Dagangan Malaysia-China Cecah RM161.98 Bilion Dari Januari Hingga April 2025


KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama) — China kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia selama 16 tahun berturut-turut dengan jumlah dagangan mencecah RM161.98 bilion (US$36.47 bilion) dari Januari hingga April 2025, dipacu oleh eksport barangan elektrik dan elektronik (E&E).

Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) berkata pada 2024, dagangan dua hala Malaysia-China berkembang sebanyak 7.5 peratus mewakili 16.8 peratus daripada jumlah keseluruhan dagangan Malaysia.

“Hubungan dagangan Malaysia dengan China mendapat momentum baharu selepas lawatan Presiden Xi Jinping baru-baru ini yang mengukuhkan penjajaran strategik dalam pembangunan hijau, ekonomi digital dan infrastruktur serantau melalui inisiatif seperti Inisiatif Jalur dan Laluan,” kata kenyataan itu hari ini.

Sementara itu, MATRADE berkata ia akan mengetuai penyertaan Malaysia dalam Ekspo China-ASEAN ke-22 (CAEXPO) di Nanning, China dari 17 hingga 21 Sept, 2025.

Menurutnya, ekspo berkenaan menyasarkan lebih 100 syarikat Malaysia berpotensi tinggi dalam sektor seperti makanan dan minuman, penjagaan kesihatan, gaya hidup, penyelesaian digital, tenaga bersih dan inovasi seiring dengan aliran global dan permintaan pasaran China.

“Ketika Malaysia memegang status Kepengerusian ASEAN tahun ini, penyertaan dalam ekspo tersebut menjadi lebih bermakna dalam mengukuhkan kepimpinan ekonomi serantau, menggalakkan pertumbuhan terangkum dan mempereratkan perkongsian strategik komprehensif dengan China,” katanya.

MATRADE berkata ia akan menganjurkan siri aktiviti strategik termasuk sesi padanan perniagaan, mesyuarat pemilihan produk, promosi penstriman langsung yang diterajui oleh pempengaruh serta inisiatif libat urus hibrid.

“Kerjasama dengan organisasi seperti Sekretariat CAEXPO dan rakan sejawat dari China akan terus meningkatkan hasil libat urus,” katanya.

Sementara itu, Ahli Lembaga Pengarah MATRADE Datuk Mohammad Medan Abdullah berkata CAEXPO kekal sebagai pintu masuk strategik bagi perniagaan Malaysia terutamanya perusahaan kecil dan sederhana serta usahawan dari Sarawak untuk berhubung dengan pasaran di seluruh China serta ASEAN.

“Perniagaan yang berpangkalan di Sarawak perlu memanfaatkan perkhidmatan kemudahan MATRADE bagi mengembangkan jejak mereka di pasaran luas China.

“Selain itu, memanfaatkan keupayaan kukuh Sarawak dalam tenaga boleh baharu dan hijau, pembuatan bernilai tinggi dan industri berasaskan sumber hiliran,” katanya.

Sejak penampilan pertama Malaysia di CAEXPO pada 2004, lebih 2,000 syarikat Malaysia mengambil bahagian melalui MATRADE dengan menjana nilai eksport terkumpul sebanyak RM6.69 bilion selain menekankan impak ekspo berkenaan dalam membuka pintu ke pasaran China.

MATRADE berkata Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN akan menggunakan penyertaannya di CAEXPO bagi memajukan keutamaan utama serantau termasuk daya tahan perdagangan, pendigitalan dan pertumbuhan saksama di seluruh rantau ini.

Untuk penyertaan dan pertanyaan, syarikat yang berminat boleh menghubungi pasukan MATRADE atau melayari https://www.matrade.gov.my/en/events-promotion/international-trade-event-list.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

MICCI Tekankan Kepentingan Daya Tahan, KeupayaanMenyesuaikan Diri dan Peluang Baharu Ketika Ketidaktentuan Global Membentuk Semula Landskap Perniagaan

Kuala Lumpur – Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia (MICCI) menekankan kepentingan daya tahan, keupayaan menyesuaikan diri serta kerjasama erat antara sektor awam dan swasta ketika perniagaan berdepan dengan persekitaran operasi global yang semakin kompleks, dipengaruhi oleh ketegangan geopolitik, gangguan rantaian bekalan dan perubahan landskap ekonomi semasa Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) dan Majlis Makan Tengah Hari Tahunan MICCI ke-53 yang berlangsung semalam.

Acara tersebut menampilkan ucapan oleh Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, YB Tuan Sim Tze Tzin, yang turut menyertai sesi dialog bersama Puan Zalina Zainol, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Penggalakan dan Fasilitasi Pelaburan) di MIDA dan Puan Noor Hayati Abu Noh, Pengarah Bahagian Perancangan Strategik, Seksyen Koordinasi dan Pemantauan di MATRADE. Mereka berkongsi perspektif tentang prospek perdagangan dan pelaburan semasa, sentimen perniagaan, dan impaknya daripada konflik di Asia Barat.

Berucap pada majlis tersebut, Presiden MICCI, Christina Tee menyatakan bahawa perniagaan terpaksa mengharungi siri gangguan sepanjang dekad ini, daripada pandemik global kepada perubahan dasar perdagangan, peningkatan perlindungan perdagangan dan ketegangan geopolitik.

“Pada hari ini, konflik di Asia Barat telah mewujudkan kesan berantai terhadap pasaran global, menjejaskan harga tenaga, aliran perdagangan, keputusan pelaburan, rantaian bekalan serta kos operasi. Ia menjadi satu lagi peringatan bahawa perkembangan yang berlaku jauh dari negara kita boleh memberi kesan langsung dan ketara kepada perniagaan di Malaysia,” katanya.

Perniagaan kini sudah mula berdepan dengan gelombang pertama kesan tersebut melalui peningkatan kos logistik, kenaikan harga bahan api dan tenaga serta ketidaktentuan yang lebih besar dalam pasaran global. Namun, sebahagian daripada kesan yang lebih ketara mungkin hanya akan dirasai dalam beberapa bulan akan datang atau bahkan pada tahun hadapan.

“Perniagaan telah menyedari bahawa ketidaktentuan bukan lagi sesuatu yang luar biasa. Ia kini menjadi sebahagian daripada persekitaran operasi. Daya tahan bukan lagi sekadar kelebihan daya saing, tetapi satu keperluan,” tambah beliau.

Malaysia kekal berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan perubahan dalam rantaian bekalan global, integrasi ekonomi serantau dan peningkatan minat pelabur terhadap ASEAN. Tee menambah bahawa tempoh ketidaktentuan turut boleh membuka peluang untuk penyesuaian, inovasi dan pengukuhan kerjasama antara sektor perniagaan dan pembuat dasar. “Seiring dengan ulang tahun ke-189 MICCI pada tahun ini, kami kekal komited untuk memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai ekonomi yang kompetitif, terbuka dan berhubung secara global, di samping terus memainkan peranan sebagai jambatan yang dipercayai antara komuniti perniagaan antarabangsa dan pembuat dasar,” kata Tee