13 Peratus Daripada 477,571 Peminjam AKPK Selesai Sepenuhnya Hutang Lebih RM3.2 Bilion


KUALA LUMPUR, 4 Dis (Bernama) — Sebanyak 13 peratus daripada 477,571 peminjam Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) berjaya menyelesaikan sepenuhnya pinjaman hutang melebihi RM3.2 bilion, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata peminjam ini dibantu melalui Program Pengurusan Kredit (PPK) yang membantu mereka untuk menstrukturkan semula pinjaman sedia ada dan membolehkan peminjam untuk terus membayar balik pinjaman. 

“Selain itu, 51 peratus daripada peserta masih aktif dan menerima bantuan daripada inisiatif ini. Tambahan pula, lima peratus daripada peserta telah menamatkan penyertaan dalam program ini memandangkan mereka telah berkemampuan untuk menyelesaikan hutang mereka tanpa bantuan AKPK,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Noraini Idris berkenaan usaha yang dilaksanakan Kementerian Kewangan menerusi AKPK untuk menyediakan jalan keluar kepada rakyat yang diisytiharkan bankrap.

Amir Hamzah berkata sejak penubuhan AKPK pada 2006, agensi berkenaan telah memberi manfaat kepada hampir 1.4 juta individu menerusi Khidmat Nasihat Kawalselia Kewangan (KNKK) secara percuma.

Beliau berkata, bagi membantu mengurangkan kadar kebankrapan, AKPK dan institusi kewangan telah melaksanakan inisiatif dalam mengeluarkan notis kepada peminjam.

Katanya ia bertujuan mendapatkan bantuan penjadualan semula atau penstrukturan pinjaman sebelum institusi kewangan meneruskan notis kebankrapan.

“Inisiatif ini membantu peminjam untuk mendapatkan bantuan daripada institusi kewangan atau AKPK, sekali gus mengurangkan kadar kebankrapan,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

BNM, SC Selaraskan Keutamaan Strategik dalam Memajukan Kepimpinan Kewangan Islam Global Malaysia

Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) semalam telah melangsungkan mesyuarat sulung Panel Penasihat (MAP) Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC).

MAP, platform nasihat dan perundingan antara agensi, telah ditubuhkan untuk mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai pasaran global terkemuka dan pintu masuk antarabangsa untuk kewangan Islam.

Pada mesyuarat tersebut, ahli-ahli membincangkan peranan utama MAP untuk:

  • Menyediakan Panduan Strategik: Memperhalusi dan menyokong keutamaan strategik Rangkaian Perniagaan MIFC (MBN), platform yang dipimpin oleh industri bertujuan untuk memperkukuh  agenda kewangan Islam antarabangsa Malaysia dan usaha pembangunan perniagaan;
  • Menyelaraskan Keutamaan Negara: Memastikan inisiatif yang dipimpin industri mempunyai sumber yang mencukupi dan sejajar dengan strategi ekonomi negara yang lebih luas;
  • Memajukan Hasil Perniagaan: Membincangkan cabaran industri dan menyediakan cadangan yang boleh diambil tindakan untuk memangkin pertumbuhan yang lebih kukuh; dan
  • Memanfaatkan Peluang Global: Memanfaatkan pandangan kolektif untuk meningkatkan penyertaan antarabangsa dan kerjasama rentas sempadan.

MAP menyatukan agensi-agensi  utama kerajaan, badan kawal selia dan peneraju industri, dalam memastikan pendekatan yang holistik untuk memajukan agenda MIFC.

Dipengerusikan bersama oleh BNM dan SC, MAP terdiri daripada wakil daripada:

  1. Kementerian Kewangan
  2. Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri
  3. Bursa Malaysia
  4. Kumpulan Wang Simpanan Pekerja
  5. Khazanah Nasional Berhad
  6. Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan)
  7. Permodalan Nasional Berhad
  8. Lembaga Tabung Haji
  • Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan
  • Tan Sri Azman Mokhtar (Business Envoy)
  • Tan Sri Abdul Wahid Omar (Business Envoy)

Penubuhan MAP bertepatan dengan peralihan rasmi Majlis Kepimpinan MIFC (MLC) ke dalam MBN. Evolusi ini menandakan peralihan ke arah pengawasan yang lebih besar yang dipimpin oleh industri, disokong oleh kerjasama erat antara sektor awam dan swasta.

Berteraskan asas yang didirikan oleh MLC, MBN akan memacu dan melaksanakan keutamaan strategik untuk membuka peluang perniagaan untuk Malaysia. Bagi mempercepatkan momentum ini, panduan dan sokongan MAP akan memainkan peranan penting dalam memangkinkan pertumbuhan Malaysia dan mengukuhkan kedudukannya sebagai hab kewangan Islam yang terhubung secara global.