KWSP Beli Saham MAHB Pada RM11 Bagi Pastikan Harga Senarai Lebih Tinggi – Amir Hamzah


KUALA LUMPUR, 20 Feb (Bernama) — Langkah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membeli saham Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) pada harga RM11 sesaham adalah bagi memastikan MAHB di landasan tepat untuk disenaraikan semula dengan harga lebih tinggi. 

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata penglibatan KWSP kali ini turut mengambil kira aspek penciptaan nilai tambah lebih strategik dan strategi baharu serta pelaksanaan pelan pemulihan dan penambahbaikan MAHB. 

“Ini hanya boleh dikecapi melalui transformasi operasi MAHB,” katanya dalam sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Chong Zhemin (PH-Kampar) mengenai keperluan KWSP menjual saham MAHB sebelum mengumumkan dividen serta pelan dana persaraan itu dalam memastikan kejayaan penswastaan MAHB dan memberi pulangan kepada ahli-ahlinya.

Menjelaskan selanjutnya, Amir Hamzah berkata tawaran sukarela oleh konsortium yang turut dianggotai KWSP untuk pengambilalihan semua saham MAHB yang belum dimiliki pada harga RM11 sesaham, juga merupakan pelaburan baharu jangka panjang dana persaraan itu.

Mengulas keperluan KWSP menjual saham MAHB sebelum pengumuman dividen, beliau berkata Seksyen 27 Akta KWSP 1991 (Akta 452) menyatakan pengisytiharan dividen adalah mengikut prestasi sebenar pelaburan yang dibuat oleh KWSP. 

“Jabatan Ekuiti Awam KWSP mula menjual pegangan KWSP dalam MAHB bermula pada Januari 2023 yang mana ketika itu KWSP memegang 15.5 peratus pegangan saham MAHB untuk merealisasikan peluang keuntungan daripada harga pasaran saham MAHB yang ketika itu mengatasi prestasi indeks komposit FBM KLCI.

“Apa yang perlu ditegaskan di sini ialah penilaian dan perbincangan bagi tawaran am hanya bermula pada Julai 2023 dan pengurus dana di Jabatan Ekuiti Awam KWSP tidak mempunyai sebarang maklumat atau akses kepada maklumat berhubung tawaran ke atas MAHB ini,” katanya. 

Pada 13 Feb, 2025, MAHB telah mengemukakan permohonan untuk dinyahsenarai dari Pasaran Utama Bursa Malaysia dengan hari terakhir saham MAHB diniagakan secara awam pada 19 Feb, 2025.

Susulan itu, Bursa Malaysia Securities akan menggantung dagangan saham MAHB bermula 20 Feb, 2025.

Amir Hamzah berkata sejurus selesainya penyahsenaraian itu, konsortium terbabit akan memberi sepenuh perhatian untuk meningkatkan infrastruktur, ketersambungan serta pengalaman penumpang.

“Mungkin secara kasarnya, perkara-perkara ini seperti tidak memainkan peranan penting kepada pemulihan MAHB tetapi sebenarnya perubahan inilah yang menjadi asas kepada transformasi strategik MAHB,” katanya. 

Beliau berkata dalam meningkatkan pelaburan dan menambah baik pengalaman penumpang, rakyat dan pelancong, usaha tidak hanya menumpukan lapangan terbang antarabangsa utama seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Pulau Pinang dan Kota Kinabalu, tetapi turut membabitkan penambahbaikan lapangan terbang lain antaranya di Tawau (Sabah), Kota Bharu (Kelantan) serta Ipoh (Perak).

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Ada Gaji Tetap Tapi Buat Side Income? Jangan Terkejut Jika Terima Notis CP500 Dari LHDN

Ramai yang mempunyai gaji tetap beranggapan urusan cukai mereka telah selesai kerana majikan sudah membuat potongan cukai bulanan (PCB) setiap bulan. Namun, keadaan berbeza apabila seseorang individu mempunyai pendapatan tambahan selain gaji.

Antara pendapatan sampingan yang sering diterima rakyat Malaysia termasuk:

  • Pendapatan sewa rumah/homestay
  • Bisnes online
  • Grab/Food Panda rider
  • Content creator
  • Komisen jualan
  • Ejen insurans/takaful
  • Ejen hartanah

Jika anda mempunyai pendapatan seperti ini, anda mungkin akan menerima Notis CP500 daripada LHDN.

Apa Itu CP500?

CP500 ialah arahan bayaran ansuran cukai yang dikeluarkan oleh LHDN kepada individu yang mempunyai pendapatan selain penggajian.

Secara mudahnya, LHDN menganggarkan cukai yang perlu dibayar berdasarkan rekod tahun-tahun terdahulu dan membenarkan bayaran dibuat secara ansuran setiap dua bulan.

Daripada menunggu sehingga hujung tahun dan membayar sekaligus, sistem CP500 membantu menyebarkan beban pembayaran sepanjang tahun.

Kenapa Pekerja Bergaji Tetap Boleh Terima Notis CP500?

Ramai menyangka CP500 hanya untuk peniaga sepenuh masa.

Hakikatnya, seorang pekerja bergaji juga boleh menerima CP500 jika mempunyai pendapatan sampingan yang signifikan.

