Penyedia Bunker Marin Malaysia Pertama, TMD Energy Mula Disenarai Di NYSE, Amerika Syarikat


KUALA LUMPUR, 22 April (Bernama) — Penyedia perkhidmatan bunker marin bersepadu, TMD Energy Ltd membuat penampilan sulungnya di Bursa Saham New York (NYSE) Amerika Syarikat (AS) dengan kaunter bernama “TMDE”, sekali gus mencatat sejarah sebagai pembekal bunker marin pertama Malaysia tersenarai di bursa saham utama AS.

TMD Energy yang berpangkalan di Malaysia dan Singapura merupakan sebahagian daripada unit Straits Energy Resources Bhd, syarikat Fortune Southeast Asia 500 yang disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, TMD Energy berkata pada hari penampilan sulungnya pada Isnin, kaunter sahamnya diniagakan pada US$3.26.

Ia meningkat kepada paras tertinggi sepanjang masa sebanyak US$4.12 sebelum ditutup pada US$3.63, atau 11.69 peratus lebih tinggi daripada harga tawaran awam permulaan (IPO)nya sebanyak US$3.25 sesaham.

“Ini memberikan syarikat itu permodalan pasaran sebanyak US$83.85 juta (RM367.2 juta) pada hari pertamanya sebagai syarikat tersenarai awam,” katanya.

Jumlah hasil kasar, tidak termasuk lebihan peruntukan, sebelum ditolak diskaun pengunderaitan dan perbelanjaan lain yang berkaitan berjumlah US$10.08 juta (RM44.13 juta).

Hasil daripada IPO itu akan digunakan untuk pembelian minyak kargo, membiayai perbelanjaan penyenaraian, modal kerja dan tujuan korporat am yang lain.

Pengerusi TMD Energy Datuk Seri Ron Ho Kam Choy berkata pihaknya berbangga menjadi pembekal bunker marin pertama Malaysia yang mencapai penyenaraian di bursa utama AS.

“Penyenaraian ini mengukuhkan kedudukan kami sebagai salah satu pemain utama industri,” kata Ho yang juga Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat.

Beliau berkata berikutan lokasi Malaysia yang strategik, ia berada dalam kedudukan yang baik untuk pengembangan selanjutnya dengan memanfaatkan laluan perkapalan utama di sepanjang Selat Melaka dan Laut China Selatan serta permintaan yang berdaya tahan untuk bahan api bunker di rantau ini dan di peringkat global.

“Penyenaraian kami di NYSE, AS akan membantu meningkatkan profil antarabangsa kami, mengembangkan jangkauan operasi kami, meneroka pasaran baharu dan memberikan pulangan yang mampan dan lebih tinggi kepada pemegang saham,” katanya.

Kumpulan TMD Energy beroperasi di 19 pelabuhan di seluruh Malaysia. Ia mempunyai armada 15 kapal bunker yang diselenggara dengan baik dengan kapasiti antara 540 tan berat (dwt) hingga 7,820 dwt.

— BERNAMA

Rebut Peluang Belajar Melabur Saham Di Pasaran Saham Amerika Syarikat

Kami menerima banyak pertanyaan tentang bagaimana nak terlibat dengan pasaran saham global. Malah banyak artikel percuma yang telah kami kongsikan antaranya:

Eh, banyak lagi lah.

Kami dulu juga hanya fokus melabur di pasaran saham Bursa Malaysia. Tetapi selepas mengambil kira risiko dan faktor-faktor lain, kami mengambil keputusan untuk tidak meletakkan 100% duit lebihan yang ada di pasaran saham Malaysia.

Selalu tengok harga saham Apple, Tesla, Google, NVIDIA duk naik dan ingin menjadi salah seorang daripada pemegang saham syarikat-syarikat terkemuka dunia ini?

Dah tak perlu risau dan susah-susah lagi! Kami akan kongsikan step by step cara untuk mula melabur saham di Wall Street.

Jangan lepaskan peluang ini! Mulakan langkah pertama anda untuk melabur dalam pasaran saham Wall Street hari ini!

Previous ArticleNext Article

Apple Kembali ‘Rampas’ Takhta Syarikat Paling Bernilai Dunia Daripada Nvidia

BENGALURU: Apple mengatasi Nvidia untuk muncul sebagai syarikat paling bernilai di dunia, sekali gus mengubah kedudukan syarikat-syarikat teknologi terbesar apabila pelabur menilai semula prospek kecerdasan buatan (AI).

Apple kini mempunyai nilai pasaran sekitar AS$4.88 trilion selepas harga sahamnya kekal stabil, manakala Nvidia bernilai kira-kira AS$4.86 trilion susulan kejatuhan 3.5 peratus sahamnya.

