BNM Teroka Potensi Pengenalan Teknologi Blockchain Asas


KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) — Bank Negara Malaysia (BNM) sedang meneroka potensi untuk memperkenalkan teknologi blockchain asas bagi mempertingkat sistem kewangan negara seperti Mata Wang Digital Bank Pusat (CBDC), kata Gabenor Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour.

Bagaimanapun, bank pusat tidak terburu-buru untuk melaksanakannya memandangkan fokus utamanya adalah untuk mewujudkan platform sesuai bagi membolehkan ia dilakukan.

“Pada masa sama, kami mempunyai semua garis panduan dan langkah keselamatan yang sesuai untuk memastikan aspek ini akan berlaku atau berkembang,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran penerbitan utama BNM di sini hari ini.

Abdul Rasheed berkata demikian ketika ditanya mengenai tokenisasi bon dan sukuk, iaitu inisiatif kerjasama antara Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Khazanah Nasional Bhd.

Menurutnya kajian terhadap tokenisasi aset adalah sebahagian daripada usaha BNM untuk mengekalkan kesinambungan masa depan infrastruktur kewangan utama Malaysia yang lebih cekap dan berdaya tahan.

Beliau berkata BNM telah bekerjasama dengan pengawal selia global bagi inisiatif ini.

SC dan Khazanah Nasional berhasrat untuk memperkenalkan tokenisasi bon dan sukuk pada tahun ini, langkah yang bertujuan memperluas penyertaan runcit dalam pasaran modal Malaysia.

Abdul Rasheed berkata peranan BNM dalam inisiatif ini adalah untuk memastikan kebolehsampaian dikekalkan di samping memberikan perlindungan kepada peserta runcit dalam pasaran modal Malaysia.

Sementara itu, beliau berkata penurunan jumlah aset BNM sebanyak 1.61 peratus kepada RM621.54 bilion pada 31 Dis 2024, sebahagiannya adalah berikutan pengukuhan ringgit.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

FCPO: Penurunan Harga Kian Menguat

  • Kekalkan pegangan jualan

FCPO mengalami penurunan mendadak pada hari Jumaat apabila menyusut MYR76 untuk ditutup pada harga MYR4,475. Komoditi ini membuka sesi dagangan pada paras MYR4,560. Ia mencecah paras tertinggi intrahari pada MYR4,577 sebelum kegiatan jualan yang besar mengheretnya ke arah paras terendah sesi tersebut pada MYR4,455. Ia kemudiannya menutup dagangan berhampiran paras terendah sesi hari itu dengan corak lilin menurun yang kuat, sekali gus mengesahkan tekanan jualan mendominasi pasaran.

Pergerakan ini menyaksikan FCPO menurun ke arah paras sokongan terdekat bernilai MYR4,390. RSI berada dalam zon menurun, lalu memberikan isyarat bahawa momentum menurun adalah kukuh dan mungkin akan berlarutan. Komoditi ini sekarang diramalkan untuk menguji paras sokongan seterusnya pada MYR4,390. Kami bertindak mengekalkan bias dagangan negatif kerana sentimen menurun jelas menguasai pasaran.

Para pedagang disarankan untuk mengekalkan pegangan jualan yang dimulakan pada penutupan 12 Mei, iaitu MYR4,481. Untuk mengurangkan risiko-risiko dagangan yang ada, paras ambang henti rugi masih dikekalkan pada MYR4,700.

Paras sokongan pertama berada pada MYR4,390 yang diikuti oleh paras MYR4,300. Paras rintangan pertama sebaliknya ialah MYR4,700 dan diikuti oleh paras rintangan lebih tinggi sebanyak MYR4,600.