Berapa Banyak Zakat Dibayar oleh Syarikat-Syarikat Pengendali Takaful di Malaysia?

Ramai yang tahu pengendali syarikat takaful beroperasi berasaskan prinsip syariah, tapi tak ramai yang benar-benar memberi perhatian tentang berapa banyak zakat yang mereka bayar setiap tahun dan bagaimana ia dikira.

Merujuk kepada laman web Bank Negara Malaysia, terdapat 15 syarikat pengendali takaful di Malaysia.

  • AIA PUBLIC Takaful Berhad
  • AmMetLife Takaful Berhad
  • Etiqa Family Takaful Berhad
  • Etiqa General Takaful Berhad
  • FWD Takaful Berhad
  • Great Eastern Takaful Berhad
  • Hong Leong MSIG Takaful Berhad
  • Prudential BSN Takaful Berhad
  • Sun Life Malaysia Takaful Berhad
  • Syarikat Takaful Malaysia Am Berhad
  • Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad
  • Takaful Ikhlas Family Berhad
  • Takaful Ikhlas General Berhad
  • Zurich General Takaful Malaysia Berhad
  • Zurich Takaful Malaysia Berhad

Berdasarkan laporan kewangan terkini, inilah jumlah zakat yang diiktiraf dan dibayar oleh syarikat pengendali takaful utama di Malaysia bagi tahun kewangan 2024:

Kenapa Jumlah Zakat Berbeza Sangat?

Perbezaan ini bukan semata-mata kerana untung syarikat besar atau kecil. Ada faktor kaedah perakaunan zakat yang berbeza dan yang paling penting adalah nisbah pemilikan Muslim.

Mengikut panduan JAKIM (Panduan Zakat di Malaysia, 2001) dan fatwa negeri:

Zakat perniagaan dikenakan ke atas bahagian pemilikan Muslim sahaja.

Maksudnya jika syarikat dimiliki 100% Muslim, zakat dikira atas keseluruhan modal dan aset syarikat.
Tapi jika pemiliknya terdiri daripada perkongsian Muslim dan belum Muslim, zakat hanya dikira mengikut bahagian modal yang disumbangkan oleh pemegang saham Muslim.

Contoh Mudah

  • Modal syarikat operator takaful: RM100 juta
  • 60% dimiliki Muslim, 40% bukan Muslim
  • Kadar zakat: 2.5% (mengikut kaedah modal kerja atau modal berkembang)

Zakat dikenakan hanya atas RM60 juta (bahagian Muslim).
Jadi, jumlahnya lebih kecil berbanding jika seluruh modal dimiliki Muslim.

Kaedah Perakaunan Zakat di Malaysia

Terdapat tiga kaedah utama yang digunapakai:

  1. Kaedah Modal Kerja – Nilai semasa aset semasa ditolak liabiliti semasa, dikali kadar zakat.
  2. Kaedah Modal Berkembang – Modal awal + keuntungan bersih, dikali kadar zakat.
  3. Kaedah Untung Rugi – Biasanya digunakan untuk syarikat pelaburan atau dana khas.

Pemilihan kaedah bergantung kepada Enakmen Undang-undang Negeri, Fatwa Mufti Negeri dan garis panduan JAKIM. Rujuk contoh-contoh kaedah pengiraan zakat perniagaan di laman web Pusat Pungutan Zakat-MAIWP.

Contoh kaedah pengiraan zakat oleh AmMetLife Takaful Berhad.

Sumber : laporan penyata kewangan tahunan 2024- AmMetLife Takaful

Kesimpulan

Zakat perniagaan adalah tanggungjawab syarikat yang dimiliki oleh Muslim, dan bagi syarikat takaful, ia bukan sekadar angka kewangan tetapi juga komitmen kepada prinsip syariah. Jumlah yang dibayar mungkin berbeza antara syarikat kerana faktor untung rugi, kaedah perakaunan zakat dan nisbah pemilikan Muslim.

Sebagai pelabur atau pengguna takaful, angka ini memberi gambaran sejauh mana sesebuah syarikat operator takaful melaksanakan tanggungjawab zakatnya.

Penafian:
Maklumat zakat ini diperoleh daripada laporan tahunan dan penyata kewangan bagi tahun kewangan 2024. Hanya syarikat yang menyatakan jumlah zakat dalam laporan kewangan dimasukkan di sini. Bagi syarikat yang tidak memaparkan angka zakat, kami tidak dapat mengesahkan sama ada zakat telah dibayar atau tidak atau ia dilaporkan di bawah kategori perbelanjaan lain.

Sekiranya pembaca mempunyai maklumat tambahan atau sumber yang relevan berkaitan perkara ini, sila e-mel kepada [email protected].

