PNB Umum Agihan Pendapatan, Bonus Sebanyak RM14.5 Bilion Bagi Tahun Kewangan 2024


KUALA LUMPUR, 19 Mei (Bernama) — Permodalan Nasional Bhd (PNB) mencatatkan rekod agihan pendapatan dan bonus sebanyak RM14.5 bilion kepada pemegang unitnya untuk 18 dana Harga Tetap (FP) serta Harga Berubah (VP) bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2024.

Pada tahun sebelumnya, syarikat pengurusan aset itu mencatatkan agihan pendapatan dan bonus sebanyak RM13.3 bilion.

PNB dalam satu kenyataan hari ini berkata, pencapaian ini dipacu oleh persekitaran makroekonomi dan pasaran modal yang positif serta strategi kepelbagaian aset yang berterusan dengan jumlah pendapatan bersih kumpulan meningkat sebanyak 30.2 peratus daripada RM13.04 bilion pada 2023 kepada RM16.97 bilion.

Menurut syarikat itu, jumlah keseluruhan agihan pendapatan yang dibayar pada tahun kewangan 2024 berjumlah RM263.7 bilion daripada RM249.2 bilion pada tahun kewangan 2023.

PNB berkata pihaknya terus menjadi syarikat pengurusan aset pilihan utama yang dipercayai oleh semua rakyat Malaysia dengan bilangan pemegang akaun unik dan jumlah akaun masing-masing melonjak ke paras tertinggi iaitu 13.1 juta dan 16.2 juta.

Sehubungan itu, katanya, jumlah aset di bawah pengurusan (AUM) juga kembali pulih dengan mencecah RM348.3 bilion, berkembang daripada RM337.0 bilion seperti yang dicatatkan pada 2023.

Sementara itu, Pengerusi Kumpulannya Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda berkata Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) mengagihkan dividen tertinggi selain Amanah Saham Bumiputera (ASB) mengagihkan jumlah pendapatan sebanyak 5.75 sen iaitu yang tertinggi dalam tempoh lima tahun terakhir.

“Kesemua 18 dana FP dan VP kami mengatasi penanda aras masing-masing dengan 11 daripada 12 dana VP kami tersenarai di kuartil pertama atau kedua dalam kumpulan setara mereka,” katanya.

Menuju 2025, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Datuk Abdul Rahman Ahmad pula berkata memandangkan perkembangan geopolitik terkini dan perubahan asas dalam dasar perdagangan Amerika Syarikat, kumpulan berusaha untuk bersikap realistik terhadap keadaan makroekonomi dan pasaran modal yang semakin tidak menentu selain berisiko tinggi pada tahun hadapan.

“Tumpuan kami kekal iaitu memastikan prestasi dana-dana kami mampan melalui strategi kepelbagaian aset yang berterusan seiring dengan komitmen untuk memberikan pulangan yang konsisten serta berdaya saing kepada pemegang unit kami,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article
Individu berlesen/berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti.

Portal Semak Sebelum Labur SC membolehkan anda menyemak sama ada seseorang individu atau entiti dibenarkan oleh SC untuk menawarkan, mempromosi atau menjual sebarang produk dan perkhidmatan pasaran modal.

FCPO: Momentum Kenaikan Pasaran Diteruskan

  • Kekalkan pegangan belian

FCPO melanjutkan kenaikannya buat kali kedua dengan mengekalkan lantunannya daripada paras sokongan MYR4,400 untuk ditutup pada harga lebih tinggi sebanyak MYR4,495. Komoditi ini memulakan sesi dagangan pada harga MYR4,491, kemudian ia mereda ke paras terendah intrahari pada MYR4,444 buat seketika, sebelum berterusan menaik ke arah paras tertinggi sesi pada MYR4,517 dan ditutup dengan corak lilin menaik. Pergerakan harga yang kukuh yang dilihat menerusi pergerakan positif kedua ini mengesahkan bahawa sentimen kenaikan sedang menguasai pasaran dengan teguhnya.

Paras rintangan terdekat sekarang ditambat pada MYR4,800, sekali gus memberi ruang untuk pergerakan menaik sekarang diteruskan. Komoditi ini kini didagangkan di atas kedua-dua garisan SMA 50 dan 200 hari, yang menandakan keadaan teknikal menaik masih berlangsung. Walau bagaimanapun, sekiranya kegiatan pengambilan untung berlaku, FCPO mungkin melantun daripada paras sokongan pertama MYR4,400, seiring dengan paras henti rugi kami. Melihat pada struktur kenaikan yang bertahan, kami tetap berpegang pada bias dagangan positif.

Para pedagang disarankan untuk mengekalkan pegangan belian yang dimulakan pada penutupan 6 Mac (MYR4,367). Untuk menangani risiko-risiko dagangan yang ada, paras ambang henti rugi ditetapkan pada MYR4,400.

Paras sokongan pertama sekarang berada pada MYR4,400, diikuti oleh paras MYR4,250. Paras rintangan terdekat sekarang pula adalah pada MYR4,800, disusuli oleh paras seterusnya iaitu pada MYR4,925.