Acara InvestSmart® SC 2024 Beri Fokus kepada Perancangan  Persaraan dan Perlindungan Penipuan (Scam) 

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini telah memulakan acara pendidikan pelabur  tahunannya iaitu InvestSmart® Fest 2024, dengan memberi fokus kepada perancangan  persaraan dan usaha melindungi pelabur daripada penipuan. 

Kajian SC1 baru-baru ini mendapati sebanyak 54% responden percaya bahawa simpanan  mereka tidak mencukupi untuk persaraan, dengan hanya 16% yakin dana mereka boleh  bertahan 20 tahun selepas bersara. Lebih membimbangkan, 18% responden merasakan  simpanan mereka hanya boleh bertahan selama lima tahun atau kurang. 

Perlindungan pelabur juga kekal sebagai isu penting, dengan 3,380 aduan dan  pertanyaan berkaitan penipuan diterima oleh SC setakat suku ketiga tahun ini. Trend ini  semakin meningkat, dengan peningkatan sebanyak 28% 2 pada tahun lepas. Ini  membuktikan kecanggihan skim penipuan yang kian berkembang walaupun terdapat  campur tangan kawal selia. 

Oleh itu, InvestSmart® Fest 2024 menggariskan usaha SC dalam meningkatkan  kesedaran dan pengetahuan mengenai faedah pelaburan yang selamat serta amalan  menyimpan lebih awal. 

Pengerusi SC Dato’ Mohammad Faiz Azmi menegaskan bahawa amalan berwaspada  dalam dunia yang semakin digital ini bukan lagi menjadi suatu keutamaan bagi pelabur,  tetapi satu keperluan. 

“SC kekal komited dalam melindungi pelabur, tetapi pelabur harus kekal berwaspada.  Melalui InvestSmart® Fest, kami melengkapkan rakyat Malaysia dengan sumber-sumber untuk mengenali ancaman dan membuat keputusan kewangan yang selamat,” katanya. 

Pengarah Eksekutif dan Ketua Kounsel SC Yew Yee Tee memberi amaran mengenai peningkatan penipuan digital yang melibatkan penipuan deepfake, skim penipuan pra IPO dan penyalahlabelan produk patuh Syariah. 

“Orang ramai mesti berhati-hati dan memastikan mereka berurusan dengan individu atau  syarikat yang berlesen sebelum membuat sebarang keputusan pelaburan,” katanya  dalam ucapan perasmian pada acara itu. 

Sebagai respons kepada populariti pempengaruh kewangan (finfluencer) yang semakin  meningkat di media sosial, SC telah mengemas kini Nota Panduan mengenai Penyediaan  Nasihat Pelaburan. 

SC juga memberi amaran terhadap penipuan akaun keldai, di mana mangsa dipujuk  untuk menyewakan akaun bank mereka yang boleh membawa kepada akibat yang serius. 

Dengan kerjasama Bursa Malaysia, InvestSmart® Fest 2024 juga akan menyertai kempen  ‘Ring the Bell for World Investor Week’. 

Inisiatif global itu dianjurkan oleh World Federation of Exchanges dan diterajui oleh  Pertubuhan Suruhanjaya Sekuriti Antarabangsa, menghimpunkan bursa saham seluruh  dunia untuk menggalakkan pendidikan dan perlindungan pelabur. 

InvestSmart® Fest 2024, dijangka menarik lebih 11,000 pelawat ke Pusat Pameran Mid  Valley (MVEC), akan menampilkan 40+ pempamer dan 600 sesi perancangan kewangan  percuma di bawah #FinPlan4u. Buat pertama kalinya, ‘Zon Anti-Scam’ 3 akan  mendidik orang ramai tentang pencegahan penipuan. 

Acara itu disokong oleh Bursa Malaysia, Persekutuan Pengurus-Pengurus Pelaburan  Malaysia, Persatuan Perancang Kewangan Malaysia dan Majlis Perancangan Kewangan  Malaysia. 

Untuk maklumat lanjut dan senarai pempamer yang tersedia, layari  https://investsmartsc.my/ atau akaun media sosial InvestSmart®

1 Understanding the Level of Vulnerability towards Investment Scams: https://www.sc.com.my/api/documentms/download.ashx?id=687f2605- 37bb-42dc-91a9-fc7ecf754a33 

2 Pada tahun 2023, jumlah aduan dan pertanyaan yang diterima mengenai aktiviti dan penipuan tidak berlesen berjumlah 3,262 berbanding  hanya 2,461 pada tahun 2022.

