Kerajaan Komited Penyasaran Subsidi RON95, Tolak Cadangan Bank Dunia Ikut Harga Pasaran

KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan kekal komited melaksanakan mekanisme penyasaran subsidi petrol RON95 menerusi program BUDI MADANI RON95 (BUDI95), sekali gus menolak cadangan Bank Dunia supaya harga bahan api ditetapkan mengikut harga pasaran.

Beliau berkata penyasaran subsidi RON95 merupakan langkah berhemat yang membolehkan kerajaan menjimatkan perbelanjaan tanpa membebankan rakyat.

“Cadangan (Bank Dunia) adalah untuk menaikkan harga kepada RM2.65 seliter untuk semua (kategori) petrol, kemudian memberikan subsidi khusus untuk kategori tertentu. Justeru itu, saya dan rakan-rakan jemaah menteri menolak cadangan tersebut, dan menurunkan harga RON95 kepada RM1.99 seliter bagi rakyat serta RM2.60 seliter bagi warga asing.

“Ini menunjukkan, pendekatan (kerajaan) yang lebih berhemat dan memberikan faedah kepada rakyat. Alhamdulillah, penyasaran subsidi RON95 di seluruh Malaysia ini sambutannya sangat baik dan positif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan (2026) di Dewan Negara, di sini hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata penyasaran subsidi secara menyeluruh itu memastikan bantuan terus dinikmati rakyat, di samping membanteras ketirisan subsidi kepada bukan warganegara serta kegunaan perniagaan.

“Ketika kerajaan menghentikan (pemberian) subsidi ayam dan telur, dan mengapungkan harganya, kerajaan memastikan harga kekal stabil, bekalan mencukupi dan rakyat tidak terkesan.

“Melalui pengapungan harga ayam dan telur, serta penyasaran subsidi elektrik, diesel dan RON95, kerajaan meraih penjimatan sekitar RM15.5 bilion setahun,” kata Anwar.

Dalam pada itu, beliau berkata ketika pembentangan Belanjawan 2026, kerajaan memilih untuk tidak memperkenalkan cukai baharu, sebaliknya menumpukan kepada penambahbaikan tatakelola, penyasaran subsidi dan pengukuhan pematuhan cukai.

“Lazimnya, apabila perbelanjaan tambahan diumumkan, kerajaan akan memperkenalkan cukai baharu, tetapi di Malaysia peruntukan ditambah tanpa menambah cukai baharu kerana kita (melaksanakan) penyasaran subsidi dan beberapa langkah lain bagi penjimatan dan mengelakkan ketirisan.

“Jika kerajaan Persekutuan mengambil langkah sedemikian, saya menyeru kerajaan negeri supaya turut berbuat demikian dan berhati-hati agar sebarang tindakan dan cukai baharu tidak membebankan rakyat,” katanya.
— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

TH Tidak Sepatutnya Isytihar Hibah 2017 RM2.75 Bilion, Amal Perakaunan Kreatif

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) — Lembaga Tabung Haji (TH) tidak sepatutnya mengisytiharkan agihan keuntungan (hibah) tahunan sebanyak 4.50 peratus dan agihan keuntungan (hibah) haji 1.75 peratus yang menelan perbelanjaan sehingga RM2.75 bilion bagi tahun kewangan 2017, menurut Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji.

Dalam Laporan RCI bagi menyiasat isu pengurusan dan operasi ‘TH dari 2014 hingga 2020 yang diterbitkan malam ini, keghairahan TH untuk membayar agihan keuntungan (hibah) yang tinggi sejak 2014 hingga 2017 sehingga melampaui kemampuan kewangan antara faktor yang menyumbang kepada krisis kewangan.

Menurut RCI, pengurusan TH telah membuat amalan perakaunan kreatif bagi pengisytiharan agihan keuntungan (hibah) yang tinggi.

Suruhanjaya mendapati penyata kewangan “TH dari 2014 hingga 2017 telah diberi Sijil Audit Bersih walaupun laporan audit untuk tahun kewangan 2017 ada menyebutkan mengenai “Emphasis of Matter”.

Berkaitan pengauditan Penyata Kewangan TH 2017, RCI menjelaskan Jabatan Audit Negara (JAN) tidak sepatutnya mengeluarkan Sijil Audit Bersih bagi tahun kewangan berkenaan kerana perkara yang dinyatakan sebagai ‘Emphasis of Matter’ sepatutnya dinyatakan sebagai ketidakpatuhan.

Penjelasan mengenai “Emphasis of Matter” itu menunjukkan Ketua Audit Negara (KAN) telah mempertimbangkan perkara di luar skop audit dalam penemuannya ketika mengaudit Penyata Kewangan TH 2017, dan jelas JAN tidak tegas dalam pengauditan penyata kewangan ‘TH.

Jabatan Audit Negara Gagal Tegur

Menurut RCI, ketidaktegasan JAN juga dilihat apabila agensi berkenaan gagal menegur ‘TH berkaitan pemberian keuntungan (hibah) yang tinggi sepanjang 2014 hingga 2017.

Pembayaran agihan keuntungan (hibah) yang tinggi yang dibuat sebelum 2018 telah menyebabkan rizab ‘TH menyusut, tambah RCI.

“Pembayaran agihan keuntungan (hibah) yang tinggi ini telah menarik para pendeposit yang mencari pulangan yang tinggi. Dalam memenuhi jangkaan pendeposit ini menyebabkan TH tergelincir daripada matlamat penubuhannya.

“Ini mendedahkan “TH kepada risiko pendeposit besar yang berpotensi mengeluarkan deposit mereka (bank run) sekiranya agihan keuntungan (hibah) yang diberi oleh TH adalah terlalu rendah,” tambah RCI.

Menurut RCI, perkara itu berlaku pada 2019 selepas pengumuman agihan keuntungan (hibah) pada kadar 1.25 peratus bahawa terdapat pengecutan dalam deposit.

“Saiz deposit ‘TH menurun daripada kira-kira RM 73 bilion sebelum pengumuman agihan keuntungan (hibah) kepada RM69 bilion pada akhir 2019. TH bernasib baik kerana jumlah pengeluaran deposit dan kesannya adalah lebih kecil daripada apa yang dikhuatiri,” tambah RCI.

Menurut RCI, JAN seharusnya membuat teguran mengenai pengisytiharan agihan keuntungan (hibah) yang terlalu tinggi yang bertentangan dengan kemampuan kewangan ‘TH.

— BERNAMA