Lihat Bagaimana 4 Individu Ini Beli Rumah Pertama Mereka Di Usia 20-An!

Bagi generasi yang lahir pada tahun 1990-an, anda mungkin sudah berada di lingkungan 20 hingga 30-an. Dalam lingkungan ini, banyak yang telah mencapai pencapaian besar seperti memiliki pekerjaan yang stabil, berkeluarga dan bahkan memiliki rumah sendiri.

Jangan panik jika anda belum mencapai semua itu!


Pembelian rumah tidak bergantung kepada usia. Asalkan anda mempunyai pengetahuan yang cukup dan semestinya duit, anda boleh memiliki rumah sendiri sebelum usia anda mencecah 30 tahun.

Kali ini, kami telah menemu ramah empat individu yang telah berjaya memiliki rumah pertama mereka dalam lingkungan 20-an.

Antara Soalan yang Diajukan:

  1. Apa yang membuatkan anda ingin beli rumah dan apa kriteria yang anda cari sebelum nak beli rumah?
  2. Apakah proses yang anda lalui dalam membeli rumah (rumit atau mudah)?
  3. Bagaimana anda tentukan harga rumah yang mampu anda beli (tunai, pinjaman, sendiri dll)
  4. Apakah perkara yang baru anda tahu semasa proses beli rumah ini yang anda tidak pernah tahu sebelumnya (yuran tersembunyi, fakta)?
  5. Apa nasihat anda kepada mereka di luar sana yang ingin membeli rumah terutamanya golongan muda?

Pengenalan Individu

Individu AIndividu BIndividu CIndividu D
Ain, berusia 27 tahun, status berkahwin. Bekerja di bahagian media sosial di Klang Lama dan menetap di Petaling Jaya.Wen Wei, berusia 29 tahun, status bujang. Bekerja sebagai penulis bahasa Cina di Kuala Lumpur dan menetap di Taman Connaught, Cheras.Khalimah, berusia 32 tahun, status berkahwin. Bekerja sebagai pengurus projek admin di Klang Lama dan menetap di Ampang.Jasmine, berusia 29 tahun, status berkahwin. Bekerja sebagai pengurus pemasaran digital di Klang dan menetap di Kepong.

Jadi, mari kita lihat proses dan pengalaman mereka yang mungkin boleh membantu anda dalam membuat keputusan untuk beli rumah pertama!

1. Apa yang membuatkan anda ingin beli rumah dan apa kriteria yang anda cari sebelum nak beli rumah?

…banyak, tapi faktor yang paling penting sebenarnya sebab ia terletak dekat tengah bandar iaitu Damansara dan harga pun berpatutan. Selalunya harga macam ini boleh dapat di kawasan luar Lembah Klang sahaja. Sebelum ini, saya sewa studio apartment, jadi pindah ke rumah dengan dua bilik ini rasa lebih besar. Yang terakhir, saya fikir daripada terus bayar sewa, lebih baik bayar rumah bawah nama saya…Individu A (Ain)

Lokasi sebenarnya antara faktor yang penting dalam mencari rumah. Lagi-lagi bila nak beli rumah pertama. Mestilah nak yang terbaik.

…ada banyak sebab.. Pertama, keluarga saya selalu ingatkan saya untuk beli rumah waktu muda sebab mereka kata harga rumah akan sentiasa meningkat. Kedua, ‘HOC due date“. Saya beli rumah ini waktu akhir HOC, saya tak pasti sama ada kerajaan akan teruskan atau tidak, jadi saya terus ambil peluang itu. Ketiga, saya tidak mahu selamanya menyewa dan tinggal dengan orang lain yang akan mendatangkan masalah. Saya perlukan ruang sendiri… Individu B (Wen Wei)

…bagi saya, setiap orang perlu ada rumah sendiri untuk stabiliti, keselamatan dan keselesaan. Selain daripada rumah tempat untuk berehat dan berkumpul bersama keluarga, saya juga anggap rumah sebagai suatu pelaburan jangka panjang yang boleh bagi kestabilan kewangan dan aset untuk saya. Selalunya sebelum beli rumah, orang akan pentingkan beberapa faktor macam lokasi yang strategik, harga yang berpatutan dengan pasaran, keadaan fizikal rumah yang baik dan kemudahan seperti sekolah, kedai dan kemudahan awam yang dekat. Dan semua faktor ini Alhamdulillah ada dekat rumah yang saya beli dan duduk sekarang… Individu C (Khalimah)

