Oracle Akan Labur Lebih US$6.5 Bilion Dalam AI, Pengkomputeran Awan Di Malaysia


KUALA LUMPUR, 2 Okt (Bernama) — Oracle hari ini mengumumkan pihaknya merancang untuk melabur lebih US$6.5 bilion (US$1 = RM4.15) bagi mewujudkan wilayah awan awam di Malaysia bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap perkhidmatan kecerdasan buatan (AI) dan awannya.

Dalam kenyataan pada Rabu, Oracle menjelaskan wilayah awan yang akan diwujudkan itu membolehkan pelanggan dan rakan kongsinya di Malaysia memanfaatkan infrastruktur dan perkhidmatan AI dan memindahkan beban kerja yang penting kepada Oracle Cloud Infrastructure (OCI).

Oracle turut memetik kenyataan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz yang berkata “kami amat mengalu-alukan pelaburan US$6.5 bilion oleh Oracle di Malaysia, yang mewakili satu lagi pengembangan operasi 36 tahun mereka di Malaysia.”

Tengku Zafrul juga berkata: “pelaburan ini akan memperkasakan entiti Malaysia, terutama perusahaan kecil dan sederhana, dengan AI dan teknologi awan yang inovatif dan termaju untuk meningkatkan daya saing global mereka.”

Beliau berkata pelaburan itu juga merupakan langkah penting ke arah merealisasikan aspirasi Pelan Induk Perindustrian Baharu Malaysia untuk mewujudkan 3,000 kilang pintar pada 2030.

“Keputusan Oracle untuk mewujudkan wilayah awan awam di Malaysia menekankan ketersediaan infrastruktur Malaysia dan kedudukan negara yang semakin kukuh sebagai destinasi utama Asia Tenggara bagi pelaburan digital,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

FCPO: Menyasarkan Semula Paras MYR4,680 Apabila Rentak Kenaikan Mengukuh

  • Kekalkan pegangan belian

FCPO mengalami permintaan yang kukuh pada hari Rabu dengan meningkat MYR42 untuk ditutup pada paras lebih tinggi sebanyak MYR4,578. Selepas membuka sesi dagangan pada harga lebih rendah iaitu MYR4,527, ia susut ke paras terendah intrahari pada MYR4,491 dan meningkat ke paras tertinggi pada MYR4,583. Sesi dagangan ini ditamatkan dengan corak lilin menaik, yang menandakan kembalinya minat belian. RSI yang bergerak ke atas semula menunjukkan bahawa momentum kembali menyebelahi para pedagang yang meramalkan kenaikan harga.

Mengikut pemerhatian kami, keadaan teknikal yang lebih meluas masih positif, dengan garisan SMA 50 dan 200 hari mengekalkan pergerakan ke atas. Sekiranya komoditi ini bergerak ke paras lebih tinggi, ia membuka ruang untuk penembusan paras rintangan melepasi harga MYR4,680. Hal ini patut menyambung trajektori kenaikan untuk menguji paras MYR4,800. Kami tetap berpegang pada bias dagangan positif melainkan harga jatuh bawah paras sokongan MYR4,400.

Para pedagang disarankan untuk mengekalkan pegangan belian yang dimulakan pada penutupan 6 Mac, iaitu MYR4,367. Untuk mengurus risiko-risiko dagangan yang ada, paras ambang henti rugi ditetapkan pada MYR4,400.

Paras sokongan pertama kini berada pada MYR4,500 dan diikuti oleh paras MYR4,400. Sebaliknya, paras rintangan terdekat ialah MYR4,680 dan diikuti oleh MYR4,800.