SC Keluar Garis Panduan untuk Penubuhan Bursa Sosial Pertama Malaysia

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini mengeluarkan Garis Panduan mengenai Platform Bursa Sosial (Garis Panduan), bertujuan membuka laluan kepada penubuhan bursa sosial pertama Malaysia untuk memudahkan pengumpulan dana bagi projek impak sosial.

Bursa sosial tersebut akan menyediakan saluran pengumpulan dana yang telus untuk pertubuhan bukan untung (NPO) untuk mengumpul dana bagi projek impak sosial yang layak, sejajar dengan agenda kemampanan dan keterangkuman Malaysia.

SC berkata bursa itu akan meluaskan peranan pasaran modal untuk menyokong pengumpulan dana bagi sektor ketiga Malaysia serta membina kepercayaan dalam pengumpulan dana oleh NPO.

“Selaras dengan keutamaan Rancangan Malaysia Ke-13, Bursa Sosial memastikan ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam mengumpul dana ke arah projek yang berimpak sosial,” kata Pengerusi SC Dato’ Mohammad Faiz Azmi.

“Ini akan mengukuhkan kepercayaan orang ramai dan menggembleng lebih banyak sumber ke arah impak sosial yang bermakna,” katanya.

Garis Panduan yang dikeluarkan hari ini menetapkan keperluan untuk pengendali platform Bursa Sosial dan NPO, termasuk kelayakan, pendedahan dan pelaporan mandatori untuk beri jaminan kepada penderma tentang cara dana digunakan dan hasil dicapai.

Permohonan untuk mengendalikan bursa sosial dibuka hari ini, 19 September 2025. Sehubungan itu, NPO yang berminat boleh menyemak Garis Panduan untuk memahami dan bersedia untuk penyertaan.

Garis Panduan berkuat kuasa serta-merta dan tersedia di sini .

Previous ArticleNext Article

SC dan Bursa Malaysia Lancarkan Buku Panduan MY Value Up

Kuala Lumpur, 9 Jun 2026 – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (“SC”) dan Bursa Malaysia Berhad (“Bursa Malaysia”) hari ini melancarkan Buku Panduan Program MY Value Up (“Buku Panduan”) bagi membantu syarikat tersenarai awam (PLC) mencipta nilai jangka sederhana hingga panjang serta menjadikannya peluang pelaburan yang lebih menarik di peringkat global.

Buku Panduan tersebut dilancarkan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi semasa Persidangan Invest Malaysia Kuala Lumpur 2026, di hadapan pemimpin pasaran modal dan pihak berkepentingan industri.

Program MY Value Up, yang diperkenalkan bersama oleh SC dan Bursa Malaysia pada April lalu, merupakan satu inisiatif berstruktur di bawah Pelan Induk Pasaran Modal 2026-2030 (Capital Market Masterplan 2026-2030).

Program ini bertujuan menggalakkan PLC membangunkan dan mengkomunikasikan strategi pertumbuhan, sasaran serta keutamaan peruntukan modal yang jelas. Ia juga bertujuan menggalakkan penglibatan pelabur yang lebih kukuh serta memberi tumpuan yang lebih besar di peringkat lembaga pengarah terhadap penciptaan nilai.

Buku Panduan ini menterjemahkan prinsip-prinsip tersebut kepada aplikasi praktikal dengan menyediakan rujukan bersama untuk PLC, termasuk contoh komponen utama dan metrik yang dicadangkan dalam pendedahan maklumat berorientasikan masa hadapan yang dipertingkatkan.

Ia menggariskan jangkaan dan pertimbangan asas untuk PLC dalam membangunkan serta menerbitkan Pelan MY Value Up masing-masing, yang walaupun bersifat sukarela, amat digalakkan untuk dilaksanakan.

Program MY Value Up akan dilaksanakan secara berperingkat bagi memastikan penerimaan yang tersusun dan bermatlamat.

• 2026 – Pengenalan dan Penyelarasan

Fasa ini memberi tumpuan kepada peningkatan pemahaman melalui penglibatan dan dialog dengan pihak pengawal selia, sambil menggalakkan PLC menilai secara sedar bidang fokus mereka dan bagaimana ia boleh diterjemahkan melalui strategi serta pendedahan maklumat syarikat.

SC dan Bursa Malaysia akan berinteraksi dengan PLC yang disasarkan bagi tujuan penyerahan Pelan MY Value Up.

• 2027 – Penerbitan dan Penglibatan

PLC yang disasarkan dijangka mula menerbitkan Pelan MY Value Up kepada umum, sekali gus mewujudkan penanda aras pasaran dan membolehkan penglibatan serta maklum balas pelabur yang lebih bermaklumat.

Sejak pelancaran program ini, SC dan Bursa Malaysia telah berinteraksi dengan pihak pengurusan kanan kebanyakan daripada 88 PLC terbesar, yang mewakili kira-kira 80% daripada keseluruhan permodalan pasaran Bursa Malaysia. Setiap PLC tersebut mempunyai permodalan pasaran minimum sekitar RM4 bilion.

Satu siri bengkel turut dijalankan bagi memperkukuh penglibatan dan mendapatkan maklum balas daripada pihak berkepentingan mengenai program ini.

Usaha ini akan diteruskan melalui sesi libat urus berterusan dengan PLC menerusi dialog berkala, perkongsian maklum balas serta mengenal pasti peluang bagaimana SC dan Bursa Malaysia boleh membantu PLC mencapai objektif strategik mereka dengan lebih berkesan.

Buku Panduan Program MY Value Up kini boleh diakses di laman web Bursa Malaysia https://www.bursamalaysia.com/reference/my-value-up-programme/overview.