KWSP Tidak Rugi, Raih RM102 Juta Daripada Penjualan Saham MAHB – Amir Hamzah


KUALA LUMPUR, 20 Feb (Bernama) — Saham Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) telah dijual pada harga antara RM6.80 dan RM7.70 seunit, menghasilkan pendapatan berjumlah RM102 juta untuk agihan dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi tahun kewangan 2023, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata prestasi saham MAHB yang mengatasi Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) sebanyak 11.47 peratus pada 2023 turut menjadi faktor utama strategi penjualan saham.

Sehubungan itu, katanya tuduhan bahawa KWSP mengalami kerugian daripada penjualan ini adalah tidak berasas dan ini jelas telah ditolak oleh KWSP melalui kenyataan akhbarnya pada 12 Feb 2025.

“Berdasarkan kenyataan ini, jelas bahawa KWSP telah mencatatkan keuntungan daripada penjualan beli saham MAHB dan berjaya merekodkan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM63.48 bilion bagi penyata kewangan berakhir 31 Dis 2023,” katanya pada Sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Chong Zhemin (PH-Kampar) yang ingin mengetahui jumlah keuntungan atau kerugian dialami KWSP dalam transaksi pembelian dan penjualan saham MAHB dan bagaimana ia dilaporkan dalam penyata kewangan KWSP.

Amir Hamzah berkata KWSP juga telah berjaya mengisytiharkan dividen sebanyak 5.50 peratus bagi Simpanan Konvensional dan 5.40 peratus bagi Simpanan Shariah pada 2023. 

“Secara keseluruhan, sejak 2014, jumlah pendapatan daripada dagangan aktif dan pengumpulan dividen saham MAHB telah mencapai nilai RM650 juta,” katanya.

Katanya aktiviti jual beli saham MAHB dan penswastaan MAHB yang baru dimuktamadkan pada tahun ini adalah dua pelaburan yang berbeza iaitu dari segi matlamat pelaburannya dan dari segi jabatan yang bertanggungjawab menguruskan pelaburan tersebut.

Menurutnya, sehingga pengumuman Tawaran Sukarela (VGO) pada 15 Mei 2024 di Bursa Malaysia, aktiviti dagangan saham MAHB oleh pengurus dana saham tersenarai berjalan mengikut mandatnya untuk menjana pulangan untuk ahli-ahli KWSP.

KWSP mengamalkan proses tadbir urus yang tegas melalui protokol perintang maklumat atau dikenali sebagai ‘Chinese wall’ yang merupakan amalan piawaian standard dalam kalangan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan institusi kewangan, katanya. 

“Di bawah protokol perintang maklumat, Jabatan Pelaburan Strategik (JPS) yang bertanggungjawab ke atas VGO MAHB ini adalah dilarang sama sekali daripada berkongsi maklumat sensitif dan bukan umum kepada Jabatan Ekuiti (IP).

“Protokol ini memastikan pemisahan maklumat agar tidak berlaku sebarang percanggahan kepentingan yang boleh membawa risiko berlakunya ‘insider trading’ yang merupakan kesalahan jenayah di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA),” katanya.

Beliau berkata protokol perintang maklumat tidak sewajarnya diperlekehkan kerana ia merupakan langkah kawalan penting sebagai pertahanan terhadap ‘insider trading’ seperti yang dinyatakan dalam Seksyen 190, Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA).

Katanya ‘insider trading’ merupakan satu kesalahan jenayah yang jika disabitkan boleh membawa kepada hukuman mandatori penjara tidak melebihi 10 tahun dan denda tidak kurang daripada RM1 juta.

“Sekiranya KWSP menggunakan maklumat dalaman untuk membuat dagangan saham, ini boleh merosakkan integriti dan keadilan pasaran saham di Malaysia memandangkan penyertaan KWSP adalah sebanyak 38 peratus daripada keseluruhan pasaran ekuiti tersenarai domestik,” katanya. 

Beliau berkata kawalan dalaman ketat yang telah diwujudkan dan dipraktikkan dengan penuh integriti oleh KWSP inilah yang telah menyumbang kepada keteguhan KWSP sebagai sebuah institusi pelaburan yang disegani sepanjang hampir 75 tahun penubuhannya. 

“Sebagai institusi pelabur terbesar di Malaysia, KWSP mengambil berat peranannya dalam menyumbang kepada kestabilan pasaran kewangan. 

“Apa-apa tindakan tidak wajar oleh KWSP bukan sahaja boleh menjejaskan reputasi dan kedudukan KWSP, malah boleh menjejaskan prestasi pasaran kewangan negara,” katanya.

