Kenanga IB Jangka FBM KLCI Cecah Paras 1,840 Tahun Ini

KUALA LUMPUR, 9 Feb (Bernama) — Kenanga Investment Bank Bhd (Kenanga IB) menjangkakan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) berpotensi mencecah paras 1,840 tahun ini.

Kenanga IB berkata Malaysia secara relatifnya sentiasa menjadi destinasi pelaburan selamat berbanding negara-negara lain di ASEAN dalam persekitaran risiko geopolitik dan kini boleh mendapat manfaat daripada sentimen pelabur yang mula mengalihkan kedudukan mereka dari Indonesia buat sementara waktu.

“Bagi tempoh terdekat, kami juga menjangkakan bahawa sentimen terhadap FBM KLCI boleh mendapat manfaat sekiranya pelabur memilih untuk mengalihkan kedudukan mereka dari Indonesia, berikutan amaran kebolehpelaburan oleh MSCI baru-baru ini terhadap pasaran Indonesia, disusuli oleh prospek negatif Moody’s terhadap penarafan negara itu,” katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.

Kebolehpelaburan bermaksud kesukaran pelabur untuk masuk atau keluar dari pasaran tersebut, manakala manakala MSCI pula adalah singkatan kepada Morgan Stanley Capital International, firma penyelidikan pelaburan terkemuka di dunia yang menyediakan penanda aras (indeks) untuk pelabur global.

Pada 27 Januari, indeks penanda aras mencecah 1,771.25, mengatasi paras tertinggi sebelumnya iaitu 1,769.16 pada 8 Oktober, 2018.

Bagaimanapun, Kenanga IB berkata ia akan mengekalkan sasaran akhir tahunnya iaitu 1,750 menjelang musim laporan keputusan kewangan akan datang.

Ia berkata FBM KLCI mempamerkan korelasi positif dengan kekuatan ringgit dengan pulangan dolar Amerika Syarikat (AS) setakat ini kira-kira enam peratus, setanding dengan Thailand dan Filipina.
Kadar pertukaran semasa dolar AS-ringgit dilihat sebagai neutral pada masa ini, selepas pelantikan Kevin Warsh sebagai pengerusi Rizab Persekutuan (Fed) AS oleh Presiden AS, memberikan sokongan kepada dolar AS, katanya.

“Sektor pilihan utama kami adalah perbankan, walaupun kami menjangkakan kenaikan harga saham perbankan tidak sepantas sebelum ini apabila ringgit mulai stabil, nilai sektor ini masih dianggap rendah berbanding pengukuhan asas fundamental yang telah dicapainya.

“Bagaimanapun, kami lebih menggemari gabungan seimbang antara saham beta-tinggi (AmBank) dan saham beta-rendah (Maybank, Public Bank),” katanya.

Sebagai rujukan, beta-tinggi adalah saham yang bergerak lebih agresif (harganya cepat naik), manakala beta-rendah pula ialah saham yang lebih stabil dan kurang berisiko, harganya tidak turun naik secara mendadak.

Pertukaran mata wang asing (forex) berkemungkinan akan menjejaskan keputusan kewangan pengeksport dalam tempoh terdekat, namun ringgit yang semakin stabil dijangka dapat membantu sentimen masa depan bagi sektor yang paling terkesan oleh turun naik forex seperti sektor teknologi, kata bank pelaburan itu.

Kenanga IB berkata dalam persekitaran lonjakan yang sebahagian besarnya didorong oleh sektor perbankan pada permulaan 2026, minat terhadap FBM KLCI telah semakin kukuh sejak pertengahan tahun lepas, bagaimanapun disebabkan kemasukan pelabur asing masih belum menyeluruh, situasi ini membuka ruang bagi pelabur untuk memilih saham-saham berkualiti pada harga menarik.