Previous ArticleNext Article

Takaful vs Insurans Kereta: Adakah Duit Kita ‘Hangus’ Kalau Tak Pernah Kemalangan?

Setiap tahun, pemilik kenderaan di Malaysia wajib memperbaharui cukai jalan dan perlindungan kenderaan. Namun, masih ramai yang keliru atau sekadar “ikut kawan” tanpa memahami perbezaan antara Takaful dan Insurans Konvensional.

Ramai pemilik kereta sebut “Nak renew insurans kereta lah,” tapi sebenarnya mereka nak renew Takaful. Sebaliknya, ada juga yang ingat semua perlindungan kereta di Malaysia ini automatik patuh syariah atau berkonsepkan Takaful.

Realitinya tidak. Ini cara mudah untuk anda bezakan:

Lihat nama produk: Jika namanya ada perkataan “Takaful” (contoh: Takaful Ikhlas, Syarikat Takaful Malaysia, Etiqa Takaful), maka ia adalah produk patuh syariah. Jika namanya hanya “Insurance” atau “Insurans” (contoh: Allianz Insurance, MSIG Insurance, Lonpac Insurance), itu adalah produk konvensional.

Ini kerisauan paling popular yang bermain di minda pemilik kereta. Ramai yang bertanya:

“Kalau aku bayar Takaful tapi tak pernah kemalangan, bukan ke duit tu hangus macam tu saja? Apa faedah yang aku dapat?”

Jom kita bedah perbezaan ini supaya anda tidak lagi rasa rugi.

1. Niat & Akad: Jual Beli vs Tolong-Menolong

Perbezaan paling besar bukan pada harganya, tetapi pada kontrak (akad) di belakang tabir.

  • Insurans Konvensional: Menggunakan akad Mu’awadah (pertukaran komersial). Anda bayar premium kepada syarikat untuk “membeli” pampasan. Isunya, ia mengandungi unsur Gharar (ketidaktentuan) dan Maysir (seperti perjudian) kerana jika tiada kemalangan, syarikat ambil semua duit anda sebagai untung.
  • Takaful: Menggunakan akad Tabarru’ (derma). Sebahagian wang sumbangan anda dimasukkan ke dalam “Dana Risiko Peserta”. Niat anda adalah untuk menghibahkan (mendermakan) wang tersebut bagi membantu peserta lain yang ditimpa musibah.

2. Dilema “Duit Hangus”: Benarkah Tiada Langsung Faedahnya?

Jika sepanjang tahun kereta anda selamat dan tiada tuntutan (claim) dibuat, adakah anda rugi? Dari sudut Takaful, jawapannya adalah TIDAK.

Manfaat dari Sudut Rohani (Pahala)

Oleh kerana akadnya adalah derma untuk menolong orang lain (konsep Ta’awun), setiap sen yang anda bayar dikira sebagai amal jariah. Anda mendapat “manfaat ukhrawi” kerana membantu membiayai kos pembaikan kereta orang lain yang ditimpa malang.

Manfaat Perlindungan (Peace of Mind)

Anggaplah Takaful seperti mengupah pengawal keselamatan. Jika rumah anda tidak dirompak sepanjang tahun, adakah gaji pengawal itu dianggap hangus? Tidak, kerana anda telah mendapat manfaat perlindungan dan ketenangan jiwa sepanjang tempoh tersebut.

3. Kelebihan Yang Tiada Pada Insurans

Ini adalah bonus yang ramai orang terlepas pandang. Dalam insurans konvensional, lebihan wang (setelah tolak kos tuntutan) akan menjadi milik pemegang saham syarikat sepenuhnya.

Namun dalam Takaful:

  1. Jika dana risiko mempunyai lebihan (surplus) di akhir tahun, ia adalah milik kolektif peserta.
  2. Bergantung kepada polisi syarikat, lebihan ini boleh diagihkan semula kepada peserta yang tidak membuat tuntutan.
  3. Walaupun jumlahnya tidak menentu, ia merupakan satu pulangan tunai (cashback) yang adil berbanding insurans biasa.

Kesimpulan

Jangan lihat sumbangan Takaful sebagai satu perbelanjaan yang lebur begitu sahaja. Sebaliknya, lihatlah ia sebagai simpanan amal yang memberi anda ketenangan fikiran (peace of mind). Dalam Takaful, kalau tak kena musibah, kita dapat pahala menolong orang; kalau kena musibah, orang lain pula bantu kita. Adil dan berkat, bukan?

Memilih Takaful adalah satu langkah pengurusan risiko yang lebih efisien. Selain daripada perlindungan kenderaan yang komprehensif, anda juga berpeluang menikmati agihan lebihan (surplus) jika dana mencukupi. Ia adalah situasi win-win di mana risiko dikongsi bersama dan keuntungan bukan lagi milik mutlak syarikat semata-mata.