Malaysia Catat Peningkatan Menyeluruh Dalam Keterangkuman Kewangan, Menurut Indeks Keterangkuman Kewangan Global Oleh Principal®

KUALA LUMPUR, OKTOBER 21, 2025 – Malaysia merupakan salah satu daripada  dua negara di peringkat global yang mencatat peningkatan skor tahun ke tahun merentasi ketiga-tiga teras keterangkuman kewangan — sokongan kerajaan, sokongan sistem kewangan, dan sokongan majikan — menurut Indeks Kaji Selidik Keterangkuman Kewangan Global (GFII) 2025 (Indeks) oleh Principal Financial Group® dan Centre for Economics and Business Research (Cebr).

Sokongan daripada majikan telah meningkat sebanyak 0.8 mata berbanding tahun sebelumnya, manakala sokongan daripada kerajaan dan sistem kewangan masing-masing meningkat sebanyak 0.7 mata dan 0.1 mata.

Kini memasuki tahun keempat, Kaji Selidik Indeks ini meneliti peranan kerajaan, sistem kewangan dan majikan di 42 negara dalam memacu tahap keterangkuman kewangan yang lebih tinggi. Laporan ini menyediakan penilaian yang menyeluruh dan perbandingan terhadap keterangkuman kewangan di peringkat global dengan menilai kedudukan negara berdasarkan perbandingan antara negara-negara terlibat serta skor yang dicapai dalam ketiga-tiga teras sokongan. Di peringkat global, kemajuan dalam keterangkuman kewangan kini telah mendatar selepas mencatat kadar peningkatan yang ketara dalam masa dua tahun sebelumnya.

Sokongan majikan di peringkat global menunjukkan penurunan pada tahun ini berikutan tekanan ekonomi dan perniagaan, namun Malaysia melonjak sebanyak tujuh anak tangga ke kedudukan ketujuh. Walaupun negara lain mencatat penurunan dalam pelbagai penunjuk sokongan majikan, Malaysia meningkat dalam kedudukan bagi dua daripada empat penunjuk tersebut. Kenaikann paling ketara dicatatkan dalam penunjuk penyediaan panduan dan sokongan sistem kewangan, di mana Malaysia naik lapan tangga mencapaikedudukan ke-23.

Dalam teras sokongan kerajaan, Malaysia kekal di kedudukan ke-25 dengan peningkatan sebanyak 0.7 mata, disokong oleh penambahbaikan dalam bidang pendidikan dan akses (pendidikan kewangan yang disediakan oleh kerajaan, keterhubungan digital dan inisiatif berkaitan persaraan). Secara keseluruhannya, perubahan ini menunjukkan asas yang semakin kukuh ke arah ketahanan kewangan jangka panjang.

Dalam teras sokongan sistem kewangan, Malaysia menunjukkan peningkatan, disokong oleh akses kepada kredit, pemerkasaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), serta keyakinan perniagaan — namun kedudukan pasaran menurun tiga anak tangga kepada tangga ke-19 berikutan peningkatan yang lebih pantas oleh pasaran lain.

Munirah Khairuddin, Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua, Principal Asset Management Berhad (Kumpulan Syarikat) berkata: “Peningkatan prestasi Malaysia tahun ini dalam ketiga-tiga teras keterangkuman kewangan merujuk kepada langkah-langkah reformasi domestik dan pengaruh global yang lebih meluas. Sokongan daripada majikan telah meningkat walaupun mencatatkan penurunan di banyak negara lain di seluruh dunia. Ini didorong oleh pelaksanaan projek perintis Dasar Gaji Progresif, penstrukturan semua ‘Akaun 3’ Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), serta penerimaan skim Earned Wages Access yang lebih meluas telah membolehkan isi rumah mengurus tekanan kewangan dengan lebih fleksibel. Daripada segi sistem kewangan, peningkatan sederhana dalam keyakinan perniagaan, pertumbuhan perniagaan kecil dan sederhana (PKS) serta akses kepada kredit disokong oleh pelaksanaan berterusan liputan 5G dan hala tuju dasar yang digariskan dalam Rangka Kerja Keterangkuman Kewangan oleh Bank Negara Malaysia.