Perubahan kedudukan itu menunjukkan pelabur kini mula meluaskan tumpuan mereka melangkaui penerima manfaat paling jelas daripada ledakan AI seperti Nvidia, yang telah mendahului senarai syarikat paling bernilai dunia selama hampir setahun.

Apple kembali merampas kedudukan teratas buat kali pertama sejak April tahun lalu.

Ketua Pelaburan BRI Wealth Management, Toni Meadows, berkata Apple sebelum ini dilihat ketinggalan dalam perlumbaan AI kerana tidak berbelanja besar untuk membangunkan model AI, namun sentimen terhadap syarikat itu kini berubah.

“Apple kurang terdedah kepada keperluan perbelanjaan modal yang tinggi dan berada pada kedudukan lebih baik untuk menjana pendapatan daripada AI menerusi perkhidmatan, ekosistem yang kukuh serta peningkatan perkakasan. Penilaian semula ini mencerminkan keyakinan terhadap kemampanan pendapatan syarikat, bukannya potensi AI yang bersifat spekulatif,” katanya.

Bagi sebuah syarikat yang sering dianggap ketinggalan dalam perlumbaan AI, pencapaian ini mencerminkan usaha Apple untuk mengukuhkan kedudukannya dalam kalangan pemain utama industri, selain berpotensi mempengaruhi bagaimana tempoh akhir kepimpinan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Tim Cook, akan dinilai.

Cook dijangka menyerahkan jawatan CEO kepada veteran perkakasan Apple, John Ternus, pada September ini.

Bulan lalu, Apple melancarkan versi baharu pembantu maya Siri yang telah lama tertangguh, dengan harapan peningkatan itu dapat merapatkan jurang dengan gergasi teknologi lain serta syarikat pemula dalam perlumbaan AI yang semakin sengit.

Sesetengah penganalisis berpendapat Apple sebenarnya memiliki ‘lombong emas’ AI menerusi data peribadi yang tersimpan dalam setiap iPhone.

Data itu berpotensi menjadikan jawapan Siri lebih tepat dan pembantu maya itu lebih berkeupayaan.

Namun, cabarannya ialah data itu dilindungi dalam sistem operasi atas faktor privasi, menyebabkan Apple perlu mencari kaedah untuk memanfaatkan nilainya tanpa menjejaskan perlindungan pengguna.

Nvidia menjadi syarikat pertama di dunia yang melepasi nilai pasaran AS$5 trilion pada Oktober lalu, satu pencapaian bersejarah yang meletakkannya jauh di hadapan pesaing.

Bagaimanapun, kehilangan kedudukan teratas kepada Apple tidak semestinya menandakan perubahan kekal dalam kedudukan relatif kedua-dua syarikat.

Nvidia masih merupakan antara penerima manfaat terbesar daripada peningkatan perbelanjaan berkaitan AI, dengan pemproses grafik keluarannya menjadi tulang belakang kepada kebanyakan aplikasi AI generatif.

Nvidia juga berpotensi merampas semula kedudukan teratas sekiranya sentimen pasaran kembali memihak kepadanya.

Pada masa sama, Apple turut berdepan cabaran apabila syarikat itu menaikkan harga produknya bagi mengimbangi peningkatan kos, satu strategi yang boleh menjejaskan permintaan pengguna.

Naib Presiden Penyelidikan Alpha Segal Marco Advisors, Benjamin Hall, berkata beliau tidak melihat perbezaan ketara antara kedua-dua syarikat.

“Saya menjangka Nvidia akan terus menjadi pemain penting dalam apa sahaja perkembangan yang berlaku pada masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, gelombang keyakinan terhadap AI turut merebak ke segmen lain industri semikonduktor.

Antara penerima manfaat terbesar tahun ini ialah pengeluar cip memori seperti Micron, yang melepasi nilai pasaran AS$1 trilion pada Mei selepas pelabur mengiktiraf kepentingan cip memori dalam infrastruktur AI.

Pengeluar cip dari Korea Selatan, SK Hynix, turut disenaraikan di Nasdaq awal bulan ini, sekali gus menambah satu lagi pesaing dalam usaha menarik perhatian pelabur.Hall berkata kemunculan pemain baharu itu dijangka mengalihkan sebahagian tumpuan pelabur daripada kumpulan saham teknologi gergasi Magnificent Seven kepada lebih banyak syarikat lain.

Namun, kenaikan luar biasa saham syarikat cip mula kehilangan momentum pada Julai apabila pelabur menilai semula kemampanan tema pelaburan AI, menyebabkan indeks Philadelphia SE Semiconductor susut hampir 19 peratus daripada paras tertinggi sepanjang masa.

Walaupun mengalami kejatuhan ketara, prestasi indeks itu setakat tahun ini masih mengatasi prestasi saham Nvidia.

-Reuters