Intel Umum Pelaburan Tambahan RM860 Juta Di Malaysia

KUALA LUMPUR, 1 Disember – Intel Corporation mengumumkan pelaburan tambahan bernilai RM860 juta bagi memperkukuh operasi pemasangan dan ujian di Malaysia, sekali gus menjadi tumpuan utama perkembangan terbaharu sektor semikonduktor negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi hantaran di Facebook berkata, keputusan itu mencerminkan keyakinan Intel terhadap perancangan jangka panjang Malaysia, termasuk Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 yang memberi hala tuju jelas pembangunan industri berteknologi tinggi.

“Intel turut merakamkan penghargaan atas sokongan berterusan Kerajaan Malaysia, khususnya terhadap pembangunan Kilang Pembungkusan Termaju di Pulau Pinang yang melibatkan perbelanjaan modal RM12 bilion dan kini 99 peratus siap” menurut kenyataan itu.

Beliau menerima kunjungan hormat Ketua Pegawai Eksekutif Intel, Lip-Bu Tan, seorang anak Malaysia yang berjaya di persada global bagi membincangkan potensi pelaburan strategik dan pengukuhan kedudukan negara dalam rantaian bekalan semikonduktor.

Syarikat itu juga meneruskan kerjasama dengan institusi pendidikan melalui program elektif serta projek penyelidikan dan pembangunan, yang menerima komitmen pembiayaan RM2.8 juta dalam tempoh dua tahun bagi memperkukuh pembangunan bakat tempatan.

Menurut Perdana Menteri, komitmen pelaburan berterusan Intel membuktikan keyakinan syarikat global terhadap Malaysia sebagai rakan kongsi strategik, sekali gus memacu inovasi, mengukuhkan ekosistem industri dan mengekalkan daya saing negara di pentas dunia.

Previous ArticleNext Article

Tarif 10 Peratus AS Terhadap Malaysia Berkuat Kuasa

Malaysia dikenakan tarif 10 peratus oleh Amerika Syarikat (AS) di bawah siasatan Seksyen 301 berkaitan buruh paksa, berkuat kuasa mulai 12.01 tengah malam waktu AS, Jumaat, 24 Julai 2026.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, Malaysia adalah antara 17 ekonomi yang dikenakan kadar tarif 10 peratus, manakala ekonomi lain dikenakan tarif 12.5 peratus.

Katanya, kadar lebih rendah itu mengambil kira komitmen Malaysia melaksanakan dan menguatkuasakan undang-undang yang melarang pengimportan barangan dihasilkan menggunakan buruh paksa.

“Tarif berkenaan mula berkuat kuasa sejurus tamat tempoh tarif sementara yang dikenakan di bawah Seksyen 122 Akta Perdagangan 1974 AS,” katanya.

Sementara itu, MITI berkata, siasatan Seksyen 301 berkaitan isu kapasiti berlebihan yang membabitkan 16 ekonomi termasuk Malaysia masih diteruskan.

Katanya, kadar tarif bagi siasatan itu hanya akan diumumkan selepas Pejabat Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) membuat keputusan mengenainya.

“MITI akan memaklumkan semua pihak berkepentingan mengenai sebarang perkembangan berkaitan dan akan terus mengadakan libat urus dengan Amerika Syarikat,” katanya.

— Berita Harian