Sebagai contoh:

Ahmad bekerja sebagai jurutera dan menerima gaji RM8,000 sebulan. Pada masa sama, beliau memperoleh RM3,000 sebulan daripada sewaan sebuah apartmen. Walaupun PCB telah dipotong daripada gajinya, pendapatan sewa tersebut tidak tertakluk kepada PCB. Oleh itu, LHDN boleh mengeluarkan CP500 bagi memastikan cukai ke atas pendapatan sewa itu dibayar secara berperingkat.

CP500 Bukan Cukai Tambahan

Salah faham yang sering berlaku ialah ramai menganggap CP500 sebagai cukai tambahan.

Sebenarnya tidak.

Bayaran CP500 hanyalah bayaran pendahuluan terhadap cukai yang bakal dikira apabila anda mengemukakan borang cukai pendapatan.

Jika jumlah CP500 yang dibayar melebihi cukai sebenar, lebihan tersebut boleh dituntut semula. Jika tidak mencukupi, baki cukai perlu dijelaskan.

Musim Borang B: Semak Jika Anda Ada CP500

Bersempena musim penghantaran Borang B, individu yang mempunyai pendapatan selain penggajian disarankan untuk menyemak MyTax masing-masing.

Ramai pembayar cukai hanya menyedari kewujudan CP500 selepas menerima peringatan atau notis tunggakan.

Lebih baik mengetahui lebih awal dan merancang aliran tunai berbanding berdepan cukai yang besar secara mengejut.

Apa Yang Perlu Dilakukan Jika Menerima Notis CP500?

Apabila menerima notis CP500, anda perlu memberi perhatian kepada tiga perkara utama:

  • Membuat bayaran cukai secara ansuran setiap dua bulan.
  • Membayar jumlah yang dinyatakan dalam notis CP500.
  • Memastikan bayaran dibuat sebelum tarikh akhir yang ditetapkan.

Ramai pembayar cukai menyimpan notis tersebut tanpa mengambil sebarang tindakan kerana menyangka ia sekadar makluman biasa. Hakikatnya, CP500 adalah jadual bayaran ansuran cukai yang dikeluarkan oleh LHDN dan memerlukan tindakan daripada penerima notis.

Jika anda tidak bersetuju dengan jumlah yang ditetapkan atau menjangkakan pendapatan anda jauh berbeza daripada tahun sebelumnya, anda boleh menghubungi LHDN untuk mendapatkan penjelasan lanjut atau membuat semakan yang bersesuaian.

Bagaimana LHDN mengetahui anda mempunyai pendapatan tambahan? Secara umumnya, CP500 ditentukan berdasarkan maklumat yang telah dilaporkan dalam borang cukai tahun-tahun terdahulu. Dengan pelaksanaan e-Invois yang semakin meluas, data transaksi yang direkodkan juga dijangka membantu meningkatkan ketepatan maklumat percukaian pada masa hadapan.

Terlepas Bayar CP500, Ada Penalti?

Ya. Jika bayaran CP500 tidak dijelaskan dalam tempoh yang ditetapkan, penalti lewat bayar boleh dikenakan oleh LHDN.

Namun bagi Tahun Taksiran 2026, LHDN memberikan pengecualian penalti kepada individu yang mempunyai pendapatan penggajian serta pendapatan bukan penggajian yang menyebabkan notis CP500 dikeluarkan, termasuk pendapatan seperti sewa, faedah dan royalti.

Artikel The Star juga menekankan bahawa kelayakan bergantung kepada jenis pendapatan dan profil pembayar cukai, bukan sama ada penerima CP500 kali pertama atau tidak.

Langkah ini diperkenalkan bagi membantu kumpulan tersebut menyesuaikan diri dengan pelaksanaan sistem CP500 sepanjang tempoh peralihan.

Contoh:

Ahmad bekerja makan gaji dan PCB dipotong setiap bulan. Pada masa sama, beliau menerima pendapatan sewa rumah. Oleh sebab pendapatan sewa tidak tertakluk kepada PCB, Ahmad menerima notis CP500.

Sekiranya Ahmad tidak membuat bayaran ansuran CP500 pada Tahun Taksiran 2026, beliau tidak akan dikenakan penalti 10% di bawah Seksyen 107B(3) Akta Cukai Pendapatan.

Namun begitu, cukai yang masih belum dibayar tetap perlu dijelaskan apabila beliau mengemukakan borang cukai pendapatan kelak.

Ringkasnya, yang dikecualikan adalah penalti, bukannya cukai.

Baca lagi KONSESI PENGENAAN PENALTI KE ATAS NOTIS BAYARAN ANSURAN (CP500) BAGI INDIVIDU YANG MENERIMA PENDAPATAN PENGGAJIAN

Kesimpulan

Mempunyai pendapatan sampingan sememangnya satu perkara yang baik kerana ia membantu meningkatkan pendapatan. Namun begitu, jangan lupa bahawa setiap pendapatan juga datang bersama tanggungjawab percukaian.

Jika anda mempunyai pendapatan selain gaji, luangkan sedikit masa untuk memahami CP500. Ia bukan hukuman, bukan juga cukai tambahan, tetapi mekanisma yang membantu pembayar cukai mengurus bayaran cukai dengan lebih teratur sepanjang tahun.