Ringgit Dibuka Tinggi Sedikit Berbanding Dolar AS

KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) — Ringgit dibuka tinggi sedikit pada Isnin dalam persekitaran sentimen lemah berikutan peniaga menilai semula pendirian mereka terhadap kemungkinan Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) mengambil masa lebih lama untuk menurunkan kadar faedah, kata ahli ekonomi.

Pada 8 pagi, mata wang tempatan berada pada 4.2150/2240 berbanding dolar AS daripada  4.2155/2240 pada Jumaat lepas.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Indeks Dolar AS (DXY) meningkat kepada 102.572 mata. Begitu juga, nota Perbendaharaan AS untuk tempoh dua tahun melonjak 22 mata asas kepada 3.92 peratus. 

Beliau berkata peniaga sedang menilai semula pendirian mereka mengenai langkah Rizab Persekutuan AS seterusnya berdasarkan kemungkinan yang tinggi kepada senario pertumbuhan ekonomi lembap tanpa menghadapi risiko kemelesetan dalam masa terdekat.

“Data terkini menunjukkan sokongan yang positif terhadap dolar. Oleh itu, ringgit dijangka mencatatkan penurunan hari ini,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata data terkini AS menunjukkan ekonomi masih berkembang pada kadar yang baik, dengan senarai gaji bukan ladang (NFP) mencatatkan lebih tinggi daripada jangkaan kepada 254,000 pada September daripada 159,000 yang disemak semula pada Ogos berbanding 142,000 sebelum ini.

Kadar pengangguran menurun secara berperingkat kepada 4.1 peratus pada September manakala kadar penyertaan tenaga kerja kekal pada 62.7 peratus selama tiga bulan berturut-turut.

Ringgit diniagakan tinggi berbanding mata wang utama.

Mata wang tempatan mengukuh berbanding euro kepada 4.6239/6337 daripada 4.6484/6578 pada Jumaat lepas. Ia meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.8329/8391 daripada 2.8779/8839 sebelum ini dan naik berbanding pound kepada 5.5309/5427 daripada 5.5505/5617.

Mata wang tempatan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Ia meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.6406/6797 daripada 12.7549/7861, bagaimanapun merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.2301/2373 daripada 3.2489/2557 pada Jumaat lepas.

Ringgit mendatar berbanding rupiah Indonesia kepada 272.1/272.9 sejak Jumaat lepas dan tidak berubah berbanding peso Filipina kepada 7.49/7.51 daripada 7.48/7.50 sebelum ini.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Bank Dunia Turunkan Unjuran Pertumbuhan Global 2026 Kepada 2.5 Peratus

Bank Dunia menurunkan unjuran pertumbuhan global kepada 2.5 peratus bagi 2026 pada Khamis, daripada 2.9 peratus pada 2025, sekali gus mencatatkan kadar terendah sejak akhir 2019, lapor Agensi Berita Xinhua.

Laporan Prospek Ekonomi Global separuh tahun bank itu memetik faktor kenaikan harga tenaga, inflasi yang lebih tinggi dan peningkatan kos pinjaman di tengah-tengah konflik Asia Barat sebagai punca kepada pengurangan unjuran pertumbuhan berkenaan.

Laporan itu turut memberi amaran bahawa risiko kemerosotan adalah signifikan. Pertumbuhan global boleh terus menyederhana kepada 2.1 peratus jika gangguan bekalan tenaga berlarutan lebih lama dan harga minyak secara purata mencecah US$115 setong tahun ini, yang akan memacu inflasi kepada 4.4 peratus.

Laporan berkenaan menurunkan unjuran pertumbuhan bagi dua pertiga negara berbanding laporan Januari tahun ini, dengan negara-negara Teluk mencatatkan pengurangan paling besar daripada 3.9 peratus pada 2025 kepada hampir sifar pada 2026.

Asia Selatan pula dijangka mencatatkan pertumbuhan paling kukuh berbanding mana-mana wilayah lain pada kadar 6.3 peratus bagi tahun 2026, walaupun angka itu menunjukkan penurunan berbanding tujuh peratus pada 2025.

Selain itu, laporan berkenaan mengekalkan unjuran pertumbuhan sebanyak 2.2 peratus bagi ekonomi Amerika Syarikat (AS) pada 2026, biarpun ia menarik perhatian bahawa angka terbabit boleh menyusut kepada 2.1 peratus pada 2027 dan dua peratus pada 2028.

Ekonomi di zon euro pula dijangka berkembang pada kadar 0.8 peratus pada 2026, turun daripada 1.4 peratus pada 2025. Bagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Jepun, ia diunjurkan berkembang 0.7 peratus pada 2026 berbanding 1.1 peratus pada 2025.

Bank Dunia menjangkakan pertumbuhan global kembali meningkat kepada 2.8 peratus pada 2027, namun kadar itu kekal 0.4 mata peratusan di bawah purata yang direkodkan pada dekad 2010-an.

Walaupun risiko terus memihak kepada kemerosotan ekoran peningkatan permusuhan, gangguan pasaran komoditi dan ketegangan geopolitik yang bertambah, pihak bank menegaskan bahawa tindakan dasar adalah sangat kritikal.

Pada peringkat global, Bank Dunia menggesa negara-negara terbabit untuk melindungi keselamatan tenaga dan makanan serta memajukan peralihan tenaga. Bagi peringkat domestik pula, semua negara digesa mengawal inflasi, memperkukuh kemampanan fiskal dan menyokong pewujudan peluang pekerjaan.

–BERNAMA