…saya beli rumah ini sebab ianya sangat berpatutan, ia adalah skim perumahan kerajaan – Residensi Wilayah. Lokasi pun tak jauh dengan kawasan rumah saya, harga sekitar RM198,000 untuk 796 kaki persegi, 3 bilik tidur dan 2 bilik air. Keluarga saya berpendapat bahawa ia adalah idea yang baik untuk cuba memohon kerana saya pun menepati kriteria untuk memohon. Individu D (Jasmine)

2. Apakah proses yang anda lalui dalam membeli rumah (rumit atau mudah)?

proses dalam beli rumah

…agak mudah bagi saya. Saya bekerja sebagai ‘full-time marketer’, jadi saya dah biasa dengan algoritma di sosial media. Jadi masa saya nak cari rumah, saya tukarkan algoritma kepada algoritma yang tumpukan pembeli rumah dan dari situlah saya terjumpa dengan satu iklan daripaada seorang ejen yang tengah promosikan pasal rumah dan kebetulan pula dia ialah ejen IQI! Dan dari situlah ejen saya iaitu Sean Lee bantu saya dan beri panduan untuk isi borang dan sebagainya…Individu A (Ain)

…hmm tak senang tapi tak begitu rumit? Saya rasa yang rumit lebih kepada perbincangan antara saya dengan teman saya, tentang sama ada pilih unit kecil dengan 2 bilik atau unit besar dengan 3 bilik. Ada lah lebih kurang 1-2 minggu juga kami berbincang dan akhirnya kami bersetuju untuk memilih unit dengan 2 bilik. Individu B (Wen Wei)

…proses beli rumah boleh jadi cabaran kalau ini adalah rumah pertama anda sebab banyak proses yang terlibat seperti cari rumah yang sesuai, buat tawaran, dapatkan pinjaman dan menjalani proses pemindahan hak milik. Walaupun boleh jadi rumit, tapi kalau anda rancang dengan baik, minta bantuan profesional dan faham dengan baik tentang proses, ia pun boleh jadi mudah! Jadi, proses ini bergantung kepada pengalaman dan persediaan anda. Untuk saya, proses pembelian rumah saya Alhamdulillah berjalan lancar dengan bantuan ejen, pegawai bank dan peguam yang professional dalam mengendalikan kes saya… Individu C (Khalimah)

..sebagai pembeli rumah pertama, proses beli rumah saya agak rumit. Memandangkan ianya skim perumahan kerajaan, jadi banyak dokumen yang kena sediakan. Terma undang-undang pun agak mengelirukan saya seperti yuran guaman, duti setem, perjanjian S&P dan sebagainya. Tetapi, dengan bantuan ejen hartanah saya yang bertanggungjawab ketika itu yang membuatkan prosesnya terasa jauh lebih mudah! Dia banyak membantu saya dalam menyelesaikan setiap jenis dokumen yang diperlukan dan bimbing saya dari awal sehinggalah saya selesai proses pembelian rumah. Syabas kepadanya!…Individu D (Jasmine)

Ejen hartanah boleh membantu untuk memudahkan lagi urusan jual beli rumah anda. Tapi kena berhati-hati juga, jangan sampai kena tipu! Pastikan anda dapatkan perkhidmatan ejen hartanah dari agensi yang dipercayai.

