[Terkini] Kadar Dasar Semalaman (Overnight Policy Rate, OPR) Turun Kepada 2.75%

KUALA LUMPUR,  9 Julai — Hari ini Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengumumkan bahawa kadar OPR turun kepada paras 2.75% selepas kadar tersebut kekal di paras 3% sejak 6 Julai 2023 yang lalu. Kadar siling dan lantai koridor OPR turut dikurangkan, masing-masing kepada 3% dan 2.5%.

Ada yang baru pertama kali dengar OPR ke? Kalau nak tahu lebih lanjut, jemput baca Apa Itu Kadar Dasar Semalaman Atau Overnight Policy Rate (OPR) Dan 3 Kesan Penurunannya.

Apakah Keputusan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC)?

MPC mengurangkan OPR daripada 3% kepada 2.75%

  • Pengurangan OPR ini merupakan langkah awal untuk mengekalkan haluan pertumbuhan ekonomi Malaysia yang stabil dalam keadaan cabaran daripada persekitaran global yang berterusan
  • Inflasi kekal terkawal
  • MPC terus memantau rapi keadaan yang sedang berlaku di seluruh dunia dan kesan perkembangannya terhadap ekonomi Malaysia

Apakah perkembangan ekonomi terkini?

Ekonomi Malaysia berkembang pada suku kedua

  • Pertumbuhan pekerjaan dan upah berserta dengan langkah-langkah untuk menyokong pendapatan oleh Kerajaan menyumbang kepada perbelanjaan isi rumah
  • Eksport disokong oleh permintaan untuk produk teknologi dan perbelanjaan pelancong
  • Projek awam dan swasta terus dilaksanakan, lantas menyokong aktiviti pelaburan
  • Prestasi ringgit terus didorong terutamanya oleh perkembangan luaran

Inflasi kekal terkawal.

Apakah prospek ekonomi?

Ekonomi Malaysia berada pada landasan yang kukuh namun menghadapi persekitaran global yang tidak menentu; inflasi dijangka kekal sederhana

  • Kadar faedah yang lebih rendah bermakna kos pinjaman akan menjadi lebih murah pada amnya, yang akan menyokong kegiatan ekonomi
  • Aktiviti pelaburan dan perbelanjaan isi rumah akan terus menyokong pertumbuhan ekonomi Malaysia
  • Permintaan berterusan untuk produk teknologi dan perbelanjaan pelancong akan memberikan sedikit sokongan kepada eksport
  • Kos global yang terkawal dan ketidaktentuan dalam negeri yang berlebihan akan menambah mengurangkan tekanan harga
  • Perkembangan di seluruh dunia masih berubah-ubah dan akan mempengaruhi prospek pertumbuhan negara
  • MPC akan terus memantau rapi perkembangan inflasi dan pertumbuhan pada masa hadapan, serta memastikan OPR terus menyokong pertumbuhan ekonomi dan keadaan harga yang stabil

Paras OPR Tertinggi Ialah 3.50% Pada Bulan April 2006

Pada masa itu, ekonomi sedang berkembang dengan stabil, inflasi IHP adalah pada 4.6% dan OPR yang lebih tinggi diperlukan bagi menguruskan risiko harga yang lebih tinggi.

Paras OPR Terendah Ialah 1.75% (Julai 2020 – Mac 2022)

Paras OPR terendah ialah 1.75% pada bulan Julai 2020 hingga Mac 2022 bagi menyokong ekonomi semasa pandemik COVID-19. Pada tempoh sukar, kadar faedah yang rendah menyebabkan kos pinjaman lebih rendah dan mengurangkan pulangan atas simpanan. Hal ini akan merangsang perbelanjaan, meningkatkan pelaburan serta melindungi pekerjaan dan pendapatan semasa krisis.