3 Zon Anti Scam akan menampilkan wakil daripada SC, Persatuan Bank Malaysia dan Pusat Respons Scam Kebangsaan. 

Previous ArticleNext Article

SC dan Bursa Malaysia Lancarkan Buku Panduan MY Value Up

Kuala Lumpur, 9 Jun 2026 – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (“SC”) dan Bursa Malaysia Berhad (“Bursa Malaysia”) hari ini melancarkan Buku Panduan Program MY Value Up (“Buku Panduan”) bagi membantu syarikat tersenarai awam (PLC) mencipta nilai jangka sederhana hingga panjang serta menjadikannya peluang pelaburan yang lebih menarik di peringkat global.

Buku Panduan tersebut dilancarkan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi semasa Persidangan Invest Malaysia Kuala Lumpur 2026, di hadapan pemimpin pasaran modal dan pihak berkepentingan industri.

Program MY Value Up, yang diperkenalkan bersama oleh SC dan Bursa Malaysia pada April lalu, merupakan satu inisiatif berstruktur di bawah Pelan Induk Pasaran Modal 2026-2030 (Capital Market Masterplan 2026-2030).

Program ini bertujuan menggalakkan PLC membangunkan dan mengkomunikasikan strategi pertumbuhan, sasaran serta keutamaan peruntukan modal yang jelas. Ia juga bertujuan menggalakkan penglibatan pelabur yang lebih kukuh serta memberi tumpuan yang lebih besar di peringkat lembaga pengarah terhadap penciptaan nilai.

Buku Panduan ini menterjemahkan prinsip-prinsip tersebut kepada aplikasi praktikal dengan menyediakan rujukan bersama untuk PLC, termasuk contoh komponen utama dan metrik yang dicadangkan dalam pendedahan maklumat berorientasikan masa hadapan yang dipertingkatkan.

Ia menggariskan jangkaan dan pertimbangan asas untuk PLC dalam membangunkan serta menerbitkan Pelan MY Value Up masing-masing, yang walaupun bersifat sukarela, amat digalakkan untuk dilaksanakan.

Program MY Value Up akan dilaksanakan secara berperingkat bagi memastikan penerimaan yang tersusun dan bermatlamat.

• 2026 – Pengenalan dan Penyelarasan

Fasa ini memberi tumpuan kepada peningkatan pemahaman melalui penglibatan dan dialog dengan pihak pengawal selia, sambil menggalakkan PLC menilai secara sedar bidang fokus mereka dan bagaimana ia boleh diterjemahkan melalui strategi serta pendedahan maklumat syarikat.

SC dan Bursa Malaysia akan berinteraksi dengan PLC yang disasarkan bagi tujuan penyerahan Pelan MY Value Up.

• 2027 – Penerbitan dan Penglibatan

PLC yang disasarkan dijangka mula menerbitkan Pelan MY Value Up kepada umum, sekali gus mewujudkan penanda aras pasaran dan membolehkan penglibatan serta maklum balas pelabur yang lebih bermaklumat.

Sejak pelancaran program ini, SC dan Bursa Malaysia telah berinteraksi dengan pihak pengurusan kanan kebanyakan daripada 88 PLC terbesar, yang mewakili kira-kira 80% daripada keseluruhan permodalan pasaran Bursa Malaysia. Setiap PLC tersebut mempunyai permodalan pasaran minimum sekitar RM4 bilion.

Satu siri bengkel turut dijalankan bagi memperkukuh penglibatan dan mendapatkan maklum balas daripada pihak berkepentingan mengenai program ini.

Usaha ini akan diteruskan melalui sesi libat urus berterusan dengan PLC menerusi dialog berkala, perkongsian maklum balas serta mengenal pasti peluang bagaimana SC dan Bursa Malaysia boleh membantu PLC mencapai objektif strategik mereka dengan lebih berkesan.

Buku Panduan Program MY Value Up kini boleh diakses di laman web Bursa Malaysia https://www.bursamalaysia.com/reference/my-value-up-programme/overview.