RHB IB Unjur Dividen PETRONAS Turun Pada 2025 Ekoran Kejatuhan Harga Minyak


KUALA LUMPUR, 25 Sept (Bernama) — RHB Investment Bank Bhd (RHB IB) menganggarkan pembayaran dividen daripada Petroliam Nasional Bhd (Petronas) akan lebih rendah daripada RM32 bilion pada 2025, disumbangkan oleh prestasi yang lebih lemah pada 2024 di tengah-tengah penurunan harga minyak.

Bank pelaburan itu berkata adalah penting bagi mendapatkan maklumat jangkaan pembayaran dividen Petronas untuk 2025 terutamanya apabila perbincangan antara Petroleum Sarawak (Petros) dan Petronas masih berterusan.

Kerajaan juga berkemungkinan akan mengutamakan inisiatif tenaga hijau untuk menyokong Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional, katanya.

“Oleh itu, kami tidak akan terkejut terdapatnya peruntukan untuk pembangunan tenaga boleh baharu, dan mungkin juga penambahbaikan infrastruktur grid untuk memudahkan inisiatif seperti Skim Bekalan Tenaga Boleh Diperbaharui Korporat,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Satu daripada langkah ketara yang mungkin dibentangkan dalam Belanjawan 2025 ialah penerusan atau pengembangan rebat tunai di bawah program Pemeteran Tenaga Bersih bagi memacu penggunaan solar, terutamanya dalam kalangan pemilik rumah, menurut RHB IB.

Untuk menggalakkan penggunaan tenaga solar kediaman, bank itu mencadangkan sokongan tambahan diperlukan terutamanya untuk kumpulan B40 menerusi pinjaman dan subsidi dengan faedah yang rendah. 

Kerajaan pada masa yang sama masih menilai kesan rasionalisasi subsidi diesel, katanya.

Ia percaya kemungkinan penghapusan subsidi RON95 mungkin tidak diketengahkan dalam pembentangan Belanjawan akan datang.

Sebaliknya, RHB IB percaya hab petrokimia di Pengerang akan mendapat manfaat pada pembentangan itu sekiranya butiran lanjut mengenai perkembangan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura diumumkan.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Plus Xnergy Sediakan Salah Satu Sistem BESS Penggunaan Sendiri C&I Terbesar di Malaysia

Kuala Lumpur, 29 Jun 2026 – Plus Xnergy Services Sdn Bhd (Plus Xnergy) hari ini mengumumkan penyambungan grid kapasiti penuh dan pengoperasian komersial salah satu Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (Battery Energy Storage System, BESS) untuk kegunaan sendiri (SELCO) terbesar yang pernah dilaksanakan di Malaysia setakat ini.

Dibangunkan dengan kerjasama peneraju global sistem penyimpanan tenaga, HyperStrong, aset infrastruktur industri berkapasiti 20 megawatt-jam (MWj) ini kini beroperasi sepenuhnya di sebuah fasiliti pembuatan makanan yang terletak di Perak.

Melalui pengecasan tenaga semasa waktu luar puncak (off-peak) dan pelepasan tenaga semasa waktu permintaan puncak, sistem ini mengoptimumkan penggunaan tenaga, menstabilkan turun naik beban tenaga (load fluctuation), meningkatkan kestabilan bekalan kuasa setempat serta mengurangkan caj Kehendak Maksima (Maximum Demand) dengan ketara bagi pembuat makanan tersebut. Konfigurasi ini menawarkan penyelesaian yang kos efektif dan boleh dipercayai untuk mengurangkan kesan peningkatan kos utiliti, sambil menyokong operasi jangka panjang dan objektif penyahkarbonan kemudahan berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Plus Xnergy Ko Chuan Zhen berkata, “Kejayaan pelaksanaan projek ini merupakan salah satu pencapaian penting dalam peralihan Malaysia ke arah tenaga bersih. Ia membuktikan bahawa penggunaan BESS bukan sekadar konsep tetapi menjadi kaedah pengoptimuman kos yang berkesan untuk sektor korporat. Berdasarkan data kami, penjimatan diunjurkan sekitar RM1.25 juta setahun bagi setiap BESS berkapasiti10 MWj, bergantung pada profil beban tenaga di bawah kerangka Tempoh Kawal Selia Ke-4 (RP4).”

“Projek ini menjadi titik rujukan sebenar bagi sektor yang menggunakan tenaga secara intensif, seperti pembuatan makanan berskala besar dan industri berat, yang ingin meningkatkan daya saing sambil memenuhi sasaran kemampanan,” tambah beliau.

Pelaksanaan industri ini menggabungkan kepakaran teknikal dan pengalaman kejuruteraan tempatan Plus Xnergy dengan teknologi BESS bersepadu HyperBlock III berganding-AC milik HyperStrong. Dengan mengintegrasikan sistem bateri arus terus (DC) dengan Sistem Penukaran Kuasa (Power Conversion System) bersepadu, reka bentuk khusus ini menghasilkan kecekapan sistem yang lebih tinggi dalam saiz yang lebih kompak. Ia membolehkan proses kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) disiapkan dalam tempoh pantas iaitu hanya 2.5 bulan.

Bagi mempercepatkan penerimaan pasaran dalam keadaan kos operasi yang tinggi bagi pengeluar industri berat, Plus Xnergy menawarkan pelaksanaan sistem ini melalui Perjanjian Perkongsian Prestasi (Performance Sharing Agreement, PSA) tanpa perbelanjaan modal awal. Di bawah model kerjasama komersial selama 15 tahun ini, Plus Xnergy membiayai sepenuhnya, mereka bentuk serta mengurus aset tersebut di lokasi pelanggan, membolehkan pemain industri menikmati pengurangan tarif tenaga serta-merta tanpa memerlukan pelaburan modal permulaan.

Pelaksanaan komersial ini memperkukuhkan portfolio infrastruktur tenaga bersih Plus Xnergy yang semakin berkembang di seluruh Malaysia. Ia menyusuli pelaksanaan BESS utiliti berskala besar natrium-sulfur pertama negara berkapasiti 1.45 MWj di Kedah pada tahun 2024, serta kontrak solar di bawah Program Kuasa Hijau Korporat (Corporate Green Power Programme, CGPP) bernilai RM95 juta yang diperoleh pada tahun 2025.

Terbaharu, pada Januari 2026, Plus Xnergy telah dilantik sebagai kontraktor EPCC bagi yang sedang berjalan di KLIA Aeropolis, yang menggabungkan loji solar fotovoltaik (PV) berkapasiti 36 megawatt puncak (megawatt-peak, MWp) dengan BESS berkapasiti 45 MWh untuk menyokong keperluan operasi harian lapangan terbang KLIA di bawah rangka kerja SELCO.

Dengan kejayaan pengoperasian projek baharu ini, jumlah portfolio BESS Plus Xnergy di seluruh negara kini mencapai 100 MWh merangkumi projek yang telah siap dan sedang dilaksanakan. Kapasiti ini melengkapi jejak tenaga solar bersambung grid syarikat yang melebihi 500 MWp, yang telah menjana sebanyak 3,180 gigawatt-jam (GWj) tenaga bersih setakat ini, sekali gus mengukuhkan kedudukan Plus Xnergy sebagai peneraju dalam penyediaan penyelesaian tenaga berskala utiliti dan komersial.

Plus Xnergy merupakan anak syarikat milik penuh secara tidak langsung kepada BM GreenTech Berhad (BM GreenTech), yang merupakan salah satu konstituen subsektor khusus Tenaga Boleh Baharu Bursa Malaysia.