Untung Bersih EcoWorld Naik Kepada RM101.17 Juta Pada Suku Ketiga 2025

KUALA LUMPUR, 18 Sept (Bernama) — Eco World Development Group Bhd (EcoWorld) mencatatkan keuntungan bersih yang lebih tinggi iaitu sebanyak RM101.17 juta bagi suku ketiga yang berakhir pada 31 Julai, 2025 daripada RM80.44 juta bagi suku yang sama tahun lepas.

Kumpulan pembangunan hartanah itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata, hasil meningkat kepada RM761.93 juta daripada RM526.22 juta sebelumnya terutamanya disebabkan oleh penyatuan penuh keputusan kewangan Paragon Pinnacle Sdn Bhd dalam suku semasa.

Bagi tempoh sembilan bulan bagi tahun kewangan 2025, keuntungan bersih kumpulan naik kepada RM311.35 juta daripada RM220.12 juta pada tahun sebelumnya manakala hasil melonjak kepada RM2.18 bilion daripada RM1.62 bilion sebelumnya.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EcoWorld Datuk Chang Khim Wah dalam satu kenyataan berkata kumpulan itu melepasi sasaran jualan bagi tahun kewangan 2025 sebanyak RM3.5 bilion, dan mencapai RM3.84 bilion dalam tempoh 10 bulan tahun kewangan 2025.

“Projek-projek kami di Iskandar Malaysia kekal sebagai penyumbang terbesar kepada jualan kumpulan setakat tahun ini dengan RM1.99 bilion diikuti Lembah Klang sebanyak RM1.47 bilion dan Pulau Pinang sebanyak RM378 juta,” katanya.

Chang berkata segmen kediaman terus menjadi tunjang kepada prestasi kumpulan yang menyumbang sebanyak RM2.08 bilion sehingga 31 Ogos, 2025.

Penjualan rumah bertanah di bawah Eco Townships melebihi jualan penuh tahun kewangan 2024 kumpulan dengan RM1.39 bilion direkodkan dalam tempoh 10 bulan, tambah beliau.

Chang juga menekankan prestasi jualan yang kukuh oleh EcoWorld berjaya mengekalkan kedudukan hasil masa depan kumpulan pada tahap tinggi iaitu sebanyak RM5.14 bilion sehingga 31 Ogos, 2025.

Beliau berkata nisbah tahap hutang bersih kumpulan pada 31 Julai, 2025 adalah 0.53 kali, disokong oleh baki tunai yang tinggi termasuk deposit dan dana jangka pendek sebanyak RM1.70 bilion.

“Kedudukan kewangan kumpulan yang aktif membolehkan kami terus memberi ganjaran kepada pemegang saham dengan dividen interim ketiga sebanyak dua sen sesaham untuk suku ketiga tahun kewangan 2025, menjadikan jumlah dividen terkumpul setakat tahun ini sebanyak lima sen sesaham.

“Perancangan strategik kami untuk mengembangkan asas pendapatan berulang juga sedang berjalan dengan baik,” katanya.
— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Untung Bersih 99 Speed Mart Lonjak 13.4 Peratus Pada Suku Kedua

KUALA LUMPUR: 99 Speed Mart Retail Holdings Bhd (99 Holdings) mencatat keuntungan bersih RM163.95 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2026, meningkat 13.4 peratus daripada RM144.63 juta pada suku sama tahun lalu.

Hasil kumpulan meningkat 13.6 peratus tahun ke tahun kepada RM3.08 bilion daripada RM2.71 bilion sebelumnya, menurut syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

“Peningkatan itu didorong terutamanya oleh pengembangan berterusan rangkaian cawangan, dengan pertambahan bersih 257 cawangan baharu tahun ke tahun, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 3,151 cawangan setakat 30 Jun 2026 berbanding 2,894 cawangan setahun sebelumnya.

“Jumlah transaksi jualan meningkat 13.6 peratus kepada 146.4 juta, dengan nilai purata setiap bakul RM21,” menurut syarikat itu.

Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2026, 99 Holdings mencatat keuntungan bersih RM352.5 juta berbanding RM289.53 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

Hasil bagi tempoh enam bulan pula meningkat kepada RM6.14 bilion daripada RM5.32 bilion sebelumnya.

Selain itu, platform e-dagang jualan pukal syarikat terus mencatat pertumbuhan kukuh apabila hasil meningkat 80.5 peratus tahun ke tahun kepada RM50.2 juta bagi enam bulan berakhir 30 Jun 2026.

Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif 99 Holdings, Lee Thiam Wah, berkata momentum pertumbuhan positif pada suku berkenaan disokong pengembangan berterusan rangkaian cawangan serta pelaksanaan waktu operasi lebih awal di seluruh negara.

Thiam Wah berkata tumpuan berterusan terhadap kecekapan operasi turut mula memberikan manfaat ketara kepada kumpulan.

Menurutnya, inisiatif penjimatan tenaga dan penggunaan peralatan membantu mengurangkan kos utiliti serta meningkatkan kecekapan kos merentasi operasi kumpulan.

“Dengan rangkaian cawangan kami terus berkembang, kami kekal komited untuk memperkukuh rantaian bekalan bagi menyokong kecekapan operasi,” katanya.

Beliau berkata kumpulan itu juga terus memperluas penawaran produk bagi memenuhi keperluan pelanggan yang berubah susulan sambutan menggalakkan terhadap rangkaian peralatan rumah terpilih.

Rangkaian berkenaan kini diperluas ke semua cawangan di seluruh negara dan turut ditawarkan menerusi platform 99 Bulksales bagi memenuhi keperluan pelanggan korporat serta pembelian secara pukal.