Penat Cari Duit, Akhirnya “Hangus” Untuk Bayar Cukai?

Pernah tak korang duduk depan laptop, tangan menggigil nak tekan butang submit e-Filing sebab tengok baki cukai kena bayar sampai beribu-ribu? Masa tu, segala rasa ralat dan tak puas hati muncul. Rasa macam “hangus” hasil titik peluh setahun.

Tapi, cuba korang tarik nafas kejap. Bayangkan senario ini:

Di satu sudut hospital kerajaan, ada seorang ayah yang buntu fikir kos bedah jantung anaknya yang mencecah RM50,000. Angka itu berpusing-pusing di kepalanya. Dia hanya seorang kerani biasa. Dia mula berkira-kira untuk tebalkan muka meminjam sana-sini. Air matanya gugur, bukan kerana sedih, tapi kerana rasa gagal sebagai seorang ayah.

Tapi bila dia pergi ke kaunter bayaran, kerani tu sambil tersenyum berkata, “Encik cuma perlu bayar RM1 sahaja.”

Ayah tadi terduduk, menangis syukur.

Tahu tak siapa yang “bayar” baki RM49,999 tu? Itulah duit cukai yang korang rasa “hangus” tadi.

Ada orang kata, “Alah, cukai aku bayar RM500 je setahun. Tak luak pun buat kerajaan. Kerajaan kan ada cukai korporat, cukai jalan, duti eksais, macam-macam lagi! Apa sangatlah duit cukai aku yang sikit ni?”

Memang betul, pendapatan negara datang dari pelbagai sumber. Tapi kena ingat, bajet negara ni ibarat satu puzzle gergasi. Cukai syarikat mungkin besar, tapi sumbangan dari cukai pendapatan individu adalah salah satu kepingan puzzle yang sangat kritikal.

Bila jutaan rakyat Malaysia “tong-tong” (berkongsi) membayar cukai individu, jumlahnya mencecah berbilion ringgit setahun!

Nak ikhlas bayar cukai ni bukan soal faham undang-undang, tapi soal faham kemanusiaan. Bila kita nampak yang duit tu sebenarnya tengah “memberi peluang kedua” kepada orang lain, “menyuap” nasi ke mulut anak yatim dan “menjaga” keselamatan mak ayah kita di kampung, saat itulah rasa berat hati tadi akan bertukar menjadi rasa bangga yang luar biasa.

Macam mana nak capai tahap ikhlas macam tu? Cuba renungkan 4 perkara ni:

1. Cukai Sebagai “Sijil Kejayaan”

Tukar mindset: Cukai bukan beban, tapi ia adalah bukti korang sudah berjaya. Hanya orang yang memiliki pendapatan melebihi paras tertentu sahaja yang layak membayar cukai.

  • Kalau kena bayar cukai RM5,000, bayangkan berapa banyak rezeki (pendapatan) yang Tuhan dah bagi sampai korang sampai ke tahap itu.
  • Ramai orang di luar sana teringin nak ada gaji setinggi itu. Kalau kena bayar banyak, maksudnya Tuhan dah amanahkan rezeki yang sangat besar tahun lepas. Bayar cukai adalah cara “mengalirkan” berkat tu supaya ia dapat dikongsi bersama.

2. Niatkan Sebagai “Sedekah Paksa”

Zakat itu wajib untuk asnaf, tapi cukai pula adalah sumbangan untuk kepentingan “keluarga besar” kita.

  • Bila bayar cukai, niatkan dalam hati: “Ya Allah, aku sedekahkan duit ini untuk kegunaan rakyat Malaysia.”
  • Bayangkan, duit itu digunakan untuk beli ubat bagi pesakit di hospital kerajaan atau beli buku teks untuk anak-anak sekolah. Selagi orang itu sembuh atau budak tu dapat ilmu, pahala jariah korang tetap mengalir walaupun tak kenal pun siapa mereka.

3. Melunaskan “Hutang”

Sedar atau tidak, kita semua “terhutang budi” dengan negara.

