Tarif 25 Peratus Cabaran Kepada Malaysia – Mohamad Hasan


KUALA LUMPUR, 20 Feb (Bernama) — Keputusan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump untuk mengenakan 25 peratus tarif terhadap import automotif, semikonduktor dan farmaseutikal kelak merupakan satu cabaran kepada Malaysia.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata ini berikutan, daripada seluruh jumlah dagangan Malaysia dengan AS, 60 peratus adalah eksport elektrik dan elektronik Malaysia. 

“Ini merupakan suatu tamparan yang hebat jika kita tidak dapat menyelesaikan perkara ini dengan segera. 

“Itu sebabnya semalam saya juga menyatakan dalam dewan yang mulia ini ASEAN bercadang untuk segera mengadakan sidang kemuncak khas ASEAN AS untuk membentangkan kepada pentadbiran baharu AS (mengenai perkara berkenaan). 

“Kita perlu berbincang bagaimana cara untuk memberikan pandangan daripada negara-negara dalam ASEAN untuk memastikan tarif yang dicadangkan ini tidak membebankan negara,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini. 

Beliau berkata langkah yang dilakukan oleh AS ketika ini adalah untuk ‘reshoring’  (amalan memindahkan kembali operasi perniagaan).

“Menerusi (reshoring), mereka mengenakan cukai tinggi ini agar syarikat-syarikat besar yang beroperasi di luar AS balik ke AS dan menubuhkan operasi di AS itu sendiri,” katanya. 

Menjawab soalan Manndzri Nasib (BN-Tenggara) mengenai sejauh mana Malaysia boleh memanfaatkan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (ASEAN-GCC) Ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC- China dalam meningkatkan kerjasama ekonomi, perdagangan serta pelaburan negara dan serantau, Mohamad berkata ketiga-tiga blok ASEAN, GCC dan China perlu duduk bersama-sama untuk berbincang mengenai perkara ini. 

“Ini kerana China merupakan satu negara pasaran yang terbesar. GCC merupakan negara yang mempunyai modal dan ASEAN merupakan blok negara yang mempunyai banyak sumber asli. 

“Jika ketiga-tiga blok ini dapat bersama berunding, kita dapat mengembangkan ekonomi intra-ASEAN, jadikan ASEAN ini ekonomi keempat terbesar dunia pada 2030,” katanya. 

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

MICCI Tekankan Kepentingan Daya Tahan, KeupayaanMenyesuaikan Diri dan Peluang Baharu Ketika Ketidaktentuan Global Membentuk Semula Landskap Perniagaan

Kuala Lumpur – Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia (MICCI) menekankan kepentingan daya tahan, keupayaan menyesuaikan diri serta kerjasama erat antara sektor awam dan swasta ketika perniagaan berdepan dengan persekitaran operasi global yang semakin kompleks, dipengaruhi oleh ketegangan geopolitik, gangguan rantaian bekalan dan perubahan landskap ekonomi semasa Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) dan Majlis Makan Tengah Hari Tahunan MICCI ke-53 yang berlangsung semalam.

Acara tersebut menampilkan ucapan oleh Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, YB Tuan Sim Tze Tzin, yang turut menyertai sesi dialog bersama Puan Zalina Zainol, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Penggalakan dan Fasilitasi Pelaburan) di MIDA dan Puan Noor Hayati Abu Noh, Pengarah Bahagian Perancangan Strategik, Seksyen Koordinasi dan Pemantauan di MATRADE. Mereka berkongsi perspektif tentang prospek perdagangan dan pelaburan semasa, sentimen perniagaan, dan impaknya daripada konflik di Asia Barat.

Berucap pada majlis tersebut, Presiden MICCI, Christina Tee menyatakan bahawa perniagaan terpaksa mengharungi siri gangguan sepanjang dekad ini, daripada pandemik global kepada perubahan dasar perdagangan, peningkatan perlindungan perdagangan dan ketegangan geopolitik.

“Pada hari ini, konflik di Asia Barat telah mewujudkan kesan berantai terhadap pasaran global, menjejaskan harga tenaga, aliran perdagangan, keputusan pelaburan, rantaian bekalan serta kos operasi. Ia menjadi satu lagi peringatan bahawa perkembangan yang berlaku jauh dari negara kita boleh memberi kesan langsung dan ketara kepada perniagaan di Malaysia,” katanya.

Perniagaan kini sudah mula berdepan dengan gelombang pertama kesan tersebut melalui peningkatan kos logistik, kenaikan harga bahan api dan tenaga serta ketidaktentuan yang lebih besar dalam pasaran global. Namun, sebahagian daripada kesan yang lebih ketara mungkin hanya akan dirasai dalam beberapa bulan akan datang atau bahkan pada tahun hadapan.

“Perniagaan telah menyedari bahawa ketidaktentuan bukan lagi sesuatu yang luar biasa. Ia kini menjadi sebahagian daripada persekitaran operasi. Daya tahan bukan lagi sekadar kelebihan daya saing, tetapi satu keperluan,” tambah beliau.

Malaysia kekal berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan perubahan dalam rantaian bekalan global, integrasi ekonomi serantau dan peningkatan minat pelabur terhadap ASEAN. Tee menambah bahawa tempoh ketidaktentuan turut boleh membuka peluang untuk penyesuaian, inovasi dan pengukuhan kerjasama antara sektor perniagaan dan pembuat dasar. “Seiring dengan ulang tahun ke-189 MICCI pada tahun ini, kami kekal komited untuk memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai ekonomi yang kompetitif, terbuka dan berhubung secara global, di samping terus memainkan peranan sebagai jambatan yang dipercayai antara komuniti perniagaan antarabangsa dan pembuat dasar,” kata Tee