Paras OPR Julai Tahun Lepas (2024) Ialah 3.00%

Setahun yang lalu, paras OPR dikekalkan kepada 3.00% buat kali ketujuh selepas bulan Julai 2023. Pada masa itu, tahap OPR tersebut sesuai dengan keadaan ekonomi yang kukuh dan terus menyokong pertumbuhan.

Kenapa harga masih tinggi meskipun inflasi telah berkurang?

  • Harga lebih tinggi yang berlaku sekarang merupakan isu global. Meskipun inflasi telah berkurang, hal ini tidak bermaksud harga akan menjadi lebih rendah. Sebaliknya, harga meningkat pada kadar yang lebih perlahan.
    • Inflasi yang rendah penting untuk mewujudkan persekitaran makro ekonomi yang kukuh dan kondusif.
  • Pada tahun 2022, kos meningkat disebabkan oleh beberapa faktor, termasuk gangguan bekalan yang menjejaskan aliran normal pengeluaran serta konflik ketenteraan di Ukraine. Harga komoditi yang lebih tinggi merupakan sebab utama kenaikan harga ini. Barangan berkaitan makanan adalah yang paling terkesan. Harga ini secara amnya telah stabil atau meningkat pada kadar yang lebih perlahan meskipun kekal tinggi.
  • Inflasi global dijangka terus berkurang pada tahun 2024. Walau bagaimanapun, risiko harga komoditi menjadi lebih tinggi terus wujud disebabkan oleh faktor-faktor geopolitik dan gangguan cuaca. Malaysia turut terkesan dengan faktor-faktor ini.
  • Tambahan lagi, Kerajaan telah mencadangkan pembaharuan struktur bagi menggalakkan upah yang seterusnya akan mengukuhkan kuasa beli pengguna bagi menghadapi peningkatan kos sara hidup.
  • Berbanding dengan negara lain, kenaikan harga tidak begitu melampau di Malaysia. Negara kita mempunyai dasar subsidi bahan api dan kawalan harga yang menyebabkan inflasi masih rendah. Walau bagaimanapun, langkah-langkah seperti ini boleh menyebabkan negara menanggung kos yang besar. Hal ini kerana Kerajaan perlu terus menanggung jumlah yang banyak untuk memastikan harga terus rendah. Tindakan ini mengurangkan jumlah yang boleh diperuntukkan oleh Kerajaan untuk perbelanjaan yang lebih produktif atau memberikan bantuan dalam bentuk lain, terutamanya kepada golongan yang paling memerlukan.

Bagaimanakah kenaikan kadar faedah boleh memberikan kesan kepada saya?

Kadar faedah yang lebih tinggi bertujuan untuk menggalakkan orang ramai kurang meminjam dan lebih banyak menyimpan.

Jika anda mempunyai pinjaman, kesannya bergantung pada jenis pinjaman yang diambil.

  • Pinjaman berkadar tetap tidak akan terjejas.
    • Jumlah yang anda bayar balik kepada bank akan kekal sama. Lazimnya, kadar ini digunakan untuk pinjaman kereta.
  • Jika anda mempunyai pinjaman berkadar terapung, kos peminjaman akan meningkat.
    • Hal ini bermakna bayaran ansuran bulanan anda akan menjadi lebih tinggi. Lazimnya, kenaikan kadar ini akan memberikan kesan pada pinjaman perumahan dan sesetengah pinjaman peribadi. Bagi peminjam individu, kadar faedah pinjaman anda akan meningkat pada jumlah yang sama seperti kenaikan OPR.
  • Contohnya, jika OPR dinaikkan sebanyak 25 mata asas, kadar faedah bagi pinjaman perumahan anda juga akan meningkat kepada 3.75% sekiranya kadar sebelum ini ialah 3.50%. Ansuran pinjaman anda akan meningkat seiring dengan kadar faedah yang lebih tinggi.
  • Jika anda bercadang untuk mengambil pinjaman baharu, kos peminjaman juga boleh menjadi lebih mahal sekiranya kadar faedah lebih tinggi.
  • Selain pinjaman, kadar faedah yang lebih tinggi juga mempengaruhi simpanan anda.
    • Jika anda mendepositkan wang ke dalam akaun bank yang membayar faedah, anda akan mendapat pulangan yang lebih tinggi bagi simpanan anda.

