PMB Investment Umum Agihan 1.00 Sen Seunit Bagi Dana Shariah Global Equity


KUALA LUMPUR, 4 Feb (Bernama) — PMB Investment Bhd hari ini mengumumkan agihan pendapatan sebanyak 1.00 sen seunit bagi PMB Shariah Global Equity Fund untuk tahun kewangan berakhir pada 31 Jan, 2025 yang berjumlah RM106,896.25.

Dalam kenyataannya, syarikat pengurusan dana Islam (IFMC) di bawah Pelaburan MARA Bhd itu berkata agihan berkenaan telah dikreditkan kepada pemegang unit berdasarkan tarikh selepas 31 Jan, 2025, dengan tarikh pelaburan semula ditetapkan pada 1 Feb, 2025. 

“Pengagihan ini mewakili hasil sebanyak 1.80 peratus untuk tahun kewangan berkenaan dengan mencatat pulangan keseluruhan sebanyak 2.66 peratus dalam tempoh sama,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Pelaburan Hang Tuah Amin Tajudin berkata pulangan memberangsangkan sebanyak 23.75 peratus dalam tempoh tiga tahun berakhir pada 31 Jan, 2025 menunjukkan PMB Shariah Global Equity Fund konsisten dalam memberikan hasil yang kukuh.

“Ini mencerminkan daya tahan dana ini dan keupayaannya mengharungi keadaan pasaran global yang dinamik dengan berkesan,” katanya.

Dalam pada itu, PMB Investment berkata dana itu bertujuan mencapai pertumbuhan modal jangka sederhana hingga panjang menerusi pelaburan dalam portfolio pelbagai sekuriti patuh syariah yang tersenarai di pasaran global.

Menurutnya dalam keadaan biasa, dana ini memperuntukkan 70-99.5 peratus daripada nilai aset bersih (NAV) kepada ekuiti patuh syariah dan sekuriti berkaitan ekuiti dengan baki dilaburkan dalam instrumen pasaran wang Islam, deposit Islam dan pelaburan patuh syariah lain.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

FCPO: Kembali Ke Fasa Pengukuhan

  • Kekalkan pegangan jualan

FCPO ini menurun MYR9 semasa sesi dagangan lalu untuk ditutup pada harga MYR4,597. Pada hari Jumaat, komoditi ini memulakan dagangan pada paras MYR4,604. Pada awalnya, ia jatuh ke paras terendah sesi tersebut pada MYR4,575. Ia kemudiannya melantun ke paras tertinggi sesi tersebut pada MYR4,608 dan menutup dagangan pada MYR4,597. Di samping pergerakan RSI ke bawah, penutupan dagangan terkini yang menurun menunjukkan momentum menurun kembali menguat.

Komoditi ini mungkin akan melanjutkan fasa koreksi harga dan menguji paras sokongan semula pada MYR4,390. Sementara itu, garisan SMA 50 hari masih bergerak ke paras lebih rendah, lantas mengukuhkan keadaan pasaran menurun. Sekiranya komoditi ini mencatat pergerakan menaik, paras MYR4,700 akan menahan harga daripada menembusi paras berkenaan. Selagi FCPO terus berada di bawah paras ambang MYR4,700, kami tetap akan berpegang pada bias dagangan negatif.

Para pedagang disarankan untuk terus mengekalkan pegangan jualan yang dimulakan pada penutupan 12 Mei (MYR4,481). Untuk menangani risiko-risiko dagangan yang ada, paras ambang henti rugi ditetapkan pada MYR4,700.

Paras sokongan pertama kini berada pada MYR4,390 dan diikuti oleh paras sokongan lebih rendah pada MYR4,250. Paras rintangan pertama pula ialah MYR4,700 yang diikuti oleh paras MYR4,900.