Cadangan Bayaran Pencen KWSP Secara Bulanan Tidak Jejas Hak Pengeluaran Ahli Sedia Ada – Kementerian Kewangan

KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) – Cadangan pelaksanaan bayaran pencen secara bulanan bagi ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa pembentangan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13), tidak akan menjejaskan hak pengeluaran ahli yang sedia ada.

Menurut Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying, cadangan tersebut hanya akan terpakai kepada ahli baharu yang mendaftar selepas tarikh pelaksanaan mekanisme baharu itu. Ahli yang sedia ada masih diberikan pilihan untuk beralih kepada struktur baharu secara sukarela.

“Cadangan penstrukturan semula akaun KWSP ini akan memperkenalkan satu mekanisme baharu yang membolehkan sebahagian daripada simpanan ahli diperuntukkan khusus untuk menyediakan aliran pendapatan berkala sepanjang tempoh persaraan,” ujar Lim ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan yang dikemukakan oleh Mordi Bimol (PH–Mas Gading) mengenai rasional di sebalik pelaksanaan bayaran pencen secara bulanan, susulan daripada pengumuman dalam RMK-13.

Lim menjelaskan bahawa mekanisme baharu itu bertujuan untuk memastikan simpanan ahli kekal bertahan lebih lama, khususnya dalam menampung keperluan perbelanjaan harian semasa persaraan, selaras dengan jangka hayat yang semakin meningkat.

“Struktur baharu ini akan diwujudkan apabila ahli mencapai usia persaraan minimum, di mana simpanan akan dibahagikan kepada dua komponen utama. Komponen pertama ialah simpanan fleksibel yang boleh dikeluarkan pada bila-bila masa mengikut keperluan ahli.

“Kedua pula ialah simpanan pendapatan, iaitu bahagian yang diagihkan secara berkala atau bulanan sehingga habis. Cadangan ini bertujuan untuk mengukuhkan jaminan pendapatan semasa hari tua serta menyokong pengurusan kewangan yang lebih mampan,” tambah beliau.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Bank Dunia Turunkan Unjuran Pertumbuhan Global 2026 Kepada 2.5 Peratus

Bank Dunia menurunkan unjuran pertumbuhan global kepada 2.5 peratus bagi 2026 pada Khamis, daripada 2.9 peratus pada 2025, sekali gus mencatatkan kadar terendah sejak akhir 2019, lapor Agensi Berita Xinhua.

Laporan Prospek Ekonomi Global separuh tahun bank itu memetik faktor kenaikan harga tenaga, inflasi yang lebih tinggi dan peningkatan kos pinjaman di tengah-tengah konflik Asia Barat sebagai punca kepada pengurangan unjuran pertumbuhan berkenaan.

Laporan itu turut memberi amaran bahawa risiko kemerosotan adalah signifikan. Pertumbuhan global boleh terus menyederhana kepada 2.1 peratus jika gangguan bekalan tenaga berlarutan lebih lama dan harga minyak secara purata mencecah US$115 setong tahun ini, yang akan memacu inflasi kepada 4.4 peratus.

Laporan berkenaan menurunkan unjuran pertumbuhan bagi dua pertiga negara berbanding laporan Januari tahun ini, dengan negara-negara Teluk mencatatkan pengurangan paling besar daripada 3.9 peratus pada 2025 kepada hampir sifar pada 2026.

Asia Selatan pula dijangka mencatatkan pertumbuhan paling kukuh berbanding mana-mana wilayah lain pada kadar 6.3 peratus bagi tahun 2026, walaupun angka itu menunjukkan penurunan berbanding tujuh peratus pada 2025.

Selain itu, laporan berkenaan mengekalkan unjuran pertumbuhan sebanyak 2.2 peratus bagi ekonomi Amerika Syarikat (AS) pada 2026, biarpun ia menarik perhatian bahawa angka terbabit boleh menyusut kepada 2.1 peratus pada 2027 dan dua peratus pada 2028.

Ekonomi di zon euro pula dijangka berkembang pada kadar 0.8 peratus pada 2026, turun daripada 1.4 peratus pada 2025. Bagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Jepun, ia diunjurkan berkembang 0.7 peratus pada 2026 berbanding 1.1 peratus pada 2025.

Bank Dunia menjangkakan pertumbuhan global kembali meningkat kepada 2.8 peratus pada 2027, namun kadar itu kekal 0.4 mata peratusan di bawah purata yang direkodkan pada dekad 2010-an.

Walaupun risiko terus memihak kepada kemerosotan ekoran peningkatan permusuhan, gangguan pasaran komoditi dan ketegangan geopolitik yang bertambah, pihak bank menegaskan bahawa tindakan dasar adalah sangat kritikal.

Pada peringkat global, Bank Dunia menggesa negara-negara terbabit untuk melindungi keselamatan tenaga dan makanan serta memajukan peralihan tenaga. Bagi peringkat domestik pula, semua negara digesa mengawal inflasi, memperkukuh kemampanan fiskal dan menyokong pewujudan peluang pekerjaan.

–BERNAMA