pereka utama, dengan AJM-Planning and Urban Design Group Sdn Bhd menjadi perancang induk tempatan dan pihak utama yang menyerahkan pelan perintah pembangunan untuk Discovery City.

JLand menekankan projek itu akan mematuhi piawaian tempatan dan antarabangsa, termasuk Rangka Kerja Bandar Rendah Karbon Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia serta pensijilan Kepimpinan dalam Tenaga dan Rekabentuk Alam Sekitar.

“Komitmen ini penting untuk transformasi IBTEC menjadi pembangunan mesra alam dan mampan, meningkatkan statusnya di peringkat global,” katanya.

Menurut JLand, reka bentuk Discovery City memberikan keutamaan kepada integrasi harmoni dengan persekitaran semula jadi Johor, dengan bangunan utama dalam pembangunan bercampur itu dikenali sebagai Signature Gallery, diunjurkan mencecah nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM269 juta apabila siap.

Timbalan Pengerusi JLand Datuk Akmal Ahmad berkata kerjasama itu mencerminkan komitmen syarikat terhadap kerjasama serantau dan antarabangsa dalam membangunkan IBTEC.

“IBTEC direka untuk menjadi hab termaju, terletak secara strategik dan dibina dengan infrastruktur pintar untuk memacu inovasi selain memastikan pertumbuhan yang mampan.

“Pembangunan ini dijangka meningkatkan kedudukan IBTEC di rantau ini sebagai destinasi pelaburan dan komponen utama dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), yang bernilai berbilion ringgit, mewujudkan peluang pekerjaan untuk masyarakat setempat dan mengukuhkan kedudukan JLand sebagai pemaju hartanah yang menyeluruh,” katanya.

Bakal menjadi bandar mampan utama dalam JS-SEZ dengan GDV sebanyak RM27 bilion, IBTEC akan menjadi destinasi utama untuk pengembangan strategik di wilayah selatan Malaysia.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

seeNI Memperkenalkan Hala Tuju Baharu Menghubungkan Kandungan, Komuniti dan Komersial

PETALING JAYA, 29 Oktober 2026 – Nu Ideaktiv Sdn Bhd, syarikat usaha sama antara Astro dan Kumpulan Media Karangkraf, menyatukan portfolio jenama medianya di bawah jenama seeNI sebagai sebahagian daripada strategi untuk membuka peluang pertumbuhan baharu melalui kandungan berjenama, penajaan, kempen yang melibatkan bakat dan kerjasama komersial.

Berteraskan Komuniti, Kandungan dan Komersial, peralihan ini menggantikan identiti Nu Ideaktiv kepada seeNI. Langkah ini menyediakan satu pintu masuk kepada pengiklan dan agensi untuk mengakses jenama media, bakat komuniti dan kepakaran kreatif syarikat bagi mencapai matlamat perniagaan yang sama.
Portfolio ini merangkumi antaranya seeNI Creator Academy, Media Hiburan, Borak seeNI, NONA, Remaja, Roda Panas, Rasa, Mingguan Wanita, Keluarga dan Pa&Ma. Penyatuan kekuatan jenama ini bertujuan memperluas nilai komersial merentas minat dan peringkat kehidupan khalayak, melangkaui penawaran berasaskan satu jenama atau penempatan iklan secara berasingan.

Melalui tiga tunjang tersebut, Komuniti menghubungkan khalayak melalui minat dan pengalaman bersama; Kandungan menggabungkan jenama media, penceritaan, kepakaran produksi dan bakat; manakala Komersial menterjemahkan hubungan itu kepada peluang kempen bersepadu, penajaan dan kerjasama. Gabungan ini menjadi asas untuk memadankan matlamat pelanggan dengan khalayak serta pendekatan interaksi yang bersesuaian.

Ketua Pegawai Eksekutif Nu Ideaktiv Sdn. Bhd., Encik Syamil Fahim Mohamed Fahim, berkata,
“Peralihan daripada Nu Ideaktiv kepada seeNI bukan sekadar perubahan identiti jenama. Ia mencerminkan aspirasi kami untuk menghimpunkan jenama media, bakat dan komuniti dalam satu ekosistem yang lebih bersepadu, sekali gus mewujudkan nilai yang lebih besar kepada pengguna dan rakan komersial kami.

Menerusi Komuniti, Kandungan dan Komersial, kami mahu melangkaui penempatan iklan secara berasingan dengan menawarkan peluang yang lebih menyeluruh kepada jenama untuk berhubung dengan khalayak melalui kandungan yang relevan, bakat dan penglibatan yang bermakna. Dalam melangkah ke fasa baharu ini, keutamaan kami adalah untuk memperkukuh kerjasama, membuka peluang pendapatan baharu dan membina perniagaan yang lebih mampan untuk masa hadapan.”

Menerusi seeNI Collective, seeNI menggabungkan kekuatan kandungan, komuniti, bakat kreatif dan rakan strategik untuk membuka peluang kerjasama melangkaui pengiklanan konvensional. Antara kerjasama yang diketengahkan termasuk TVS dan Novel Karangkraf dalam penerbitan serta adaptasi kandungan, Komet Productions dalam usaha memperkasa bakat baharu industri kreatif menerusi seeNI Story Lab, serta Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) dan Fashionably Modest Asia (FMA) dalam bidang fesyen dan gaya hidup. Kesemua kerjasama ini bertujuan memperluas peluang untuk jenama berhubung dengan audiens melalui pelbagai platform dan pengalaman.

Sementara itu, seeNI Talent dirangka untuk memadankan bakat yang sesuai dengan kandungan, kempen jenama, acara dan peluang komersial berdasarkan rekod kerja, kesesuaian khalayak serta kesediaan bakat untuk terlibat. Kedua-dua penawaran ini menyokong penyelesaian yang lebih bersepadu kepada keperluan pelanggan dengan menggabungkan keupayaan mengikut khalayak sasaran dan matlamat komersial.

The New World of seeNI – mengetengahkan hala tuju seeNI hari ini di D’Theatre Malaysia, Hextar World at Empire City. Acara ini memperkenalkan barisan kandungan seeNI untuk tahun 2027, barisan bakat serta peluang kerjasama kepada pengiklan, peneraju jenama dan pemain industri lain.

Acara ini menandakan satu pencapaian komersial penting dalam transformasi berterusan seeNI. Berpandukan More Begins Here, seeNI berhasrat menyediakan sebuah destinasi bersepadu yang membolehkan pelanggan meneroka lebih banyak kandungan, di samping membuka peluang baharu untuk perniagaan berkembang.