Bila semakan OPR seterusnya?

Mesyuarat seterusnya adalah pada 4 September 2025 (Khamis). Pernyataan Dasar Monetari akan diumumkan pada pukul 3:00 petang selepas setiap mesyuarat MPC.


BUKU INI WAJAR DIMILIKI OLEH MEREKA YANG BERANI BERIMPIAN !

Ramai yang nak gandakan duit simpanan dalam saham tapi fikir berpuluh kali. Jadi buku ini adalah step pertama. Bila baca buku ini, boleh 99% stay ahead dari orang lain! Bonusnya dapat jimat banyak masa.

Kami juga faham yang 2 sebab utama kenapa anak muda masih belum mula melabur saham adalah sebab TAKUT dan BELUM CUKUP DUIT. Yelah, kita melabur sebab nak tenang, bukan nak risau setiap masa.

Sambil kami terlibat dalam pasaran saham, sambil pandaikan orang lain tentang saham.

Terima kasih yang tidak terhingga kepada anda semua yang tak putus-putus menyokong kami dari awal sehingga ke hari ini.

Berita Baik : Kami sedang buat jualan penghabisan stok di Shopee!!

Previous ArticleNext Article
Individu berlesen/berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti.

Portal Semak Sebelum Labur SC membolehkan anda menyemak sama ada seseorang individu atau entiti dibenarkan oleh SC untuk menawarkan, mempromosi atau menjual sebarang produk dan perkhidmatan pasaran modal.

KWSP Suami Meninggal: Boleh Isteri Tuntut Sebagai Harta Sepencarian?

Selama ini, apabila seorang suami meninggal dunia, ramai mungkin menganggap wang KWSP yang ditinggalkan akan terus menjadi harta pusaka dan dibahagikan kepada waris mengikut faraid.

Namun, perkembangan hukum dan keputusan Mahkamah Syariah menunjukkan perkara ini sebenarnya lebih kompleks.

Pada September 2025, Muzakarah Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-128 memutuskan bahawa tuntutan harta sepencarian terhadap wang KWSP oleh ahli beragama Islam adalah diharuskan, tertakluk kepada pertimbangan dan keputusan Mahkamah Syariah.

Keputusan ini membawa satu implikasi penting kepada pasangan yang berkahwin.

Wang KWSP tidak semestinya keseluruhannya menjadi harta pusaka untuk difaraidkan.

Sekiranya Mahkamah Syariah memutuskan sebahagian wang tersebut merupakan hak harta sepencarian pasangan, bahagian itu akan diberikan kepada pasangan terlebih dahulu. Bahagian yang diperintahkan sebagai harta sepencarian tersebut pula tidak dikira sebagai harta pusaka pencarum dan tidak tertakluk kepada pembahagian faraid.

Tetapi sebenarnya, isu ini bukan bermula pada 2025

Menariknya, beberapa negeri sudah mempunyai perkembangan berkaitan isu ini sebelum keputusan Muzakarah Kebangsaan tersebut.

Kelantan: kes KWSP sebagai harta sepencarian sejak 2000-an

Antara kes yang sering dirujuk ialah Norhayati binti Yusoff lwn Ahmad Shah bin Ahmad Tabrani, yang diputuskan di Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu, Kelantan.

Dalam kes tersebut, wang KWSP suami menjadi antara aset yang dituntut sebagai harta sepencarian.

Mahkamah mengiktiraf konsep sumbangan tidak langsung isteri. Walaupun isteri mungkin tidak membuat caruman KWSP secara langsung, sumbangan kepada rumah tangga boleh menjadi faktor dalam menentukan hak harta sepencarian.