Langkah-langkah ini penting memandangkan latar belakang global – dengan keadaan pembiayaan yang lebih ketat, ketidaktentuan perdagangan dan aliran modal yang berubah-ubah. Pengalaman Malaysia menunjukkan bagaimana pelaburan struktur yang konsisten, serta dengan reformasi bersasar dapat mengurangkan kesan tekanan luaran dan menyokong pertumbuhan yang lebih berdaya tahan dan inklusif dalam jangka panjang.”

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai laporan penuh dan Indeks Keterangkuman Kewangan Global, sila layari laman sesawang di sini.

Penemuan utama daripada Indeks Keterangkuman Kewangan Global:

  • Skor keseluruhan keterangkuman kewangan global berada pada 49.4 daripada 100 – menunjukkan penurunan kecil sebanyak 0.2 mata berbanding tahun 2024.
    • Namun begitu, skor ini adalah jauh lebih tinggi berbanding 41.7 semasa Indeks ini mula diperkenalkan pada tahun 2022. Pada tahun 2025, 20 pasaran mencatat peningkatan tahunan dalam skor keterangkuman kewangan mereka, manakala 19 daripada 42 pasaran yang dianalisis menunjukkan penurunan.
  • Sokongan majikan menurun di peringkat global, dengan skor keseluruhan dunia menurun sebanyak 0.6 mata.
    • Sebanyak 35 daripada 42 pasaran (83%) mencatat penurunan dalam skor sokongan majikan – menunjukkan dengan jelas bahawa kesan risiko geopolitik dan perdagangan terhadap keyakinan perniagaan telah mendorong syarikat untuk mengambil pendekatan yang lebih konservatif terhadap faedah pekerja dan inisiatif fleksibiliti.
  • Apabila sokongan daripada majikan berkurangan, kerajaan dan sistem kewangan meningkatkan usaha untuk memperkukuh akses serta pemahaman terhadap produk dan perkhidmatan kewangan.
    • Di peringkat global, skor sokongan kerajaan meningkat sebanyak 0.6 mata, dengan peningkatan dicatatkan di semua rantau utama. Di rantau berpendapatan tinggi seperti Amerika Utara, Eropah dan Timur Tengah, skor sistem kewangan turut meningkat. Secara keseluruhan, 35 pasaran mencatat peningkatan tahun ke tahun bagi salah satu atau kedua-dua skor sokongan kerajaan dan sistem kewangan.
  • Pemodelan terperinci menunjukkan bahawa tahap literasi kewangan yang lebih tinggi membawa kepada pengurusan hutang yang lebih baik serta kos pinjaman yang lebih rendah.
    • Peningkatan 1% dalam tahap literasi kewangan dikaitkan dengan pengurangan sebanyak 2.8% dalam kadar kegagalan bayaran pinjaman seisi rumah dan penurunan sebanyak 6.7% dalam nisbah hutang kepada pendapatan seisi rumah. Kesan ini memberikan manfaat ketara kepada keluaran dalam negeri kasar (KDNK) dalam jangka panjang.

Peningkatan keterangkuman kewangan di Malaysia mempunyai implikasi yang bermakna kepada rakyat Malaysia – terutamanya dari segi akses yang lebih luas kepada perkhidmatan dan sumber kewangan, serta pemerkasaan ekonomi.

Previous ArticleNext Article

Banyak Keistimewaan Jadi Miskin di Malaysia?

Jangan salah faham. Menjadi miskin bukanlah satu keistimewaan. Tetapi di Malaysia, golongan berpendapatan rendah dan keluarga yang benar-benar memerlukan memang mempunyai akses kepada pelbagai bentuk bantuan kerajaan.

Antaranya:

1. STR – Sumbangan Tunai Rahmah
Bantuan tunai kepada golongan yang memenuhi syarat pendapatan dan kategori ditetapkan.

2. SARA – Sumbangan Asas Rahmah
Bantuan untuk membeli barangan keperluan asas menggunakan MyKad.

Penerima STR 2026 yang telah disahkan daripada data Miskin Tegar dan Miskin eKasih layak SARA 2026 berjumlah RM200 / RM150 / RM100 setiap bulan bagi tempoh 12 bulan (Januari 2026 – Disember 2026).

3. Bantuan perumahan
Ada skim seperti Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Rumah Mesra Rakyat (RMR), selain skim sewaan atau subsidi tertentu untuk keluarga berpendapatan rendah.