  • Kita belajar di sekolah dan universiti yang yurannya disubsidi.
  • Kita guna jalan raya, jambatan dan lampu jalan yang dibina sebelum kita lahir lagi.
  • Bayar cukai adalah cara kita membalas jasa dan memastikan generasi anak-anak kita nanti pun dapat nikmat yang sama. Kita bayar supaya manfaat ini tidak terhenti pada kita sahaja.

4. Membantu Golongan “Tengah” (M40)

Zakat hanya untuk golongan asnaf. Tapi macam mana dengan kawan-kawan kita yang “tak kaya tapi tak miskin” (M40)? Gaji mereka sedikit saja melepasi garisan asnaf, membuatkan mereka tidak layak menerima zakat, namun tidak cukup kaya untuk menanggung badai musibah yang datang secara tiba tiba. Mereka tak layak terima zakat, tapi kalau anak mereka masuk hospital, mereka sangat perlukan subsidi kerajaan.

Bayangkan kawan sepejabat. Anak mereka tiba-tiba jatuh sakit dan perlukan pembedahan segera. Simpanan tak seberapa, insurans pula ada hadnya. Di sinilah duit cukai korang muncul sebagai Superhero yang tidak didendang.

  • Duit cukai koranglah yang memastikan kawan itu hanya perlu membayar RM500 untuk pembedahan yang kos asalnya berjumlah RM50,000.
  • Duit cukai koranglah yang menghalang seorang ayah daripada berhutang keliling pinggang semata-mata nak menyelamatkan nyawa anaknya.

Bila bayar cukai, korang sebenarnya sedang menjaga maruah kawan-kawan dan jiran tetangga. Korang sedang memegang tangan mereka supaya tidak jatuh tersungkur ke lembah kemiskinan. Menolong mereka yang sedang sesak walaupun mereka bukan asnaf adalah satu amal jariah yang sangat agung dan mulia.

“Tapi… Takutlah Duit Kena Sakau Oleh Ahli Politik!”

Ini kerisauan paling besar kan? Kita penat-penat membanting tulang, tiba-tiba keluar berita berlaku ketirisan sana-sini. Rasa macam tak berbaloi nak bayar kalau hujung-hujung masuk poket orang yang tidak sepatutnya.

Tapi, cuba renungkan sudut pandang ni:

Dalam Islam, tanggungjawab kita adalah mematuhi peraturan demi kepentingan awam. Apabila kita membayar dengan niat untuk membantu rakyat, insha-Allah pahala itu sudah milik kita di sisi Tuhan.

Kalau ada tangan-tangan yang menyalahgunakan amanah itu, itu adalah dosa besar mereka di padang mahsyar nanti. Mereka yang akan menjawab, mereka yang akan menanggung azab.

Pahala kita takkan “disakau” oleh dosa mereka.

Jadi, jangan biarkan kemarahan kita kepada segelintir manusia membuatkan kita berhenti menjadi tulang belakang kepada berjuta rakyat lain yang benar-benar memerlukan.

Daripada Jabir RA, Rasulullah SAW bersabda: “Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi manusia yang lain.” (Hadis Riwayat al-Tabarani)

Artikel ini tidak ditaja oleh LHDN atau mana-mana pihak berkuasa. Kami di Majalah Labur cuma nak ajak anda semua ‘win’ dari segi kewangan DAN ketenangan jiwa. Bila kita nampak ke mana perginya setiap sen hasil titik peluh kita, barulah kita rasa berbaloi nak menyumbang. Jom jadi pembayar cukai yang bijak dan berjiwa besar!

Previous ArticleNext Article

Apa Sebenarnya Isu dengan Cukai Pegangan / Withholding Tax (WHT)?

Sejak kebelakangan ini, semakin ramai usahawan berkongsi pengalaman berhubung kewajipan Cukai Pegangan / Withholding Tax (WHT) ke atas bayaran kepada syarikat luar negara seperti Meta, Google dan platform digital lain.

Ada yang menganggap WHT sebagai cukai baharu LHDN. Ada pula yang mempersoalkan kenapa perlu membayar WHT sedangkan mereka sudah membayar SST.

