Khazanah, PNB Perjelas Isu Pelupusan Pegangan Dalam FashionValet


KUALA LUMPUR, 1 Nov (Bernama) — Khazanah Nasional Bhd dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) hari ini mengeluarkan kenyataan berasingan mengenai kerugian sebanyak RM43.9 juta yang dialami kedua-dua syarikat itu setelah menjual pegangan dalam platform e-dagang Fashion Valet Sdn Bhd dengan harga RM3.1 juta

Khazanah, dalam kenyataannya berkata pelupusannya dari FashionValet mewakili jalan keluar yang bertanggungjawab untuk memindahkan pemilikan kepada pihak yang boleh membantu membimbing mereka ke trajektori pertumbuhan baharu.

Dana kekayaan negara itu berkata rasionalnya untuk melabur dalam FashionValet berpaksikan pada tema e-dagang luar talian ke dalam talian dan komitmen untuk menyokong usahawan Malaysia serta syarikat peringkat awal yang berpotensi.

Pada masa itu, katanya FashionValet adalah platform e-dagang fesyen tempatan yang berpotensi, dengan lebih daripada 400 jenama dan 15,000 produk di platformnya serta menjangkakan pertumbuhan pendapatan sekitar 60 peratus setiap tahun. 

Menurut Khazanah, pihaknya telah melabur RM27 juta untuk memperoleh sembilan peratus kepentingan dalam FashionValet pada tahun 2018.

“Dalam tempoh beberapa tahun, syarikat tersebut berdepan cabaran, sebahagian besarnya mengalami kesulitan akibat COVID-19, termasuk rancangan perluasan platform.

“Ini menyebabkan FashionValet, di bawah bimbingan Lembaga Pengarah dan pemegang saham, beralih fokus daripada menjadi sebuah platform e-dagang untuk jenama Asia Tenggara kepada mengembangkan jenama milik penuh, Duck dan Lilit, bagi mengekalkan margin operasi dan aliran tunai syarikat,” kata Khazanah.

Syarikat itu juga mengambil langkah untuk merasionalisasi kos dan menyelaraskan operasi, namun terus berdepan cabaran, termasuk pengumpulan dana dalam persekitaran yang sukar pada tahun 2022-2023.

Pada akhir tahun 2023, NXBT Partners, yang diterajui seorang usahawan Malaysia berpengalaman, menawarkan untuk memperoleh kepentingan pemegang saham sedia ada dan menyuntik modal ke dalam syarikat berkenaan.

Memandangkan FashionValet memerlukan dana dengan segera untuk meneruskan operasi, dan memandangkan pelaburan telah mencapai akhir tempoh pegangan yang disasarkan, Khazanah mempertimbangkan dan menerima tawaran tersebut,” kata Khazanah.

Khazanah berkata sebagai sebahagian daripada strategi Memajukan Malaysia yang berasaskan kerangka “A Nation That Creates”, kami kekal komited untuk menjana pembaharuan syarikat Malaysia pelbagai saiz untuk meningkatkan produktiviti dan daya saing negara, selaras dengan program GEAR-uP yang diterajui Kementerian Kewangan.

“Kami percaya ekosistem permulaan adalah penggerak inovasi, pertumbuhan ekonomi dan penciptaan pekerjaan di Malaysia,” katanya.

Walaupun terdapat risiko pelaburan dan cabaran yang lebih tinggi terhadap syarikat peringkat awal, Khazanah akan terus berdedikasi untuk menyokong syarikat permulaan tempatan dan akan terus bersama mereka sehingga mencapai kejayaan serta pertumbuhan.

PNB berkata pelaburan itu adalah di bawah dana hak miliknya, bukan ASNB

Sementara itu, PNB, dalam kenyataan berasingan juga menjelaskan pelaburannya dalam FashionValet dibuat menggunakan dana proprietarinya (hak miliknya) dan bukan dana amanah yang berada di bawah ASNB yang dilanggan oleh orang awam.

“Kami menyesali kerugian yang ditanggung yang berjumlah RM18.7 juta setelah hasil jualan yang diterima sebanyak RM1.3 juta, tetapi ia harus dilihat berbanding dengan RM337 bilion dalam aset pelaburan yang diuruskan oleh PNB dan RM16.4 bilion dalam pendapatan pelaburan yang dijana selepas mengambil kira kerugian ini dalam tahun kewangan 2023,” katanya.

PNB berkata FashionValet mewakili pelaburan modal teroka tulen yang bertujuan untuk menyokong syarikat Bumiputera berpotensi tinggi, tetapi perniagaan syarikat itu, malangnya terjejas teruk oleh COVID-19 dan berlaku perubahan dalam aliran runcit.