Kekuatan ringgit berterusan pada paras semasa akan memberi manfaat kepada sektor solar kerana kadar pertukaran semasa akan menimbulkan kebimbangan mengenai kos panel yang berlebihan seperti dihadapi Solarvest Holdings Bhd.
— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Meridian Ditegur Bursa, Didenda RM8,500

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia Securities Bhd mengenakan teguran secara terbuka terhadap Meridian Bhd dan Pengarah Eksekutifnya, Tang Boon Koon, selepas syarikat itu didapati melanggar Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities (LR Utama).

Tang turut dikenakan denda keseluruhan RM8,500 berikutan pelanggaran berkenaan.

Bursa Malaysia Securities dalam kenyataan berkata, Meridian melanggar perenggan 9.23(1) LR Utama kerana gagal menerbitkan laporan tahunan termasuk penyata kewangan diaudit dalam tempoh ditetapkan bagi tempoh kewangan 17 bulan berakhir 30 November 2023 dan tempoh kewangan 18 bulan berakhir 31 Mei 2025.

Menurutnya, laporan tahunan bagi tempoh kewangan berakhir 30 November 2023 hanya diterbitkan pada 5 April 2024, iaitu lewat lima hari urus niaga selepas tarikh akhir pada 31 Mac 2024.

Sementara itu, laporan tahunan bagi tempoh kewangan berakhir 31 Mei 2025 diterbitkan pada 8 Oktober 2025, iaitu lewat enam hari urus niaga selepas tarikh akhir pada 30 September 2025.

“Tang, Pengarah Eksekutif Meridian pada masa itu, melanggar perenggan 16.13(b) LR Utama kerana membenarkan Meridian melakukan pelanggaran berkenaan serta dikenakan teguran secara terbuka selain denda keseluruhan berjumlah RM8,500,” katanya.

Bursa Malaysia Securities turut mengarahkan Meridian memastikan Tang dan kakitangan berkaitan menghadiri program latihan pematuhan LR Utama, khususnya berkaitan penyata kewangan.

Selain itu, lembaga pengarah syarikat diminta menyemak semula kecukupan serta kecekapan sumber kewangan dan perakaunan, selain dasar serta prosedur pelaporan kewangan syarikat.

Bursa Malaysia Securities berkata, dapatan pelanggaran dan tindakan terhadap Meridian serta Tang dibuat menurut perenggan 16.19 LR Utama selepas proses sewajarnya selesai dengan mengambil kira semua fakta dan keadaan berkaitan kes berkenaan.

Pertimbangan itu termasuk kepentingan material pelanggaran, kesannya terhadap Meridian serta pemegang saham atau pelabur, selain peranan, tanggungjawab, pengetahuan dan tingkah laku Tang.

Bursa Malaysia Securities memandang serius pelanggaran berkenaan kerana penyerahan penyata kewangan dalam tempoh ditetapkan adalah kewajipan asas bagi syarikat tersenarai.

“Amat penting untuk memastikan pasaran yang teratur dan adil bagi sekuriti yang diniagakan di Bursa Malaysia Securities serta perlu bagi membantu keputusan pelaburan yang termaklum.

“Bursa Malaysia Securities turut mengingatkan Meridian dan lembaga pengarahnya mengenai tanggungjawab masing-masing untuk mengekalkan piawaian tanggungjawab korporat serta akauntabiliti yang sewajarnya kepada pemegang saham dan orang awam yang melabur,” katanya.

Menurut Bursa Malaysia Securities, kelewatan penerbitan laporan tahunan berkenaan berpunca terutamanya daripada kegagalan Meridian menyelenggara serta menyediakan maklumat, dokumen dan rekod perakaunan yang diperlukan kepada juruaudit luar.

Keadaan itu turut menyebabkan juruaudit memberikan pendapat penafian terhadap kedua-dua set penyata kewangan diaudit berkenaan.

Pendapat penafian itu mencetuskan kriteria yang ditetapkan di bawah Nota Amalan 17 (PN17), sekali gus menyebabkan Meridian diklasifikasikan sebagai penerbit berstatus PN17 pada 8 April 2024.