Sebenarnya, konsep WHT bukan perkara baharu. Persoalannya ialah mengapa ia kini menjadi perhatian ramai, khususnya dalam kalangan usahawan digital. Kenapa sebenarnya Cukai Pegangan / Withholding Tax (WHT) ini menjadi isu dalam kalangan usahawan yang menggunakan platform pengiklanan digital?

Jawapannya terletak pada bagaimana cara perniagaan beroperasi hari ini.

Dulu, iklan banyak dibelanjakan dalam negara.

Syarikat akan beli ruang iklan di surat khabar, stesen TV atau radio tempatan.

Media tempatan memperoleh pendapatan.

Pekerja mereka dibayar gaji.

Syarikat pula membayar cukai pendapatan di Malaysia.

Hari ini, landskap sudah berubah.

Ramai usahawan beriklan di Facebook, Instagram, Google dan TikTok.

Setiap bulan, ada yang membelanjakan ribuan, malah jutaan ringgit.

Tetapi bayaran itu tidak lagi diterima oleh syarikat tempatan.

Ia dibayar kepada syarikat di luar negara.

Persoalannya…

Patutkah Malaysia mempunyai hak mengenakan cukai ke atas sebahagian daripada pendapatan yang dijana daripada pasaran Malaysia?

Di sinilah perlunya konsep Withholding Tax (WHT).

WHT bukan bermaksud syarikat luar negara tidak membayar cukai di negara mereka. Mereka mungkin tetap dikenakan cukai mengikut undang-undang negara masing-masing. Jadi kerajaan Malaysia berpendapat, negara ini juga patut ada sedikit hak untuk mengenakan cukai ke atas bayaran tertentu yang keluar ke luar negara.

Oleh sebab syarikat tersebut berada di luar bidang kuasa LHDN, undang-undang meletakkan tanggungjawab kepada pihak yang membuat bayaran di Malaysia untuk memotong dan meremit cukai tersebut jika bayaran itu tertakluk kepada WHT.

Contoh

Bayangkan ada dua content creator.

Amir tinggal di Malaysia. Sebuah syarikat kosmetik Malaysia membayarnya RM100,000 untuk menghasilkan kandungan promosi. Amir akan melaporkan pendapatan itu dan membayar cukai di Malaysia.

Alex pula tinggal di Ireland. Syarikat kosmetik yang sama di Malaysia membayarnya RM100,000 untuk menghasilkan kandungan yang menyasarkan pelanggan di Malaysia. Alex juga mungkin akan membayar cukai di Ireland mengikut undang-undang negara tersebut.

Persoalannya, bayaran RM100,000 itu datang daripada syarikat Malaysia. Adakah Malaysia juga patut mempunyai hak untuk mengenakan cukai ke atas bayaran tersebut?

Inilah antara rasional kewujudan WHT.

WHT bukan bermaksud Alex tidak membayar cukai di Ireland. Sebaliknya, ia merupakan mekanisme yang membolehkan Malaysia mengenakan cukai ke atas bayaran tertentu kepada bukan pemastautin apabila syarat-syarat di bawah undang-undang dipenuhi.

Antara bayaran yang lazim tertakluk kepada WHT ialah:

  • Royalti (Seksyen 109)
  • Faedah (Seksyen 109)
  • Perkhidmatan, pengurusan atau khidmat khas (Seksyen 109B)
  • Pendapatan artis luar negara (Seksyen 109A)
  • Pendapatan kontrak (Seksyen 107A)

Namun, bukan semua bayaran kepada syarikat luar negara dikenakan WHT. Sama ada WHT terpakai bergantung kepada jenis bayaran, fakta sesuatu transaksi serta jika berkaitan, Perjanjian Pengelakan Pencukaian Dua Kali (DTA).

Apa jadi kalau WHT tidak dipatuhi?

Bayangkan sebuah syarikat kosmetik di Malaysia.

Setiap bulan syarikat ini beriklan di Facebook dan Instagram.

Sepanjang tahun, jumlah belanja iklan mencecah RM1 juta.

