SP Setia Lantik Timbalan CEO, COO Baharu

KUALA LUMPUR, 22 Sept (Bernama) — SP Setia Bhd melantik Tan Hwa Min sebagai timbalan ketua pegawai eksekutif (CEO) berkuat kuasa 17 Nov, dan Datuk Yuslina Mohd Yunus sebagai ketua pegawai operasi (COO) berkuat kuasa 1 Okt, berikutan pelantikan Datuk Zaini Yusoff sebagai presiden merangkap CEO berkuat kuasa 1 Okt.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, pemaju hartanah itu berkata pelantikan berkenaan selaras dengan agenda bakat kepimpinannya yang mantap sambil terus membangunkan bakat dalaman dan menarik profesional berkaliber tinggi dari luar bagi memperkukuh pasukan pemimpinnya.

SP Setia berkata Tan kini berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Strategi IJM Corporation Bhd dan Pengarah Urusan IJM RE Sdn Bhd dan mempunyai 15 tahun pengalaman dalam pembangunan hartanah dan transformasi strategik.

“Sebelum itu, Tan merupakan COO TRX City Sdn Bhd, di mana beliau memainkan peranan penting dalam pembangunan Tun Razak Exchange,” tambahnya.

Sementara itu, Yuslina yang sebelum ini bersama I&P Group, menyertai SP Setia pada 2018 dan kini berkhidmat sebagai naib presiden eksekutif kanan syarikat itu.

Peranan beliau di SP Setia termasuk menyelia enam kawasan perbandaran utama, operasi pihak berkepentingan, pengurusan aset dan Yayasan SP Setia.

Pengerusi SP Setia Tan Sri Syed Anwar Jamalullail berkata pelantikan berkenaan menunjukkan komitmen syarikat untuk membentuk pasukan pemimpin yang bersedia menghadapi masa hadapan.

“Dengan menerima profesional berpengalaman yang membawa perspektif baharu dan wawasan strategik sambil memupuk bakat dalaman, kami memperkukuh budaya inovasi, daya tahan dan kepimpinan berwawasan yang akan memacu evolusi berterusan SP Setia,” katanya.
— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

CIMB Securities Kekal Saranan ‘Neutral’ Ke Atas Sektor Hartanah

KUALA LUMPUR, 16 Julai (Bernama) — CIMB Securities Sdn Bhd mengekalkan saran an ‘neutral’ terhadap sektor hartanah, terutamanya di Johor, susulan pilihan raya negeri (PRN) baru-baru ini, memandangkan keputusan itu memberikan mandat yang jelas kepada pentadbiran baharu untuk memastikan kesinambungan pembangunan.

CIMB Securities dalam nota penyelidikannya hari ini memaklumkan bahawa ia termasuk pengumuman rasmi pelan tindakan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) pada suku keempat 2026, dengan sokongan daripada kerajaan perpaduan persekutuan.

Bank pelaburan itu juga menjangkakan pelancaran projek Elevated Autonomous Rapid Transit (E-ART) Johor Bahru bernilai RM7 bilion pada separuh kedua 2026, berikutan pemberian surat hasrat kepada konsortium DOM Industries-MMC Engineering-Nylex- BTS Group Holdings.

Bagaimanapun, projek infrastruktur rentas sempadan yang lain, termasuk cadangan Laluan Link 2 Sistem Transit Rapid (RTS) Tuas-Iskandar Puteri dan Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura, masih menunggu kejelasan dasar yang lebih lanjut.

“Walaupun kami mengekalkan saranan ‘neutral’ terhadap sektor hartanah, pelan tindakan JS-SEZ yang akan datang dan permulaan Laluan Link RTS pada suku pertama 2027 akan menyokong permintaan bagi hartanah kediaman bertanah dan perindustrian di Johor, dengan kesan limpahan faedah kepada aset komersial dan runcit di koridor pertumbuhan utama,” menurut nota penyelidikan itu.

Nilai tanah industri utama dilaporkan telah meningkat dua kali ganda kepada RM150 bagi setiap kaki persegi daripada RM 70-RM80 bagi setiap kaki persegi pada 2024, didorong oleh permintaan berterusan berkaitan pusat data, dengan pencarian tanah semakin beralih ke luar Johor Bahru disebabkan oleh kekangan bekalan tenaga dan air.

Namun, CIMB Securities memberi amaran mengenai segmen kediaman bertingkat tinggi di Johor Bahru, di mana data suku pertama 2026 daripada Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (Napic) menunjukkan stok sedia ada sebanyak 108,863 unit pangsapuri perkhidmatan, serta bekalan masuk dan dalam perancangan masing-masing sebanyak 41,832 dan 18,712 unit sehingga 2030/2031.

Ia meningkatkan risiko lambakan bekalan sekiranya permintaan gagal seiring dengan bekalan tambahan tersebut.

Dalam senarai analisisnya, UEM Sunrise kekal sebagai pilihan utama bagi peningkatan semula nilai tanah Johor, memandangkan simpanan tanah Iskandar Puteri yang luas dan pelan induk perindustrian Gerbang Nusajaya yang akan datang pada suku pertama
2027.

Pemaju lain yang mempunyai pendedahan ketara kepada kawasan sekitar Laluan Link R’TS termasuk Eco World, Mah Sing Sunway, SP Setia dan KSL Holdings.

Sementara itu, Perkhidmatan Tren Elektrik Kuala Lumpur-JB Sentral yang baharu telah meningkatkan ketersambungan dalam negeri dan membuka peluang pembangunan di daerah sekitar, sekali gus memberi manfaat kepada Matrix Concepts menerusi perbandaran Bandar Seri Impian miliknya di Kluang.

Dalam PRN diadakan pada 11 Julai, 2026, Barisan Nasional mengekalkan penguasaan di Johor dengan majoriti dua pertiga yang besar, selepas memenangi 48 daripada 56 kerusi dipertandingkan.

BERNAMA