3. Bagaimana anda tentukan harga rumah yang mampu anda beli (tunai, pinjaman, sendiri dll)

bagaimana nak tentukan harga yang anda mampu sebelum nak beli rumah

…saya memilih untuk membuat pinjaman. Kriteria pertama saya ialah dengan menyemak bayaran bulanan…Individu A (Ain)

…untuk ini sejujurnya saya sudah tentukan dari awal, iaitu dengan kongsi nama bersama teman saya. Kami sudah sepakat untuk ini kerana kami tidak mahu buat salah seorang berasa tertekan dengan bayaran bulanan, jadi kami bersetuju untuk bayar utiliti, ansurans, pengubah suaian dan yuran lainnya bersama-sama. Jadi, kalau satu hari nanti kami jual atau labur rumah tu, duit yang kami dapat darinya akan dibahagikan kepada dua, senang!.. Individu B (Wen Wei)

…saya memilih untuk membuat pinjaman bank. Untuk tentukan kalau anda layak atau tidak dengan harga rumah tersebut, anda boleh buat kajian pasaran untuk rumah-rumah yang serupa di kawasan itu. Anda juga boleh dapatkan penilaian harta dari penilai harta tanah untuk mengetahui nilai pasaran semasa rumah. Selain itu, penting juga untuk mempertimbangkan kemampuan kewangan termasuk pendapatan, komitmen kewangan lain dan kemampuan untuk membayar ansuran bulanan. Dengan menyemak faktor-faktor ini, anda dapat membuat keputusan dengan lebih baik tentang layak atau tidak harga rumah tersebut untuk anda. Saya juga mendapatkan bantuan daripada pegawai bank untuk mengetahui kelayakan pinjaman perumahan saya…Individu C (Khalimah)

…sebagai pembeli rumah pertama, saya tentukan berdasarkan berapa banyak yang saya dapat dari gaji saya ketika itu dan saya kira sekali sama ada saya mampu untuk ansuran bulanan atau tidak. Diskaun dari pihak bank untuk pembeli rumah pertama juga beri saya sedikit petua tentang berapa banyak sebenarnya yang saya mampu... Individu D (Jasmine)

4. Apakah perkara yang baru anda tahu semasa proses beli rumah ini yang anda tidak pernah tahu sebelumnya (yuran tersembunyi, fakta)?

perkara yang baru anda tahu semasa beli rumah

…bayaran penyelenggaraan dan tentang keburukan ambil tingkat yang paling tinggi untuk kondominium. Sebab rumah yang saya beli ini ialah tingkat yang paling atas dan saya baru terjumpa satu video tentang kenapa jangan ambil rumah yang paling atas untuk kondominium selepas saya dah selesai semua urusan rumah… Individu A (Ain)

…mungkin tentang MLTA dan MRTA pinjaman insurans! Waktu tandatangan dokumen pinjaman bank, pihak bank ada bagitahu yang kami akan ambil MRTA insurans. Tak tahu kenapa tapi saya benar-benar lupa, yang sebenarnya kami nak ambil MLTA insurans! Saya pun sebenarnya lupa apa perbezaan antara dua itu, mungkin sebab teruja sangat. Kesimpulannya, saya telah tandatangan MRTA insurans. Jadi, saya nasihatkan kepada pembeli rumah lain lagi-lagi untuk pembeli rumah pertama yang masih muda ni untuk ingat dan jelas tentang apa yang anda nak untuk pinjaman insurans…Individu B (Wen Wei)

…MOT (memorandum of transfer) harus dibayar oleh pembeli…Individu C (Khalimah)

…perjanjian S&P ada lebih daripada 200 muka surat dan saya kena tandatangan setiap helai muka surat!! Kedua, kami diharuskan untuk bayar cukai tanah dan cukai pintu dan saya tak tahu langsung apa itu. Ketiga, kami juga kena bayar MOT selepas dapat rumah dan jumlah bayaran bergantung dengan nilai hartanah tersebut. Akhir sekali, ada banyak caj ekstra yang anda kena bayar selain daripada bayaran pendahuluan, jadi pastikan anda ada cukup tunai untuk itu (tak cakap lagi tentang deposit bil elektrik dan yuran ubah suai!)… Individu D (Jasmine)

5. Apa nasihat anda kepada mereka di luar sana yang ingin membeli rumah terutamanya golongan muda?

…tanya diri anda dulu kesemua soalan ini sebelum anda teruskan untuk beli rumah. Pertama, mampu tak aku nak bayar ansuran bulanan rumah ini? Kedua, adakah itu kawasan perumahan yang aku nak duduk? Ketiga, adakah itu tempat untuk duduk atau labur? Akhir sekali, Freehold or Leasehold?…Individu A (Ain)

