Abdul Rashid Hussain Dilantik Semula Sebagai Pengerusi TH Selama Dua Tahun

KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) — Kerajaan melantik semula Tan Sri Abdul Rashid Hussain sebagai Pengerusi dan Anggota Lembaga Tabung Haji (TH) bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa 20 Dis, 2025.

TH dalam kenyataan berkata pelantikan itu mencerminkan keyakinan berterusan kerajaan terhadap kepimpinan Abdul Rashid yang telah memacu pembaharuan strategik dan tadbir urus yang signifikan kepada institusi berkenaan.

“Sejak menerajui TH pada 20 Dis, 2023, Abdul Rashid telah memacu beberapa pencapaian utama, termasuk memperkukuh kedudukan kewangan dan meningkatkan pulangan kepada pendeposit.

“Ini dibuktikan melalui kejayaan TH mencatat keuntungan yang memberangsangkan dan memastikan pengagihan dividen yang kompetitif dan mampan,” kata kenyataan berkenaan.

Bagi tahun kewangan 2024, TH mencatat keuntungan berjumlah RM2.92 bilion dan berjaya meningkatkan jumlah aset di bawah pengurusan (AUM) kepada kira-kira RM95.06 bilion.

TH turut menerima pengiktirafan antarabangsa apabila dianugerahkan Labaytum Diamond Award oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi pada Musim Haji 1446H/2025M iaitu pengiktirafan tertinggi bagi agensi pengurusan haji.

Sementara itu, Abdul Rashid dalam kenyataan sama merakamkan penghargaan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar atas kepercayaan yang diberikan untuk meneruskan transformasi TH.

“Saya bersyukur dan amat berbesar hati atas peluang untuk terus menabur bakti bersama-sama warga TH yang cukup komited, ke arah memperkukuh kedudukan kewangan TH supaya lebih mampan dan lestari melalui usaha penambahbaikan dan inovasi untuk terus mengembangkan dana pendeposit serta memudahkan urusan para jemaah dalam menunaikan ibadah haji.

“Matlamat kami adalah untuk memperkukuh TH sebagai sebuah institusi simpanan Islam yang dihormati. Ini juga selaras dengan hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya TH sentiasa menambah baik tatakelola dan tadbir urus agar memberi manfaat kepada para pendeposit,” katanya

Abdul Rashid dilantik sebagai Pengerusi TH pada 20 Dis, 2023 untuk tempoh dua tahun sebelum disambung bagi penggal baharu bermula 20 Dis, 2025 sehingga 19 Dis, 2027.
— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

ANTA kini pemegang saham terbesar PUMA

HONG KONG, 8 Oktober 2026 — ANTA Sports Products Limited, kumpulan pakaian sukan pelbagai jenama terkemuka dunia (“ANTA Sports”, kod saham: 2020 (kaunter HKD) dan 82020 (kaunter RMB), serta anak-anak syarikatnya secara kolektif disebut sebagai “ANTA Group” atau “Kumpulan”), hari ini mengumumkan penyelesaian pemerolehan 29.06% kepentingan dalam PUMA SE daripada Artémis SAS, syarikat pelaburan keluarga Pinault, dengan bayaran tunai sebanyak EUR 1,505.5 juta. Susulan penerimaan semua kelulusan kawal selia yang berkaitan dan pemenuhan syarat penutupan lazim, ANTA Sports kini merupakan pemegang saham terbesar PUMA.

Bagi ANTA Sports, pelaburan ini menandakan pencapaian penting dalam pelaksanaan strategi “fokus tunggal, pelbagai jenama, globalisasi” dan memperkukuh profil antarabangsa, jangkauan serta daya saing Kumpulan dalam pasaran barangan sukan global. ANTA Sports akan membawa kepada PUMA kepakaran yang telah dibangunkan Kumpulan merentasi pelbagai jenama selama bertahun-tahun, termasuk keupayaan dalam pengurusan, peruncitan dan integrasi sumber global.

Ding Shizhong, Pengerusi Lembaga ANTA Sports, berkata: “Kami amat berbesar hati untuk menjadi pemegang saham terbesar PUMA dan rakan strategik jangka panjang. Pasaran barangan sukan global terus menawarkan peluang pertumbuhan yang besar apabila semakin ramai orang mengamalkan gaya hidup aktif dan meningkatkan penyertaan mereka dalam sukan. ANTA Sports telah membina kejayaannya berasaskan strategi pelbagai jenama. Kami percaya nilai sebuah kumpulan pelbagai jenama terletak pada keupayaannya membantu setiap jenama merealisasikan potensi sepenuhnya dengan memanfaatkan keupayaan dan sumber kumpulan yang lebih luas. PUMA mempunyai warisan yang kaya dan nilai asas jenama yang kukuh. Kami yakin terhadap pasukan pengurusannya dan menyokong transformasi strategik yang sedang dilaksanakan. Sebagai pemegang saham jangka panjang, kami berharap dapat berkongsi pengalaman dan keupayaan kami, khususnya dalam bidang peruncitan dan operasi, sambil menghormati kebebasan serta identiti jenama PUMA. Aspirasi kami adalah untuk menyokong PUMA dalam merealisasikan potensi sepenuhnya dan mewujudkan nilai berkekalan untuk pengguna di seluruh dunia.”

“PUMA telah membina salah satu jenama sukan paling dikenali di dunia, dengan warisan yang kaya, kredibiliti sukan yang kukuh, jejak global, inovasi terkemuka dan rakan kongsi yang kukuh. Kami mengalu-alukan ANTA Sports sebagai pemegang saham terbesar PUMA dan melihat komitmen jangka panjangnya sebagai undi keyakinan yang kukuh terhadap strategi, pasukan pengurusan dan masa hadapan kami,” kata Arthur Hoeld, Ketua Pegawai Eksekutif PUMA SE. “Kami berharap dapat membina hubungan yang membuahkan hasil dan meneroka bidang yang membolehkan kekuatan masing-masing mewujudkan nilai mampan untuk PUMA dan para pemegang sahamnya dalam perjalanan kami untuk menjadi antara 3 jenama sukan global teratas.”

ANTA Sports menghormati sepenuhnya warisan sukan PUMA, identiti jenama dan budaya korporatnya yang tersendiri, serta tadbir urus bebas dan autonomi jenamanya. Seperti yang diumumkan sebelum ini, Kumpulan akan mendapatkan perwakilan yang sewajarnya dalam Lembaga Penyeliaan PUMA. Kumpulan pada masa ini tidak mempunyai rancangan untuk membuat tawaran pengambilalihan bagi PUMA.