Kewangan Islam Perlu Berevolusi Untuk Kekal Bersaing – CEO Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) – Pertumbuhan kewangan Islam akan didorong oleh peningkatan hubungan merentasi pelbagai kelas aset, geografi dan generasi bukan sekadar pematuhan syariah semata-mata, seiring perubahan demografi pelabur yang kini melibatkan generasi muda, pelabur berorientasikan digital, dan yang lebih peka nilai.

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Bhd, Datuk Fad’l Mohamed berkata, pelabur masa kini cenderung kepada tawaran yang bersifat digital terlebih dahulu, berteraskan nilai, dan terdedah kepada kelas aset digital yang sedang berkembang, termasuk instrumen tokenisasi.

“Perubahan ini memerlukan semua pihak bursa, pengawal selia, pengurus aset, dan ilmuwan bekerjasama memastikan kewangan Islam kekal relevan dan kompetitif, bukan sahaja dari segi apa yang diwakilinya, tetapi juga bagaimana ia berkembang untuk memenuhi keperluan pelabur dan pasaran yang sentiasa berubah,” katanya ketika ucapan alu-aluan pada Persidangan Syariah Pelaburan 2025, hari ini.

Persidangan bertemakan “Inovasi Kewangan Islam: Membuka Potensi Pelaburan Global” itu dianjurkan bersama oleh CGS International Securities Malaysia dan Bursa Malaysia.

Fad’l menambah, pasaran modal Islam Malaysia kekal antara yang paling maju di dunia, disokong oleh peraturan yang kukuh, rangka kerja syariah yang mantap serta kepelbagaian penerbit dan pelabur.

Sehingga akhir April 2025, nilai pasaran modal Islam Malaysia mencecah RM2.56 trilion, iaitu 63 peratus daripada keseluruhan saiz pasaran modal domestik sebanyak RM4.04 trilion.

Beliau turut memaklumkan bahawa modal pasaran syariah berjumlah RM1.3 trilion atau 66.1 peratus daripada jumlah modal pasaran Bursa Malaysia yang bernilai RM1.9 trilion pada akhir Julai.

Fad’l turut menjelaskan bahawa nilai dagangan harian purata (ADV) sekuriti patuh syariah mencapai RM1.6 bilion atau 64.4 peratus daripada ADV keseluruhan RM2.4 bilion, dengan 860 daripada 1,065 syarikat tersenarai di Bursa Malaysia (81 peratus) adalah patuh syariah.

Aset kewangan Islam global melepasi AS$5 trilion pada tahun lalu, meningkat 12 peratus berbanding 2023, dan melonjak 43 peratus sejak 2020. Menjelang 2028, industri ini dijangka mencecah AS$7.5 trilion, mencerminkan peningkatan permintaan terhadap kewangan patuh syariah merentasi pasaran dan kelas aset.

Ketua Pegawai Eksekutif CGS Malaysia, Azizah Mohd Yatim berkata, Malaysia memiliki ekosistem pasaran modal Islam yang mantap, diiktiraf di peringkat antarabangsa, dengan rangkaian produk, aset dan instrumen syariah yang luas dan berdaya saing untuk dieksport ke pasaran serantau dan global.

“Pasaran modal Islam dan instrumen syariah memberikan pendekatan berasaskan nilai yang kukuh dan boleh dipercayai oleh pelabur serta perniagaan. Ini sangat penting dalam persekitaran hari ini, dan peningkatan permintaan membuktikan keberkesanan pendekatan ini,” katanya.

CGS Malaysia menjadi broker pertama di Malaysia yang melancarkan Islamic Equity Linked Investment Notes dan Islamic Autocallable Equity Structured Investment Notes, iaitu produk berstruktur untuk pelabur berpengalaman.

“Dalam beberapa bulan akan datang, kami akan memperkenalkan produk Islamic repurchase agreement di Malaysia, serta pembiayaan margin berasaskan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) di Singapura dan Indonesia,” tambahnya.

Secara global, 80 peratus aset industri kewangan Islam tertumpu di lima negara utama: Iran, Arab Saudi, Malaysia, Emiriah Arab Bersatu dan Kuwait.

Sepanjang persidangan sehari penuh itu, panel membincangkan pengukuhan aliran modal antara Asia dan Timur Tengah, kenaikan ekuiti persendirian dan modal teroka dalam pasaran modal Islam, serta peranan transformasi digital dalam membentuk semula produk pelaburan patuh syariah.

Penceramah juga membincangkan bagaimana pasaran modal Islam boleh menjadi pemacu pertumbuhan inklusif, dengan mengetengahkan peluang baharu dalam fintech, pelaburan pelbagai aset, integrasi ESG dan penerbitan sukuk.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Bursa Malaysia Securities Mengeluarkan Teguran Awam Dan/Atau Mengenakan Denda Ke Atas Computer Form (Malaysia) Berhad Serta Lapan Orang Pengarah

Bursa Malaysia Securities Berhad (“Bursa Securities”) telah mengeluarkan teguran awam terhadap Computer Forms (Malaysia) Berhad (CFM) dan lapan (8) orang pengarahnya kerana melanggar Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia (Main Market Listing Requirements, MAIN LR).

Selain teguran awam, lapan pengarah terbabit turut dikenakan denda berjumlah RM2 juta.