Keluarga berpendapatan kasar isi rumah sehingga RM3,000, belum memiliki rumah dan memenuhi syarat boleh memohon PPR.

4. Rumah Mesra Rakyat (RMR)

Ini berbeza dengan PPR.

Contoh:
Keluarga berpendapatan rendah mempunyai tanah sendiri tetapi belum mempunyai rumah yang sesuai boleh melihat kelayakan RMR.

Antara syarat yang dinyatakan SPNB ialah pendapatan isi rumah tidak melebihi RM3,000 dan pemohon/pasangan tidak mempunyai rumah sendiri atau mempunyai rumah yang usang/tidak sempurna. Tanah yang sesuai juga diperlukan.

Cara mohon:
Permohonan dibuat melalui SPNB dan dokumen berkaitan tanah, pendapatan serta maklumat keluarga perlu disediakan.

5. Bantuan JKM
Ini antara yang ramai tak tahu sebab bantuan JKM bukan satu jenis sahaja.

Contohnya terdapat bantuan berkaitan kanak-kanak, warga emas, OKU, penjagaan dan keadaan keluarga tertentu.

Cara mohon:
Permohonan boleh dibuat melalui sistem eBantuan JKM bagi negeri yang menyokong permohonan dalam talian, kemudian pemohon perlu hadir ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah bersama dokumen sokongan.

Terdapat pelbagai skim mengikut keadaan penerima, termasuk bantuan kanak-kanak, warga emas dan bantuan am.

6. Bantuan Kesihatan – mySalam

Skim Perlindungan B40 merupakan Skim Perlindungan Takaful PERCUMA yang disediakan oleh kerajaan kepada komuniti B40 di Malaysia. Skim ini bernaung di bawah kelolaan Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) melalui Tabung Amanah mySalam dan diuruskan sepenuhnya oleh Syarikat Great Eastern Takaful Berhad.

Bagi penerima yang layak pada 2026, mySalam menyediakan manfaat seperti hospitalisasi sehingga RM700 setahun dan RM8,000 untuk penyakit kritikal yang dilindungi, tertakluk kepada syarat skim.

Cara mohon:
Semak kelayakan di Portal mySalam. Jika layak dan berlaku kejadian yang dilindungi, tuntutan dibuat secara dalam talian dengan memuat naik dokumen seperti nota discaj atau borang doktor.

7. Bantuan pendidikan
Bantuan yuran, tuisyen, biasiswa dan pelbagai bentuk sokongan pendidikan disediakan secara bersasar untuk keluarga yang memerlukan.

  • BAP (Bantuan Awal Persekolahan) → bantuan tunai RM150 seorang murid untuk murid yang layak.
  • RMT (Rancangan Makanan Tambahan) → murid yang layak mendapat makanan pada setiap hari persekolahan; KPM menetapkan sehingga 190 hari setahun.
  • KWAPM (Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin) → bantuan khusus untuk membantu murid miskin supaya tidak tercicir daripada persekolahan.
  • BKP (Biasiswa Kecil Persekutuan) → antara bantuan kewangan pendidikan yang disenaraikan KPM untuk murid yang memenuhi syarat.
  • Elaun Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (EMBPK) → bantuan khusus untuk murid yang memenuhi syarat berkaitan pendidikan khas.

8. Bantuan zakat
Bagi orang Islam yang layak, boleh memohon bantuan daripada institusi zakat negeri masing-masing.

Contohnya bantuan boleh melibatkan:

  • sara hidup
  • pendidikan
  • perubatan
  • sewa/rumah
  • bantuan kecemasan
  • modal perniagaan

Cara mohon:
Bergantung kepada negeri. Contohnya di Selangor, permohonan dibuat melalui saluran rasmi institusi zakat negeri dan biasanya memerlukan dokumen pendapatan, tanggungan, tempat tinggal dan dokumen sokongan berkaitan.

9. Bantuan pekerjaan & latihan
Kerajaan juga menyediakan program pekerjaan dan latihan kemahiran untuk membantu golongan berpendapatan rendah meningkatkan pendapatan.

MYFutureJobs
Portal pekerjaan nasional yang dikendalikan PERKESO. Boleh cari kekosongan kerja, daftar sebagai pencari kerja dan dapatkan khidmat padanan pekerjaan.