— BERNAMA 

Previous ArticleNext Article

QES Group: Pertumbuhan Menerusi Inisiatif Kenaikan Nilai

Saranan BELI kekal, harga sasar (TP) baharu menaik kepada MYR0.69 daripada MYR0.57, potensi kenaikan harga 21% dan kadar hasil dividen kira-kira 2% untuk FY27F

Selepas menghadiri perjumpaan dengan pihak pengurusan, kami tetap optimis akan prospek FY26 untuk QES Group, atas sokongan keterlihatan buku pesanan yang bertahan ketika fasa kenaikan semikonduktor yang berlangsung dan portfolio pembuatan yang kian berkembang. Pihak pengurusan meramalkan perolehan lebih kukuh dari 2Q26, didorong oleh peningkatan dalam teknologi perubatan (MedTech) dan prestasi bertahan dalam bahagian kejuruteraan nilai. Pada masa yang sama, sebarang kenaikan lanjut mungkin berpunca daripada ikhtiarikhtiar kerjasama dengan China yang menawarkan sumber pertumbuhan tambahan daripada segmen pasaran yang berbeza dalam jangka sederhana.

Keterlihatan FY26 yang kukuh

Setakat akhir bulan Mei 2026, buku pesanan belum bayar oleh QES terus bertahan pada paras MYR121j (akhir April: MYR122j), yang merangkumi MYR86j dan MYR35j bawah bahagian-bahagian kejuruteraan nilai dan pembuatan. Walaupun mencatat bil sekitar 45% daripada buku pesanan akhir bulan Apr pada akhir Jun, penambahan tempahan yang masih berjalan memastikan buku pesanan secara amnya terkawal dengan kira-kira 90% daripada buku pesanan belum bayar dijangka akan dilaksanakan pada FY26. Dalam hal berasingan, QES memperoleh tempahan sistem Pemeriksaan Optikal Automatik (AOI) yang terbesar baru-baru ini dari India dengan nilai mencecah sekitar MYR14j. Tempahan ini dijadualkan untuk penghantaran penuh pada FY26.

Tempahan MedTech terus meningkat

Setakat akhir Jun, QES berjaya memperoleh jumlah tempahan MedTech mencecah kira-kira MYR21.5j, manakala tempahan medtech yang tertunggak adalah sekitar MYR9j (kira-kira 26% buku pesanan pembuatan). Operasi MedTech sekarang menggunakan lebih kurang 90% ruang yang disediakan untuk kegunaan MedTech di Kilang A di Batu Kawan. QES sedang giat berhubung dengan beberapa syarikat MedTech multinasional yang sepatutnya mendorong lagi pertumbuhan tempahan dan memperkukuh kemampuan bahagian pembuatan ini untuk mencatat pulangan modal (1QFY26 PBT: -MYR1.5j).

Kerjasama dengan China berjalan dengan baiknya

QES sedang membangunkan sebuah bilik bersih Class 1000 di kemudahannya di Batu Kawan, dan ia dijadualkan siap dibina menjelang 4Q26, untuk menyokong kerjasama pembuatannya yang pertama dengan rakan kongsi yang berpangkalan di China. Projek ini dijangka menjana pendapatan sehingga MYR80j sebaik sahaja ia beroperasi dengan sepenuhnya. Dalam hal berasingan, kerjasamanya dengan Unicomp Technology mengembangkan peluang pertumbuhan menerusi pengedaran sistem-sistem
pemeriksaan sinar-X di rantau ASEAN (TAM: kira-kira USD5j setahun) dengan pendapatan awal dijangka diperoleh dari 4QFY26 sebelum menjadi sebuah pusat pembuatan serantau selepas fasa penyelidikan & pembangunan (R&D) selesai.

Perolehan dan TP

Kami tingkatkan perolehan FY26F-28F sebanyak 2%, 12% dan 11% supaya mencerminkan andaian hasil lebih kukuh yang diperkuat oleh keterlihatan buku pesanan yang bertahan dan pemulihan segmen pembuatan yang didorong oleh MedTech. Kami jangkakan margin akan menaik mulai 2Q26, dibantu oleh kadar penggunaan kilang lebih tinggi dan jangkaan pemulihan untuk bahagian pembuatannya. Kami menganjakkan penilaian kami ke FY27F dan mengekalkan P/E FY27F pada 23x, untuk memperoleh TP baharu sebanyak MYR0.69.

Faktor pemacu utama

i. Permintaan semikonduktor yang meningkat menyokong segmen kejuruteraan nilainya
ii. Pertumbuhan segmen pembuatan didorong oleh pesanan berkaitan teknologi perubatan
iii. Sumbangan berperingkat daripada kerjasamanya di China.

Risiko utama

i. Turun naik pesanan
ii. Kenaikan kos input
iii. Kemerosotan nilai USD berbanding MYR.

Pemegang Saham (%)

WA Capital – 26.2
Weng Chew Ne – 2.8
Norges Bank – 2.5

Profil Syarikat

QES terlinat dalam pengedaran peralatan pemeriksaan, ujian dan pengukuran, bahan-bahan, dan penyelesaian kejuruteraan. Ia juga mengilangkan peralatan pemeriksaan optikal, stok wafer, dan peralatan
berautomasi lain, khususnya untuk segmen semikonduktor.

Penganalisis
Lee Meng Horng +603 2302 8115 ([email protected])

Penafian :
Laporan penyelidikan ini disediakan oleh pasukan Penyelidikan RHB (RHB Research Team) dari RHB Investment Bank Bhd.