Ringkasnya, Dana Proprietari PNB, pada 2018, menyertai pengumpulan dana Siri C FashionValet melalui pelaburan saham keutamaan boleh tukar boleh tebus sebanyak AS$5 juta (RM20 juta) untuk kepentingan minoriti kecil.

Pelaburan ini dibuat selepas melalui penilaian terperinci pelaburan swasta PNB dan proses usaha wajar dan dilaksanakan pada nilai pasaran yang saksama mencerminkan trajektori pertumbuhan teguh FashionValet, dengan hasil meningkat kira-kira 60 peratus setiap tahun dalam tempoh tiga tahun sebelumnya.

“PNB mengiktiraf risiko selain ganjaran melabur dalam modal teroka serta ekuiti persendirian, dan oleh itu, pelaburan ini diuruskan sebagai portfolio, dengan prestasi dinilai pada keseluruhan portfolio dan bukannya pelaburan khusus.

“Untuk menguruskan risiko, had dan garis panduan yang terhad diambil bagi memastikan pelaburan tidak tertumpu dan dibiayai terutamanya oleh dana proprietari PNB, melindungi pemegang unit ASNB daripada kerugian yang berpotensi,” katanya.

Khazanah dan PNB komited kepada pelaburan yang bertanggungjawab

Melangkah ke depan, Khazanah berkata ia akan terus melabur secara bertanggungjawab dan mengurus aset ke arah pulangan mampan kepada pelbagai generasi untuk negara.

Sementara itu, PNB, satu daripada syarikat pengurusan dana terbesar di negara ini berkata ia kekal komited untuk bertindak dengan bijaksana dan berhati-hati dalam keputusan pelaburannya, yang dipandu oleh proses ketekunan wajar dan kelulusan yang terhad.

“Pelaburan ini juga dibuat oleh PNB selaras dengan seruan kerajaan pada waktu itu untuk syarikat pelaburan berkaitan kerajaan menyokong pertumbuhan syarikat Bumiputera berpotensi tinggi yang beroperasi dalam ekonomi baharu,” kata PNB.

Semalam, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata Khazanah dan PNB harus diberikan masa untuk menjelaskan mengenai pelupusan mereka dari FashionValet.

“Kami sedang memantau isu ini. Saya belum menerima laporan penuh tentang apa yang sebenarnya berlaku. Ini muncul daripada jawapan di Parlimen.”

“Jadi, saya rasa kita perlu memberi mereka sedikit masa untuk memberi penjelasan sendiri. Ini adalah wang awam dan sudah tentu, ramai orang yang bertanya,” kata Fahmi seperti dipetik pada Khamis.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Ada Gaji Tetap Tapi Buat Side Income? Jangan Terkejut Jika Terima Notis CP500 Dari LHDN

Ramai yang mempunyai gaji tetap beranggapan urusan cukai mereka telah selesai kerana majikan sudah membuat potongan cukai bulanan (PCB) setiap bulan. Namun, keadaan berbeza apabila seseorang individu mempunyai pendapatan tambahan selain gaji.

Antara pendapatan sampingan yang sering diterima rakyat Malaysia termasuk:

  • Pendapatan sewa rumah/homestay
  • Bisnes online
  • Grab/Food Panda rider
  • Content creator
  • Komisen jualan
  • Ejen insurans/takaful
  • Ejen hartanah

Jika anda mempunyai pendapatan seperti ini, anda mungkin akan menerima Notis CP500 daripada LHDN.

Apa Itu CP500?

CP500 ialah arahan bayaran ansuran cukai yang dikeluarkan oleh LHDN kepada individu yang mempunyai pendapatan selain penggajian.

Secara mudahnya, LHDN menganggarkan cukai yang perlu dibayar berdasarkan rekod tahun-tahun terdahulu dan membenarkan bayaran dibuat secara ansuran setiap dua bulan.

Daripada menunggu sehingga hujung tahun dan membayar sekaligus, sistem CP500 membantu menyebarkan beban pembayaran sepanjang tahun.

Kenapa Pekerja Bergaji Tetap Boleh Terima Notis CP500?

Ramai menyangka CP500 hanya untuk peniaga sepenuh masa.

Hakikatnya, seorang pekerja bergaji juga boleh menerima CP500 jika mempunyai pendapatan sampingan yang signifikan.

Sebagai contoh:

Ahmad bekerja sebagai jurutera dan menerima gaji RM8,000 sebulan. Pada masa sama, beliau memperoleh RM3,000 sebulan daripada sewaan sebuah apartmen. Walaupun PCB telah dipotong daripada gajinya, pendapatan sewa tersebut tidak tertakluk kepada PCB. Oleh itu, LHDN boleh mengeluarkan CP500 bagi memastikan cukai ke atas pendapatan sewa itu dibayar secara berperingkat.