Ini penting kerana ia menunjukkan bahawa persoalan harta sepencarian bukan semata-mata tentang siapa yang memasukkan duit ke dalam akaun.

Sumbangan pasangan kepada rumah tangga juga boleh mempunyai nilai dari sudut undang-undang Syariah.

Selangor pula mempunyai pendirian yang jelas

Dalam panduan Jabatan Mufti Selangor pada 2020 berkaitan wang KWSP selepas kematian suami, dinyatakan bahawa isteri boleh membuat tuntutan harta sepencarian sepanjang tempoh perkahwinan dengan arwah suami sebelum lebihan harta tersebut dibahagikan mengikut faraid.

Kemudian pada 2023, Selangor mempunyai fatwa khusus berkaitan harta sepencarian selepas kematian salah satu pihak dalam perkahwinan. Rujuk Fatwa Tentang Harta Sepencarian Selepas Kematian Salah Satu Pihak Dalam Perkahwinan Di Negeri Selangor.

Ini menunjukkan konsep tuntutan harta sepencarian selepas kematian bukan sesuatu yang hanya muncul selepas keputusan MKI pada 2025.

Johor: daripada pendirian lama kepada pendekatan baharu

Pendirian terdahulu di Johor menyatakan wang KWSP pencarum yang meninggal dunia merupakan harta pusaka dan tidak boleh dianggap sebagai harta sepencarian. Fatwa Johor yang lebih lama, dikeluarkan pada 2013, menyatakan:

“Apabila pencarum KWSP meninggal, wang KWSP ialah harta pusaka dan perlu difaraidkan; ia tidak boleh dijadikan harta sepencarian.

Namun, selepas keputusan MKI 2025, Johor mengambil pendekatan baharu yang membenarkan tuntutan harta sepencarian terhadap wang KWSP bagi ahli beragama Islam yang layak, tertakluk kepada keputusan Mahkamah Syariah. Rujuk Keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor.

Perubahan ini menunjukkan bagaimana pendirian berkaitan KWSP dan harta sepencarian boleh berkembang mengikut keputusan hukum dan kerangka undang-undang semasa.

NegeriKedudukan yang ditemuiTahun / status
KelantanAda kes Mahkamah Tinggi Syariah yang membenarkan tuntutan terhadap KWSP sebagai harta sepencarian; turut ada fatwa berkaitan tuntutan harta sepencarian selepas kematianKes 2006; Fatwa Negeri 2002
SelangorSecara rasmi mengiktiraf bahawa selepas kematian salah satu pihak, pasangan boleh menuntut harta sepencarian. Soal jawab Mufti Selangor juga secara jelas menyebut isteri boleh menuntut harta sepencarian terhadap KWSP arwah sebelum baki difaraidkanFatwa 2023; panduan 2020
JohorDahulu berpendirian sebaliknya: KWSP ialah harta pusaka dan tidak boleh dijadikan harta sepencarian. Tetapi pada 2026, Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor mengeluarkan keputusan baharu yang membenarkan tuntutan KWSP sebagai harta sepencarian, selaras dengan MKI 20252013 → berubah 2026
SarawakPernah memutuskan wang caruman KWSP tidak boleh dianggap harta sepencarian, sebaliknya harta pusaka yang difaraidkanKeputusan terdahulu

Jadi, apa maksudnya kepada pasangan?

Kita ambil contoh mudah.

Katakan seorang suami meninggal dunia dan meninggalkan RM500,000 dalam KWSP.

Isteri membuat tuntutan harta sepencarian.

Jika Mahkamah Syariah selepas mempertimbangkan tuntutan tersebut memutuskan bahawa RM150,000 adalah hak harta sepencarian isteri, maka RM150,000 itu bukan lagi sebahagian daripada harta pusaka suami untuk difaraidkan.

Baki RM350,000 pula barulah menjadi sebahagian daripada harta pusaka, tertakluk kepada proses pengurusan pusaka dan pembahagian mengikut faraid.