…pertama, jangan malu untuk tanya soalan kalau anda keliru, sebab anda tak boleh menyesal selepas dah tandatangan setiap dokumen! Kedua, bagi mereka yang belum buat keputusan, belilah rumah anda sekarang kalau anda mampu bayar RM1500-RM2000 (ansuran + yuran utiliti) setiap bulan. Jangan tunggu sampai anda dapat simpan duit yang boleh cecah harga rumah idaman anda tu baru nak beli, sebab percayalah ianya susah! Ketiga, ini nasihat daripada ibu bapa saya, jangan anggap rumah pertama awak adalah rumah terakhir awak, cuba sedaya upaya untuk selesaikan pinjaman dengan cepat dan mula fikirkan rumah kedua, ketiga dan seterusnya. Satu rumah untuk anda tinggal dan rumah lain adalah untuk melabur, anda akan nampak keajaibannya pada masa hadapan! Individu B (Wen Wei)

…nasihat saya untuk bakal pemilik rumah atau pelabur sebelum membeli rumah, kita perlu membuat sedikit kajian tentang rumah yang ingin kita beli. Contohnya dari segi pemilihan lokasi yang strategik, harga pasaran, keselamatan persekitaran, kemudahan awam, pemaju yang dipercaya dan yang pasti tengok kemampuan poket sendiri. Pembelian rumah akan menjadi semudah ABC jika kita mendapat perkhidmatan ejen hartanah dan pegawai bank yang berpengalaman dalam proses jual beli rumah. Insha-Allah!…Individu C (Khalimah)

…berjimat, buat simpanan secukupnya dan beli apa yang anda mampu. Buat penyelidikan, rajin rajinlah selidik hartanah atau pemaju hartanah terlebih dahulu untuk elak daripada ditipu. Last sekali, lokasi. Kalau rumah ini untuk anda sendiri duduk, jangan beli yang telalu jauh sebabnya kalau tak anda akan terdorong untuk pindah atau susah untuk anda pantau perkembangan ubah suai rumah dan pengangkutan ke tempat kerja pun akan jadi terlalu menyusahkan untuk anda bergerak…Individu D (Jasmine)

Semoga kisah ini menjadi inspirasi buat semua!

Artikel ini adalah kerjasama antara IQI Global, syarikat agensi hartanah global dan no 1 di Malaysia* dan MajalahLabur.com. 

Terima kasih kepada anda yang menyokong kami selama ini. Hari-hari kami bersemangat nak sebarkan ilmu tentang kewangan dan pelaburan.

Kami sedar yang majoriti pembaca kami adalah anak-anak muda yang tercari-cari panduan bagaimana untuk mula melabur. Jadi buku ini sangat sesuai bagi newbie yang nak mulakan langkah pertama.

Anda ada soalan-soalan berikut yang memerlukan jawapan?

  • Ada duit tapi tak tahu nak melabur di mana?
  • Nak melabur tapi takut kena tipu dengan scammer?
  • Bagaimana nak tahu sesuatu pelaburan itu adalah patuh Syariah atau tidak?
  • Ada banyak sangat jenis pelaburan dekat luar sana, apa yang paling sesuai dengan jiwa?
  • Dalam suasana ekonomi yang tak menentu, apakah pelaburan ‘safe haven’ yang menjadi pilihan?
  • Pelaburan tanpa tunai tu macam mana?
  • Soalan-soalan lazim berkenaan pelaburan

Jika ya, maka anda perlu miliki buku Buku Malaysia Melabur : 10 Benda Kita Kena Tahu.

Buku Malaysia Melabur juga telah berada dalam senarai MPH Best 2020 dalam kategori MPH Best Malay Non-Fiction 2020.

Sesungguhnya kami bersyukur diberi peluang oleh Allah untuk berubah menjadi lebih baik dan mendapat rezeki seperti yang diidamkan. Kami doakan semoga tuan puan juga dilimpahi rezeki yang penuh keberkatan.

Boleh miliki buku ini secara online di Shopee

Previous ArticleNext Article

LPPSA Kedua: Boleh Mohon Walaupun Pembiayaan Pertama Belum Habis, Ini Syarat & Kelayakannya

Ada pembiayaan LPPSA pertama yang masih berjalan tetapi sudah terfikir nak beli rumah kedua?