CP500 Bukan Cukai Tambahan

Salah faham yang sering berlaku ialah ramai menganggap CP500 sebagai cukai tambahan.

Sebenarnya tidak.

Bayaran CP500 hanyalah bayaran pendahuluan terhadap cukai yang bakal dikira apabila anda mengemukakan borang cukai pendapatan.

Jika jumlah CP500 yang dibayar melebihi cukai sebenar, lebihan tersebut boleh dituntut semula. Jika tidak mencukupi, baki cukai perlu dijelaskan.

Musim Borang B: Semak Jika Anda Ada CP500

Bersempena musim penghantaran Borang B, individu yang mempunyai pendapatan selain penggajian disarankan untuk menyemak MyTax masing-masing.

Ramai pembayar cukai hanya menyedari kewujudan CP500 selepas menerima peringatan atau notis tunggakan.

Lebih baik mengetahui lebih awal dan merancang aliran tunai berbanding berdepan cukai yang besar secara mengejut.

Apa Yang Perlu Dilakukan Jika Menerima Notis CP500?

Apabila menerima notis CP500, anda perlu memberi perhatian kepada tiga perkara utama:

  • Membuat bayaran cukai secara ansuran setiap dua bulan.
  • Membayar jumlah yang dinyatakan dalam notis CP500.
  • Memastikan bayaran dibuat sebelum tarikh akhir yang ditetapkan.

Ramai pembayar cukai menyimpan notis tersebut tanpa mengambil sebarang tindakan kerana menyangka ia sekadar makluman biasa. Hakikatnya, CP500 adalah jadual bayaran ansuran cukai yang dikeluarkan oleh LHDN dan memerlukan tindakan daripada penerima notis.

Jika anda tidak bersetuju dengan jumlah yang ditetapkan atau menjangkakan pendapatan anda jauh berbeza daripada tahun sebelumnya, anda boleh menghubungi LHDN untuk mendapatkan penjelasan lanjut atau membuat semakan yang bersesuaian.

Bagaimana LHDN mengetahui anda mempunyai pendapatan tambahan? Secara umumnya, CP500 ditentukan berdasarkan maklumat yang telah dilaporkan dalam borang cukai tahun-tahun terdahulu. Dengan pelaksanaan e-Invois yang semakin meluas, data transaksi yang direkodkan juga dijangka membantu meningkatkan ketepatan maklumat percukaian pada masa hadapan.

Terlepas Bayar CP500, Ada Penalti?

Ya. Jika bayaran CP500 tidak dijelaskan dalam tempoh yang ditetapkan, penalti lewat bayar boleh dikenakan oleh LHDN.

Namun bagi Tahun Taksiran 2026, LHDN memberikan pengecualian penalti kepada individu yang mempunyai pendapatan penggajian serta pendapatan bukan penggajian yang menyebabkan notis CP500 dikeluarkan, termasuk pendapatan seperti sewa, faedah dan royalti.

Artikel The Star juga menekankan bahawa kelayakan bergantung kepada jenis pendapatan dan profil pembayar cukai, bukan sama ada penerima CP500 kali pertama atau tidak.

Langkah ini diperkenalkan bagi membantu kumpulan tersebut menyesuaikan diri dengan pelaksanaan sistem CP500 sepanjang tempoh peralihan.

Contoh:

Ahmad bekerja makan gaji dan PCB dipotong setiap bulan. Pada masa sama, beliau menerima pendapatan sewa rumah. Oleh sebab pendapatan sewa tidak tertakluk kepada PCB, Ahmad menerima notis CP500.

Sekiranya Ahmad tidak membuat bayaran ansuran CP500 pada Tahun Taksiran 2026, beliau tidak akan dikenakan penalti 10% di bawah Seksyen 107B(3) Akta Cukai Pendapatan.

Namun begitu, cukai yang masih belum dibayar tetap perlu dijelaskan apabila beliau mengemukakan borang cukai pendapatan kelak.

Ringkasnya, yang dikecualikan adalah penalti, bukannya cukai.

Baca lagi KONSESI PENGENAAN PENALTI KE ATAS NOTIS BAYARAN ANSURAN (CP500) BAGI INDIVIDU YANG MENERIMA PENDAPATAN PENGGAJIAN

Kesimpulan

Mempunyai pendapatan sampingan sememangnya satu perkara yang baik kerana ia membantu meningkatkan pendapatan. Namun begitu, jangan lupa bahawa setiap pendapatan juga datang bersama tanggungjawab percukaian.

Jika anda mempunyai pendapatan selain gaji, luangkan sedikit masa untuk memahami CP500. Ia bukan hukuman, bukan juga cukai tambahan, tetapi mekanisma yang membantu pembayar cukai mengurus bayaran cukai dengan lebih teratur sepanjang tahun.