TVET
Kalau nak belajar kemahiran seperti automotif, elektrik, kimpalan, penyelenggaraan, teknologi dan sebagainya, boleh semak institusi TVET kerajaan dan permohonan melalui UP_TVET.

HRD Corp
Terdapat pelbagai program peningkatan kemahiran dan latihan pekerjaan, bergantung kepada program serta kelayakan peserta.

Program penempatan pekerjaan PERKESO
PERKESO juga menjalankan program padanan pekerjaan, karnival kerjaya dan penempatan pencari kerja dengan majikan.

10. Bantuan membaiki atau membina rumah
Program bantuan perumahan turut merangkumi pembinaan baharu dan baik pulih rumah, khususnya bagi isi rumah miskin tegar.

Contoh 1 : Program Baik Pulih Rumah Daif di Bandar

KPKT ada Program Baik Pulih Rumah Daif di Bandar untuk isi rumah yang memenuhi syarat kemiskinan, termasuk yang disahkan dalam eKasih.

Contohnya rumah mengalami:

  • bumbung rosak
  • kerosakan akibat banjir/ribut/kebakaran
  • kerosakan kecil kerana faktor usia
  • keadaan rumah yang tidak lagi selesa tetapi masih ekonomik untuk dibaiki

Kadar bantuan maksimum yang dinyatakan KPKT ialah RM13,000 di Semenanjung dan RM15,000 di Sabah, Sarawak dan Labuan.

11. Bantuan / inisiatif sewa rumah mengikut negeri

  • Selangor → Skim Smart Sewa – sewa pada kadar berpatutan + 30% bayaran sewa boleh dikumpulkan untuk membantu pemilikan rumah.
  • Johor → Bantuan Sewa Rumah Perumahan Kasih Johor – bantuan RM2,500 kepada penerima yang layak. Antara penambahbaikan yang diperluaskan bagi Bantuan Sewa Rumah ialah syarat kelayakan dengan membuka peluang kepada pelajar IPTA/IPTS di Negeri Johor untuk memohon.
  • Sarawak → Skim Bantuan Sewa Rumah (SRAS) – bantuan sewa untuk isi rumah yang memenuhi syarat.
  • Perak → Skim Bantuan Sewa Rumah MAIPk – bantuan sewa sehingga RM500 sebulan untuk asnaf yang layak.

12. Nak berniaga tetapi perlukan bantuan

Contohnya di Selangor:

  • Dana Usahawan Madani Selangor menyediakan bantuan dalam bentuk mesin dan peralatan perniagaan sehingga RM30,000, tertakluk kepada syarat kelayakan. Ini geran bukan pinjaman. Tetapi setiap program ada syarat, kategori penerima dan tempoh permohonan tersendiri.
  • Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan Negeri Selangor menyediakan bantuan berbentuk mesin dan peralatan kepada usahawan kecil bernilai sehingga RM10,000. Program ini merupakan salah satu usaha Kerajaan Negeri Selangor untuk meningkatkan taraf ekonomi peniaga kecil melalui pemberian bantuan peralatan atau mesin berdasarkan perniagaan yang sedang dijalankan.

Jadi, betul ke “banyak keistimewaan jadi miskin”?

Banyak bantuan disediakan untuk mereka yang berada dalam keadaan miskin atau berpendapatan rendah. Dan bantuan ini bukan bermaksud hidup mereka lebih mudah.

Sebab di sebalik setiap bantuan itu ada satu perkara yang kita selalu terlupa:

Miskin tetap bermaksud mempunyai sumber kewangan yang terhad.

Bantuan kerajaan mungkin meringankan beban, tetapi tidak semestinya mengubah kehidupan seseorang menjadi senang.

Bantuan ialah jaring keselamatan. Bukan tiket untuk hidup mewah.

Bantuan ini diwujudkan untuk membantu mereka yang layak. Gunakan bantuan sebagai ruang untuk meringankan beban, bukan untuk mengambil kesempatan.

Dan jangan lupa, Islam juga mengajar kita untuk berusaha mencari rezeki.

Rasulullah SAW bersabda:

“Tidaklah seseorang makan makanan yang lebih baik daripada hasil kerja tangannya sendiri.”
— Riwayat al-Bukhari