Mulai 4 Oktober 2026, penjawat awam yang layak boleh memohon Pembiayaan Kedua LPPSA tanpa perlu menyelesaikan sepenuhnya Pembiayaan Pertama.

Pada masa yang sama, LPPSA turut menaikkan had kelayakan maksimum pembiayaan perumahan sehingga RM1 juta.

Namun, ini bukan bermaksud semua penjawat awam automatik boleh meminjam RM1 juta. Jumlah sebenar masih bergantung kepada pendapatan bersih, kelayakan pemohon, baki kelayakan pembiayaan serta syarat LPPSA yang berkuat kuasa.

Apa perubahan LPPSA 2026?

Menurut notis rasmi LPPSA bertarikh 25 September 2026, dua perubahan utama mula berkuat kuasa pada 4 Oktober 2026:

Pertama, had kelayakan maksimum pembiayaan perumahan LPPSA dinaikkan sehingga RM1 juta.

Kedua, pemohon boleh membuat permohonan Pembiayaan Kedua tanpa menyelesaikan Pembiayaan Pertama, tertakluk kepada baki kelayakan pembiayaan dan syarat yang ditetapkan.

Ini memberi lebih banyak fleksibiliti kepada penjawat awam yang masih mempunyai pembiayaan pertama tetapi mahu menggunakan baki kelayakan mereka untuk pembiayaan kedua.

Had pembiayaan LPPSA sehingga RM1 juta

LPPSA menetapkan jadual had kelayakan berdasarkan pendapatan bersih.

Pendapatan BersihHad Kelayakan Maksimum
Lebih RM10,000RM1,000,000
RM10,000RM950,000
RM9,500RM930,000
RM9,000RM900,000
RM8,500RM880,000
RM8,000RM850,000
RM7,500RM830,000
RM7,000RM800,000
RM6,500RM780,000
RM6,000RM730,000
RM5,500RM670,000
RM5,000RM610,000
RM4,500RM550,000
RM4,000RM480,000
RM3,500RM430,000
RM3,000RM350,000
Sehingga RM2,500RM280,000

Jadual ini adalah berdasarkan FAQ rasmi LPPSA mengenai penambahbaikan 2026.

Nota penting: Had maksimum ini bukan bermaksud pemohon pasti menerima jumlah tersebut. Amaun yang diluluskan masih bergantung kepada kelayakan pemohon dan syarat pembiayaan yang berkuat kuasa.

Siapa yang layak menikmati had baharu?

LPPSA menyatakan jadual kelayakan baharu ini terpakai kepada kakitangan sektor awam yang layak memohon pembiayaan perumahan LPPSA, tertakluk kepada syarat dan kelayakan semasa.

Bagaimanapun, terdapat kumpulan tertentu yang tidak menggunakan jadual ini, antaranya:

  • Anggota Pentadbiran Persekutuan;
  • Anggota Pentadbiran Negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri; dan
  • Hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi.

Golongan tersebut tertakluk kepada peruntukan atau keputusan berkaitan yang berasingan.

Apa maksud “Pembiayaan Kedua” sekarang?

Ini bahagian yang paling menarik.

Sebelum penambahbaikan ini, pemohon secara amnya perlu menyelesaikan Pembiayaan Pertama sebelum membuat Pembiayaan Kedua.

Mulai 4 Oktober 2026, syarat tersebut tidak lagi diperlukan.

LPPSA menyatakan pemohon boleh memohon Pembiayaan Kedua tanpa menyelesaikan Pembiayaan Pertama, tertakluk kepada penilaian kemampuan bayaran balik dan syarat kelayakan LPPSA.

Contohnya:

Ali membeli rumah pertama menggunakan LPPSA.

Pembiayaan pertama masih mempunyai baki.

Kemudian Ali mahu membeli rumah kedua.

Dengan peraturan baharu, Ali tidak perlu melangsaikan pembiayaan pertama terlebih dahulu semata-mata untuk memohon pembiayaan kedua.

