PM Jamin Sebarang Kenaikan Tarif Elektrik Tidak Beban Komuniti Perniagaan, 85 Peratus Isi Rumah Terus Dapat Subsidi


KUALA LUMPUR, 3 Feb (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa sebarang kenaikan tarif elektrik tidak akan membebankan komuniti perniagaan, selain 85 peratus isi rumah akan terus mendapat subsidi.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata sebarang kenaikan tarif elektrik pada separuh kedua 2025 tidak akan membebankan atau merugikan komuniti perniagaan.

Berucap pada majlis sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) hari ini, beliau juga menegaskan bahawa isi rumah berpendapatan rendah akan terus tidak terjejas oleh semakan tarif dijadualkan bagi tempoh tersebut.

Pada masa ini, kerajaan memberikan subsidi elektrik kepada lebih 85 peratus isi rumah.

Tarif asas elektrik di Malaysia ditetapkan oleh Suruhanjaya Tenaga di bawah kerangka Kawalselia Berasaskan Insentif (IBR) dan disemak setiap tiga tahun.

Selain tarif asas, terdapat mekanisme Pelepasan Kos Tidak Berimbang (ICPT) yang disemak setiap enam bulan.

ICPT melaraskan kadar elektrik berdasarkan perubahan sebenar dalam kos bahan api.

Semakan tarif seterusnya akan dilakukan pada Julai, 2025.

–BERNAMA


Previous ArticleNext Article

Tarif 10 Peratus AS Terhadap Malaysia Berkuat Kuasa

Malaysia dikenakan tarif 10 peratus oleh Amerika Syarikat (AS) di bawah siasatan Seksyen 301 berkaitan buruh paksa, berkuat kuasa mulai 12.01 tengah malam waktu AS, Jumaat, 24 Julai 2026.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, Malaysia adalah antara 17 ekonomi yang dikenakan kadar tarif 10 peratus, manakala ekonomi lain dikenakan tarif 12.5 peratus.

Katanya, kadar lebih rendah itu mengambil kira komitmen Malaysia melaksanakan dan menguatkuasakan undang-undang yang melarang pengimportan barangan dihasilkan menggunakan buruh paksa.

“Tarif berkenaan mula berkuat kuasa sejurus tamat tempoh tarif sementara yang dikenakan di bawah Seksyen 122 Akta Perdagangan 1974 AS,” katanya.

Sementara itu, MITI berkata, siasatan Seksyen 301 berkaitan isu kapasiti berlebihan yang membabitkan 16 ekonomi termasuk Malaysia masih diteruskan.

Katanya, kadar tarif bagi siasatan itu hanya akan diumumkan selepas Pejabat Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) membuat keputusan mengenainya.

“MITI akan memaklumkan semua pihak berkepentingan mengenai sebarang perkembangan berkaitan dan akan terus mengadakan libat urus dengan Amerika Syarikat,” katanya.

— Berita Harian