Petronas Nilai Langkah Penyusunan Semula Tenaga Kerja


KUALA LUMPUR, 25 Feb (Bernama) — Petroliam Nasional Bhd (Petronas) sedang menilai langkah penyusunan semula saiz tenaga kerjanya yang turut melibatkan pendekatan daripada peringkat tertinggi hingga peringkat terendah.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Petronas Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata syarikat itu berhasrat untuk memuktamadkan strategi penyusunan semula saiz tenaga kerjanya menjelang pertengahan 2025.

“Pada separuh kedua tahun ini, anda akan menyaksikan struktur organisasi ini dilaksanakan secara berperingkat. Saya ingin menegaskan bahawa langkah ini tidak bertujuan untuk mengurangkan pekerjaan sebanyak 15,000 hingga 16,000,” katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas pengumuman prestasi kewangan Petronas bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2024 hari ini, beliau menafikan dakwaan bahawa langkah penyusunan semula ini akan memberi keutamaan kepada pengurusan atasan sehingga menjejaskan pekerja lain.

Menurutnya penyusunan semula ini akan membabitkan seluruh peringkat.

“Sebahagian pihak mengatakan ini merupakan langkah perlindungan, dengan pengurusan atasan akan dilindungi manakala mereka yang tidak mempunyai kuasa dalam keputusan berkenaan akan terkesan jika kami memutuskan pelaksanaan penyusunan semula ini.

“Kumpulan pertama yang akan terkesan adalah daripada pihak pengurusan dan seterusnya,” katanya.

Mengulas kebimbangan mengenai langkah mengurangkan pekerjaan, Tengku Muhammad Taufik menegaskan bahawa tidak ada perancangan untuk memberhentikan pekerja secara besar-besaran.

“Seperti yang dilaporkan banyak pihak, kami mempunyai 15,000 hingga 16,000 ‘pemangkin’ yang merangkumi semua fungsi sokongan. Adakah anda membuat kesimpulan bahawa laporan yang mendakwa saya akan menghapuskan 16,000 (pekerjaan) itu tepat?

“Ini adalah mustahil. Kami perlu melihat perkara ini dengan bijak dan memberi ruang kepada perniagaan untuk menyatakan apa yang diperlukan,” katanya sambil memaklumkan pekerja yang terjejas atau dipindahkan akan diberikan layanan yang adil.

Ketika ditanya sama ada hasil dan pembayaran dividen kepada kerajaan pada masa akan datang akan terjejas berikutan strategi peruntukan modal Petronas, Tengku Muhammad Taufik menegaskan bahawa pembayaran dividen akan bergantung kepada kemampuan syarikat dan kelulusan lembaga pengarah.

“Kami akan memenuhi dividen yang dicadangkan dan diperlukan berdasarkan kemampuan. Ia akan mengambil kira keperluan kami untuk terus beroperasi.

“Oleh itu, perlu ada penampan tunai yang mencukupi untuk menampung keperluan modal kami dalam tempoh tiga hingga enam bulan,” katanya.

Petronas dijangka membayar dividen sebanyak RM32 bilion kepada kerajaan berdasarkan prestasinya pada tahun kewangan 2024.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Krisis Geopolitik Ancam Bekalan Lebih Besar Berbanding Kenaikan Harga

KUALA LUMPUR: Ketegangan geopolitik global dilihat lebih berisiko terhadap rantaian bekalan produk berbanding kenaikan harga, kata Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd (Mydin), Datuk Dr Ameer Ali Mydin.

Beliau berkata, walaupun cabaran geopolitik ketika ini belum memberi impak besar terhadap ekonomi Malaysia, negara dijangka berdepan gangguan rantaian bekalan yang lebih ketara dalam tempoh akan datang.

“Cabaran sebenar bukan harga. Bagi saya, orang terlalu fikir dan menumpukan harga. Lupakan soal harga, sebaliknya apa yang lebih penting ialah sama ada kita mempunyai bekalan itu atau tidak,” katanya kepada Bernama dalam temu bual eksklusif.

Mengulas trend harga semasa, Ameer Ali berkata tekanan harga global dan perkembangan geopolitik sememangnya memberi kesan kepada harga domestik, namun impaknya di Malaysia masih terkawal buat masa ini.

“Ada item tertentu yang turun harga dan ada juga yang meningkat sekitar tiga hingga lima peratus.

“Namun bagi saya, kesan cabaran geopolitik ini masih belum menyeluruh atau berleluasa terhadap ekonomi Malaysia,” katanya.

Beliau berkata gangguan bekalan susulan perkembangan global semasa berkemungkinan hanya dirasai dalam tempoh tiga hingga enam bulan akan datang.

Bagaimanapun, katanya, dunia pernah melalui situasi sama sebelum ini dan banyak negara serta perniagaan kini lebih berpengalaman dalam mengurus gangguan rantaian bekalan.

“Kita telah mengharungi perkara sama berulang kali sebelum ini. Ketika Perang Ukraine misalnya, kita berdepan cabaran kekurangan baja. Tidak kurang juga cabaran ketika pandemik COVID-19,” katanya.

Mengulas cabaran sektor e-dagang terhadap industri runcit, Ameer Ali berkata pemain e-dagang turut berdepan tekanan susulan peningkatan kos logistik.

“Oleh itu, kita sebagai peruncit masih mempunyai beberapa kelebihan. Situasi kali ini tidak sama seperti ketika COVID-19 yang menyaksikan lonjakan e-dagang apabila orang ramai tidak dapat keluar rumah.

“Sekarang orang ramai boleh keluar. Sudah pasti harga petrol dan kos tenaga mungkin meningkat, tetapi bukan pada tahap yang memberi kesan besar terhadap perjalanan di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata pengguna pasar raya lazimnya membeli barangan secara pukal, manakala pengguna e-dagang lebih cenderung membeli item secara individu, sekali gus menjadikan kos penghantaran sebagai komponen lebih besar dalam jumlah keseluruhan kos.

“Sudah tentu, pengguna kadangkala boleh terpengaruh dengan iklan seperti penghantaran percuma dan kupon percuma sehingga menyangka mereka mendapat sesuatu secara percuma.

“Namun ingat, tiada benda yang benar-benar percuma. Jika anda tidak membayarnya, orang lain yang akan membayarnya,” katanya.

Ditanya sama ada Mydin akan mempertimbangkan penyenaraian awam pada masa depan, Ameer Ali berkata syarikat itu masih mengutamakan nilai perniagaan jangka panjang yang berorientasikan masyarakat berbanding memaksimumkan keuntungan untuk pelabur.

“Untuk melaksanakan tawaran awam permulaan (IPO), anda perlu menunjukkan keuntungan yang tinggi bagi memenuhi kehendak pelabur.

“Anda juga perlu menunjukkan pertumbuhan yang sangat tinggi, yang kadangkala melibatkan kos tertentu,” katanya.

Beliau berkata Mydin mungkin tidak mencatat keuntungan setinggi syarikat lain dalam sektor sama kerana syarikat itu lebih mengutamakan khidmat kepada komuniti serta mengembalikan manfaat kepada pembekal.

“Kami tidak menjana keuntungan terlalu besar. Kenapa? Kerana sebahagian daripada keuntungan itu dikembalikan kepada pembekal,” katanya.

Pada masa sama, beliau menegaskan Mydin kekal komited untuk terus berkhidmat kepada masyarakat tempatan sebagai jenama tempatan.

– BERNAMA