Malaysia Sedia Penuhi Peningkatan Permintaan India Bagi Minyak Sawit – Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) — Malaysia sentiasa bersedia memenuhi peningkatan permintaan India bagi minyak sawit menerusi jalinan kerjasama dengan syarikat-syarikat pengimport utama seperti Emami Agrotech Ltd.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata Emami Agrotech merupakan antara pengimport minyak sawit terbesar di India dan pertemuan dengan syarikat itu di negara berkenaan adalah bagi membincangkan potensi Emami meningkatkan import minyak sawit dari Malaysia.

Syarikat yang diterajui oleh Pengerah Ekesekutifnya Manush Goenka, juga adalah pemain utama dalam sektor minyak makan dan produk makanan India. 

“India ialah pengimport terbesar minyak makan di seluruh dunia dengan 59 peratus importnya merangkumi minyak sawit,” katanya menerusi hantaran di platform X hari ini. 

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut diiringi oleh Tengku Zafrul, mengadakan pertemuan dengan wakil tiga syarikat utama India iaitu Tata Consultancy Services (TCS), HCL Tech di New Delhi dan Emami Agrotech. 

Anwar yang juga Menteri Kewangan, mengadakan lawatan rasmi ke India selama tiga hari yang berakhir semalam.

Malah, Perdana Menteri menyifatkan lawatan ke India berjaya membuahkan hasil apabila Malaysia meraih potensi perdagangan berjumlah RM8 bilion dalam sektor minyak sawit dan produk berasaskan minyak sawit, bahan kimia dan produk kimia, minyak dan gas serta alat ganti kapal terbang.

Sementara itu, menerusi hantaran berasingan di platform X, Tengku  Zafrul berkata TCS bakal meningkatkan pekerja lebih sekali ganda daripada 1,600 orang pada masa ini.

“TCS sudah membuka ibu pejabat untuk operasi ASEAN di Malaysia dan kini mereka ingin mengembangkan operasi di sini,” katanya. 

Rancangan itu termasuk pembukaan Pusat Kecemerlangan AI dan Pusat Keselamatan Siber.

Tengku Zafrul berkata HCLTech yang juga salah satu syarikat teknologi maklumat dan teknologi terbesar di India, telah bertapak di Malaysia sejak 26 tahun lepas.

“Mereka merancang untuk mengembangkan operasi dengan tumpuan dalam bidang seperti kejuruteraan digital, termasuk data dan kecerdasan buatan (AI).

“Peningkatan operasi ini dijangka mewujudkan lebih daripada 1,500 pekerjaan berkemahiran tinggi untuk rakyat Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata bagi tempoh 2021 hingga Mac 2024, jumlah pelaburan digital yang diluluskan adalah hampir RM162 bilion yang turut mewujudkan kira-kira 3,700 peluang pekerjaan.

“Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri bersama kementerian-kementerian berkaitan akan sentiasa berusaha memudah cara pelaburan berkualiti dalam ekonomi digital, selaras dengan fokus Pelan Induk Perindustrian Baharu untuk meletakkan Malaysia sebagai hab AI Generatif serantau,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

FCPO: Kembali Ke Fasa Pengukuhan

  • Kekalkan pegangan jualan

FCPO ini menurun MYR9 semasa sesi dagangan lalu untuk ditutup pada harga MYR4,597. Pada hari Jumaat, komoditi ini memulakan dagangan pada paras MYR4,604. Pada awalnya, ia jatuh ke paras terendah sesi tersebut pada MYR4,575. Ia kemudiannya melantun ke paras tertinggi sesi tersebut pada MYR4,608 dan menutup dagangan pada MYR4,597. Di samping pergerakan RSI ke bawah, penutupan dagangan terkini yang menurun menunjukkan momentum menurun kembali menguat.

Komoditi ini mungkin akan melanjutkan fasa koreksi harga dan menguji paras sokongan semula pada MYR4,390. Sementara itu, garisan SMA 50 hari masih bergerak ke paras lebih rendah, lantas mengukuhkan keadaan pasaran menurun. Sekiranya komoditi ini mencatat pergerakan menaik, paras MYR4,700 akan menahan harga daripada menembusi paras berkenaan. Selagi FCPO terus berada di bawah paras ambang MYR4,700, kami tetap akan berpegang pada bias dagangan negatif.

Para pedagang disarankan untuk terus mengekalkan pegangan jualan yang dimulakan pada penutupan 12 Mei (MYR4,481). Untuk menangani risiko-risiko dagangan yang ada, paras ambang henti rugi ditetapkan pada MYR4,700.

Paras sokongan pertama kini berada pada MYR4,390 dan diikuti oleh paras sokongan lebih rendah pada MYR4,250. Paras rintangan pertama pula ialah MYR4,700 yang diikuti oleh paras MYR4,900.