Pelanggaran utama oleh CFM

CFM didapati melakukan beberapa pelanggaran serius berkaitan pendedahan maklumat kepada pelabur, antaranya:

1. Gagal mendedahkan syarat penting dalam usaha sama (Joint Venture Agreement – JVA)

Dalam pengumuman bertarikh 5 Januari 2023, CFM gagal mendedahkan beberapa fakta material berkaitan perjanjian usaha sama dengan EA Mobility Holding Co. Ltd., termasuk:

  • Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) yang ditandatangani pada hari yang sama.
  • Klausa Put Option yang membolehkan EA Mobility menjual keseluruhan pegangannya dalam syarikat usaha sama kepada CFM sekiranya CFM gagal mendapatkan:
    • Tempahan disahkan (Affirmed Orders) sekurang-kurangnya 200 buah kenderaan elektrik (EV); dan
    • Bayaran deposit atau harga pembelian sekurang-kurangnya RM12.5 juta sebelum 30 Jun 2023.
  • Hakikat bahawa Perjanjian Usaha Sama (JVA) akan terbatal secara automatik sekiranya mana-mana pihak tidak lagi memiliki saham dalam syarikat usaha sama.

2. Siaran media 3 Julai 2023 mengelirukan pelabur

CFM mengeluarkan kenyataan media yang menggambarkan usaha sama tersebut masih berada pada landasan positif.

Namun, syarikat gagal mendedahkan bahawa:

  • Sasaran tempahan 200 EV tidak berjaya dicapai.
  • Bayaran minimum RM12.5 juta juga gagal diperoleh.
  • Kegagalan tersebut membuka ruang kepada EA Mobility untuk melaksanakan Put Option yang boleh menyebabkan penamatan usaha sama.

3. Lewat mengumumkan notis Put Option

Pada 10 Julai 2023, EA Mobility memaklumkan hasrat untuk melaksanakan Put Option.

Bagaimanapun, CFM hanya membuat pengumuman kepada Bursa pada 20 Julai 2023, iaitu selepas kelewatan lapan hari dagangan.

4. Pengumuman berkaitan penamatan usaha sama tidak lengkap dan mengelirukan

Dalam beberapa pengumuman antara 20 Julai hingga 1 September 2023, CFM menyatakan bahawa:

  • Operasi syarikat usaha sama masih berjalan seperti biasa.
  • Rundingan dengan EA Mobility masih diteruskan.

Namun syarikat tidak memaklumkan bahawa:

  • Penamatan JVA akan berlaku selepas pemindahan saham EA Mobility kepada CFM.
  • Maklumat mengenai penamatan hanya diumumkan pada 5 September 2023, hampir dua bulan selepas notis Put Option dikeluarkan dan hanya selepas Bursa Malaysia meminta penjelasan lanjut.

5. Memberikan maklumat tidak tepat kepada Bursa Malaysia

CFM turut didapati gagal memberikan maklumat yang tepat apabila:

  • Memaklumkan bahawa tiada perjanjian lain selain JVA.
  • Tidak menyerahkan salinan Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) walaupun diminta oleh Bursa Malaysia.
  • Perjanjian tersebut hanya diserahkan pada 25 September 2023 selepas beberapa kali pertanyaan dibuat.

Denda terhadap lapan pengarah

Kesemua lapan pengarah didapati membenarkan syarikat melakukan pelanggaran tersebut dan dikenakan teguran awam serta denda seperti berikut:

PengarahJumlah Denda
Tan Sri Datuk Mazlan Bin LazimRM300,000
Datuk Seri Tan Choon HwaRM100,000
Datuk Wira Justin Lim Hwa TatRM150,000
Datuk Hoo Swee GuanRM450,000
Pang Nan YewRM300,000
Wong Kok SeongRM300,000
Kho See YiingRM300,000
Tan Li SinRM100,000

Jumlah keseluruhan denda: RM2 juta.

Mengapa tindakan ini diambil?

Bursa Malaysia memaklumkan bahawa keputusan tersebut dibuat selepas proses siasatan lengkap dengan mengambil kira:

  • Keseriusan pelanggaran yang dilakukan.
  • Kesan terhadap pemegang saham dan pelabur.
  • Peranan serta tahap penglibatan setiap pengarah.

Menurut Bursa Malaysia, pendedahan maklumat yang tepat, lengkap dan dibuat tepat pada masanya amat penting bagi membolehkan pelabur membuat keputusan pelaburan yang bermaklumat, di samping memastikan pasaran modal kekal teratur, telus serta mengekalkan keyakinan pelabur.

Latar belakang kes

Pada 5 Januari 2023, CFM memeterai Perjanjian Usaha Sama (JVA) dan Perjanjian Pemegang Saham (SA) dengan EA Mobility bagi projek kenderaan elektrik (EV) di Malaysia.

Walaupun perjanjian tersebut mengandungi syarat penting yang boleh menyebabkan usaha sama ditamatkan sekiranya sasaran tempahan EV dan kutipan deposit RM12.5 juta tidak dipenuhi sebelum 30 Jun 2023, syarat tersebut tidak didedahkan kepada pasaran.

CFM kemudiannya gagal memenuhi syarat berkenaan, menyebabkan EA Mobility melaksanakan Put Option pada 10 Julai 2023. Namun, perkembangan material tersebut tidak didedahkan secara segera dan lengkap kepada pelabur, sekali gus mendorong Bursa Malaysia mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap syarikat dan para pengarahnya.