Tetapi Ali masih perlu mempunyai baki kelayakan pembiayaan yang mencukupi dan memenuhi syarat LPPSA.

Apakah syarat Pembiayaan Kedua?

LPPSA menetapkan beberapa syarat utama.

Pemohon perlu:

1. Merupakan kakitangan sektor awam yang layak memohon pembiayaan perumahan LPPSA.

2. Potongan gaji bagi Pembiayaan Pertama telah dilaksanakan.

3. Tidak mempunyai tunggakan bayaran balik bagi Pembiayaan Pertama sedia ada.

Selain itu, permohonan tetap tertakluk kepada penilaian kemampuan bayaran balik dan syarat kelayakan LPPSA yang berkuat kuasa.

Berapa margin Pembiayaan Kedua?

Ini juga penting kerana margin pembiayaan bergantung kepada status Pembiayaan Pertama.

Jika Pembiayaan Pertama sudah selesai

Margin Pembiayaan Kedua adalah sehingga 100%.

Jika Pembiayaan Pertama masih belum selesai

Margin Pembiayaan Kedua adalah sehingga 90%.

Untuk Jenis 5 dan Jenis 7 bagi hartanah yang sama

LPPSA menetapkan margin sehingga 100% bagi:

  • Jenis 5 – Ambil Alih; dan
  • Jenis 7 – Ubah Suai,

bagi hartanah yang sama, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.

Contoh mudah Pembiayaan Kedua

Katakan seseorang masih mempunyai Pembiayaan Pertama LPPSA.

Kemudian dia mahu membeli rumah kedua berharga RM500,000.

Jika Pembiayaan Pertama masih belum diselesaikan, margin Pembiayaan Kedua adalah sehingga 90%.

Secara mudah:

RM500,000 × 90% = RM450,000

Jadi, secara teori, pembiayaan boleh mencapai sehingga RM450,000, manakala baki RM50,000 perlu ditanggung melalui sumber lain.

Tetapi angka sebenar masih tertakluk kepada baki kelayakan pembiayaan dan penilaian LPPSA.

Maksudnya, jangan terus anggap rumah RM500,000 akan mendapat pembiayaan RM450,000 kerana kelayakan sebenar setiap pemohon adalah berbeza.

Bagaimana LPPSA menentukan kelayakan?

LPPSA menggunakan kaedah pengiraan berdasarkan kemampuan bayaran balik.

Antara kriteria yang dinyatakan LPPSA ialah:

  • Ansuran bulanan tidak melebihi 60% daripada gaji pokok dan elaun tetap yang diambil kira;
  • Jumlah hutang tidak melebihi 80% daripada pendapatan bersih; dan
  • Gaji bersih sekurang-kurangnya 20% daripada pendapatan kasar.

Pendapatan bersih bagi tujuan pengiraan LPPSA pula merujuk kepada gaji pokok + elaun tetap yang diambil kira – potongan wajib.

Jadi, seseorang yang mempunyai gaji tinggi sekalipun tidak semestinya mendapat jumlah maksimum RM1 juta kerana pengiraan turut mengambil kira kemampuan bayaran balik.

Bagaimana pula kadar keuntungan?

Untuk pembiayaan hartanah sehingga RM1 juta, LPPSA memperkenalkan struktur kadar purata wajaran (blended rate).

Strukturnya:

Sehingga RM750,000 → 4.00% setahun

Bahagian melebihi RM750,000 sehingga RM1 juta → 4.50% setahun

Yang menariknya, pengiraan ini mengambil kira jumlah pembiayaan hartanah yang diluluskan bagi Pembiayaan Pertama dan Pembiayaan Kedua.

Contoh RM800,000

Bagi pembiayaan RM800,000:

RM750,000 pertama → 4.00%

Baki RM50,000 → 4.50%

Kadar purata wajaran yang terhasil ialah kira-kira 4.03% setahun.

RM1 juta bukan bermaksud boleh ambil RM1 juta untuk rumah kedua

Ini perkara yang ramai mungkin salah faham.

Had maksimum RM1 juta ialah had kelayakan maksimum, bukannya jumlah automatik yang boleh dipinjam.