Jadi bukan bermaksud:

“Isteri automatik dapat separuh KWSP.”

Tidak.

Yang betul ialah:

“Isteri yang layak boleh membuat tuntutan, dan jumlah yang menjadi harta sepencarian bergantung kepada keputusan Mahkamah Syariah.”

Kenapa perkara ini penting untuk perancangan pusaka?

Sebab ramai orang melihat KWSP hanya daripada sudut simpanan persaraan.

Tetapi apabila berlaku kematian, ia menjadi sebahagian daripada proses pengurusan harta si mati.

Dalam konteks pasangan Islam, terdapat beberapa perkara yang perlu dibezakan:

Pertama, harta sepencarian.

Ini ialah tuntutan pasangan terhadap harta yang diperoleh sepanjang tempoh perkahwinan, tertakluk kepada undang-undang dan keputusan Mahkamah Syariah.

Kedua, harta pusaka.

Selepas hak-hak yang berkaitan seperti harta sepencarian ditentukan, baki harta si mati boleh menjadi harta pusaka.

Ketiga, faraid.

Baki harta pusaka kemudiannya dibahagikan kepada waris yang berhak mengikut hukum faraid.

Sebab itu seseorang tidak boleh terus melihat angka KWSP dan berkata:

“Ini semua akan difaraidkan.”

Ia bergantung kepada keadaan dan, bagi tuntutan harta sepencarian, keputusan Mahkamah Syariah.

Namun, jangan salah faham

Keputusan MKI 2025 bukan bermaksud setiap isteri automatik mendapat sebahagian daripada KWSP suami.

Ia hanya membuka ruang bahawa tuntutan tersebut diharuskan.

Tuntutan masih perlu dibuat dan dipertimbangkan oleh Mahkamah Syariah.

Jumlahnya juga tidak semestinya 50:50.

Mahkamah boleh melihat kepada pelbagai faktor dan bukti berkaitan sumbangan pasangan serta keadaan harta yang dituntut.

Satu lagi perkara penting ialah status keputusan hukum tersebut di setiap negeri. Keputusan Muzakarah MKI perlu dilihat bersama peruntukan dan proses undang-undang Syariah negeri masing-masing.

Daripada “siapa dapat KWSP?” kepada “apa hak setiap pihak?”

Ini sebenarnya perubahan cara kita melihat perancangan pusaka.

Bila seorang suami meninggal dunia, persoalannya bukan semata-mata:

“Berapa banyak isteri dapat?”

Tetapi:

“Apakah hak isteri sebagai pasangan? Apakah yang menjadi harta sepencarian? Apakah yang benar-benar menjadi harta pusaka? Dan siapa yang berhak menerima baki tersebut melalui faraid?”

Perbezaan ini nampak kecil, tetapi dari sudut nilai harta, ia boleh menjadi sangat besar.

Lebih-lebih lagi bagi keluarga yang mempunyai simpanan KWSP jutaan ringgit.

Maka, bagi pasangan yang beragama Islam, memahami kedudukan harta sepencarian dan faraid semasa masih hidup jauh lebih baik daripada cuba memahami semuanya selepas berlaku kematian.

KWSP bukan sekadar soal berapa banyak kita berjaya kumpul. Kita juga perlu tahu bagaimana wang itu akan diurus apabila kita sudah tiada.

Penafian: Artikel ini bertujuan memberikan maklumat umum dan bukan nasihat undang-undang, fatwa atau nasihat kewangan. Kedudukan harta sepencarian, tuntutan wang KWSP dan proses pembahagian harta pusaka boleh berbeza mengikut negeri, fakta kes dan keputusan Mahkamah Syariah. Pembaca disarankan mendapatkan nasihat daripada peguam syarie, pihak berkuasa agama negeri atau pihak yang berkelayakan sebelum membuat sebarang tuntutan atau keputusan berkaitan harta pusaka.