Rusia Sahabat Baik Malaysia – PM Anwar

MOSCOW, 14 Mei (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon sokongan peribadi Presiden Rusia Vladimir Putin untuk melaksana dan mempercepat pelbagai projek termasuk kerjasama dalam bidang teknologi makanan, nuklear dan ketenteraan antara kedua-dua negara.  

“Kami akan memastikan bahawa kerjasama itu meliputi semua bidang,” katanya semasa pertemuan dengan Putin di Kremlin pada Rabu.

Anwar juga berkata bahawa Rusia kekal sebagai rakan baik Malaysia, dengan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara telah terjalin sejak 1967.

“Sudah banyak perbincangan dan memorandum persefahaman (diadakan), jadi telah sampai masanya kerjasama itu direalisasikan secepat mungkin,” kata Anwar yang mengetuai delegasi ke Rusia dari 13 hingga 16 Mei.

Beliau berkata pertemuan dengan Putin itu penting memandangkan perbincangan meluas dengan komuniti perniagaan dan ketua industri mengenai pelaburan dalam digital, peralihan tenaga, teknologi makanan, nuklear serta kerjasama ketenteraan.

Semasa pertemuan tersebut Anwar merakamkan ucapan terima kasih terhadap Putin atas penghormatan dan peluang untuk bertemu dan membincangkan isu-isu serta melaksanakannya bagi meningkatkan lagi hubungan antara kedua-dua negara ke tahap yang lebih tinggi.

“Kita berbincang dengan panjang lebar (dan) anda telah memberikan kami keistimewaan dan penghormatan yang jarang berlaku; Rusia adalah sebuah negara yang hebat dan sangat penting yang memberikan kami penghargaan sedemikian.

“Dan delegasi saya, sudah tentu, amat menghargainya,” kata Anwar, yang juga menteri kewangan.

Beliau berkata pertemuan itu membincangkan pelbagai isu yang memberi manfaat. 

“Kami berharapkan kejayaan dalam mesyuarat dan perbincangan dalam tempoh beberapa hari yang akan datang ini,” kata beliau.

— BERMAMA

Previous ArticleNext Article

TH Tidak Sepatutnya Isytihar Hibah 2017 RM2.75 Bilion, Amal Perakaunan Kreatif

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) — Lembaga Tabung Haji (TH) tidak sepatutnya mengisytiharkan agihan keuntungan (hibah) tahunan sebanyak 4.50 peratus dan agihan keuntungan (hibah) haji 1.75 peratus yang menelan perbelanjaan sehingga RM2.75 bilion bagi tahun kewangan 2017, menurut Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji.

Dalam Laporan RCI bagi menyiasat isu pengurusan dan operasi ‘TH dari 2014 hingga 2020 yang diterbitkan malam ini, keghairahan TH untuk membayar agihan keuntungan (hibah) yang tinggi sejak 2014 hingga 2017 sehingga melampaui kemampuan kewangan antara faktor yang menyumbang kepada krisis kewangan.

Menurut RCI, pengurusan TH telah membuat amalan perakaunan kreatif bagi pengisytiharan agihan keuntungan (hibah) yang tinggi.

Suruhanjaya mendapati penyata kewangan “TH dari 2014 hingga 2017 telah diberi Sijil Audit Bersih walaupun laporan audit untuk tahun kewangan 2017 ada menyebutkan mengenai “Emphasis of Matter”.

Berkaitan pengauditan Penyata Kewangan TH 2017, RCI menjelaskan Jabatan Audit Negara (JAN) tidak sepatutnya mengeluarkan Sijil Audit Bersih bagi tahun kewangan berkenaan kerana perkara yang dinyatakan sebagai ‘Emphasis of Matter’ sepatutnya dinyatakan sebagai ketidakpatuhan.

Penjelasan mengenai “Emphasis of Matter” itu menunjukkan Ketua Audit Negara (KAN) telah mempertimbangkan perkara di luar skop audit dalam penemuannya ketika mengaudit Penyata Kewangan TH 2017, dan jelas JAN tidak tegas dalam pengauditan penyata kewangan ‘TH.

Jabatan Audit Negara Gagal Tegur

Menurut RCI, ketidaktegasan JAN juga dilihat apabila agensi berkenaan gagal menegur ‘TH berkaitan pemberian keuntungan (hibah) yang tinggi sepanjang 2014 hingga 2017.

Pembayaran agihan keuntungan (hibah) yang tinggi yang dibuat sebelum 2018 telah menyebabkan rizab ‘TH menyusut, tambah RCI.

“Pembayaran agihan keuntungan (hibah) yang tinggi ini telah menarik para pendeposit yang mencari pulangan yang tinggi. Dalam memenuhi jangkaan pendeposit ini menyebabkan TH tergelincir daripada matlamat penubuhannya.

“Ini mendedahkan “TH kepada risiko pendeposit besar yang berpotensi mengeluarkan deposit mereka (bank run) sekiranya agihan keuntungan (hibah) yang diberi oleh TH adalah terlalu rendah,” tambah RCI.

Menurut RCI, perkara itu berlaku pada 2019 selepas pengumuman agihan keuntungan (hibah) pada kadar 1.25 peratus bahawa terdapat pengecutan dalam deposit.

“Saiz deposit ‘TH menurun daripada kira-kira RM 73 bilion sebelum pengumuman agihan keuntungan (hibah) kepada RM69 bilion pada akhir 2019. TH bernasib baik kerana jumlah pengeluaran deposit dan kesannya adalah lebih kecil daripada apa yang dikhuatiri,” tambah RCI.

Menurut RCI, JAN seharusnya membuat teguran mengenai pengisytiharan agihan keuntungan (hibah) yang terlalu tinggi yang bertentangan dengan kemampuan kewangan ‘TH.

— BERNAMA