Untuk Pembiayaan Kedua pula, LPPSA secara jelas menyatakan ia tertakluk kepada baki kelayakan pembiayaan.

Contohnya, jika seseorang mempunyai had kelayakan RM800,000 tetapi telah menggunakan RM600,000 bagi Pembiayaan Pertama, baki kelayakannya tidak bermaksud dia boleh terus mengambil RM800,000 lagi.

Sebaliknya, pengiraan baki kelayakan perlu dibuat berdasarkan ketetapan LPPSA.

Sebab itu LPPSA menyediakan kemudahan SmartKira untuk membuat semakan anggaran kelayakan mulai 4 Oktober 2026.

Boleh beli rumah kedua sebelum rumah pertama habis bayar?

Ya, mulai 4 Oktober 2026, boleh memohon.

Tetapi terdapat tiga perkara yang perlu diberi perhatian:

Pertama: Pembiayaan Pertama tidak perlu diselesaikan sepenuhnya.

Kedua: Pemohon perlu mempunyai baki kelayakan pembiayaan yang mencukupi.

Ketiga: Pemohon masih perlu memenuhi syarat kemampuan bayaran balik dan syarat LPPSA yang berkuat kuasa.

Jadi, kemudahan ini memberikan fleksibiliti, tetapi bukan “lesen” untuk mengambil hutang rumah tanpa mengambil kira kemampuan kewangan.

Semua jenis pembiayaan boleh digunakan?

Menurut FAQ LPPSA, semua jenis pembiayaan dibenarkan bagi Pembiayaan Kedua, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.

Namun, terdapat pengecualian tertentu.

Sebagai contoh, pelanggan yang sedang menikmati Pembiayaan Pertama Jenis 4 atau Jenis 5 bagi tanah dan belum memohon Jenis 6 untuk membina rumah, tidak dibenarkan memohon Pembiayaan Kedua bagi Jenis 4 atau Jenis 5 tanah tersebut.

LPPSA juga menjelaskan bahawa jika seseorang membeli tanah melalui Jenis 4 atau Jenis 5 dan kemudian memohon Jenis 6 untuk membina rumah di atas tanah tersebut, ia masih dianggap sebagai satu kelayakan pembiayaan, bukan Pembiayaan Kedua.

Bila boleh mula memohon?

Kemudahan baharu ini berkuat kuasa pada:

4 OKTOBER 2026

LPPSA menyatakan pelanggan boleh mengemukakan permohonan bagi kemudahan tersebut mulai tarikh berkenaan.

Bagi permohonan yang telah dikemukakan sebelum 4 Oktober 2026, LPPSA menyatakan ia akan diproses berdasarkan had kelayakan amaun pembiayaan hartanah yang berkuat kuasa pada tarikh permohonan diterima.

Kesimpulan

Penambahbaikan LPPSA 2026 membawa perubahan yang agak besar kepada penjawat awam.

Had kelayakan maksimum pembiayaan kini dinaikkan sehingga RM1 juta, manakala Pembiayaan Kedua boleh dipohon tanpa perlu menyelesaikan Pembiayaan Pertama terlebih dahulu.

Tetapi perkara paling penting untuk difahami ialah:

RM1 juta = had kelayakan maksimum, bukan jumlah automatik.

Dan:

Pembiayaan Kedua = boleh mohon walaupun pembiayaan pertama masih berjalan, tetapi tertakluk kepada baki kelayakan dan kemampuan bayaran balik.

Jadi, kalau memang bercadang membeli rumah kedua, langkah pertama bukan terus cari rumah RM1 juta.

Semak dahulu baki kelayakan LPPSA.

Kemudian barulah tengok harga rumah yang benar-benar mampu ditanggung.

Nota: Maklumat ini berdasarkan pengumuman dan FAQ rasmi LPPSA bertarikh 25 September 2026. Syarat dan pengiraan sebenar adalah tertakluk kepada pekeliling, garis panduan serta ketetapan LPPSA yang berkuat kuasa pada tarikh permohonan.

Sumber rasmi: LPPSA – Penambahbaikan Kemudahan Pembiayaan Perumahan Sektor Awam 2026 termasuk jadual kelayakan RM280,000 hingga RM1 juta.