Walaupun jumlah itu terkumpul sepanjang tahun, kewajipan WHT tidak timbul di hujung tahun. Sebaliknya, ia perlu dipatuhi bagi setiap bayaran yang dibuat kepada Meta Platforms Ireland Ltd (dahulunya dikenali sebagai Facebook Ireland Ltd) .

Berapa kadar WHT yang perlu dibayar?

Bayaran kepada Meta Platforms Ireland Limited bagi pengiklanan digital tertakluk kepada WHT sebagai royalti. Ramai menyangka kadarnya sentiasa 10%.

Namun bagi Meta, keadaannya sedikit berbeza.

Ini kerana Meta mengeluarkan invois kepada pelanggan Malaysia melalui Meta Platforms Ireland Limited, manakala Malaysia dan Ireland mempunyai Perjanjian Pengelakan Pencukaian Dua Kali (DTA).

Jika syarat-syarat DTA dipenuhi, kadar WHT yang dikenakan ialah 8%, berbanding kadar domestik 10%.

Nota: Bagi TikTok Ads, oleh kerana invois dikeluarkan oleh TikTok Pte Ltd yang berpangkalan di Singapura, pembayar cukai perlu memastikan syarikat tersebut benar-benar merupakan pemastautin cukai Singapura sebelum menggunakan kadar WHT (8%) di bawah DTA Malaysia–Singapura.

Jika bayaran kepada Meta Platforms Ireland Ltd tertakluk kepada WHT tetapi syarikat gagal mematuhi kewajipan tersebut, kesannya bukan sekadar perlu membayar WHT.

Perbelanjaan iklan RM1 juta itu juga boleh tidak dibenarkan sebagai potongan cukai di bawah perenggan 39(1)(j) Akta Cukai Pendapatan 1967 sehingga WHT dijelaskan.

Katakan syarikat itu memperoleh untung sebelum cukai RM2 juta.

Jika WHT dipatuhi

  • Untung sebelum cukai: RM2,000,000
  • Tolak kos iklan: RM1,000,000
  • Pendapatan bercukai: RM1,000,000
  • Anggaran cukai syarikat (24%): RM240,000

Jika WHT tidak dipatuhi

  • Untung sebelum cukai: RM2,000,000
  • Kos iklan RM1,000,000 tidak dibenarkan
  • Pendapatan bercukai: RM2,000,000
  • Anggaran cukai syarikat (24%): RM480,000

Perbezaan cukai: RM240,000.

Itu belum mengambil kira WHT yang masih perlu dijelaskan serta kenaikan jika lewat dibayar.

WHT bukan untuk iklan di sosial media sahaja

Ramai ingat WHT hanya berkaitan pengiklanan di Meta (Facebook & Instagram), Google Adwords atau TikTok Ads.

Sebenarnya tidak.

WHT telah lama wujud dan melibatkan pelbagai jenis bayaran kepada syarikat atau individu bukan pemastautin.

Antaranya ialah:

🛠️ Perkhidmatan

Contohnya sebuah kilang di Malaysia mengupah jurutera dari Jepun untuk memasang mesin.

💻 Perisian dan langganan digital

Contohnya bayaran lesen perisian, cloud computing atau platform AI kepada syarikat luar negara. (Tertakluk kepada fakta dan jenis bayaran.)

🎬 Content creator atau influencer luar negara

Contohnya syarikat kosmetik Malaysia membayar influencer di Korea Selatan untuk mempromosikan produk kepada pelanggan Malaysia.

🏷️ Royalti

Contohnya, sebuah syarikat Malaysia membayar royalti kepada pemilik jenama luar negara untuk menggunakan jenama tersebut di Malaysia.

Bagaimana hendak membayar WHT?

Jika sesuatu bayaran memang tertakluk kepada WHT, proses pembayarannya kini dibuat secara dalam talian melalui Portal MyTax menggunakan aplikasi e-WHT. LHDN menggalakkan pembayar cukai mengemukakan borang dan membuat bayaran melalui platform ini.

Secara ringkas, prosesnya adalah seperti berikut:

  1. Log masuk ke MyTax.
  2. Pilih ezHasil Services → e-WHT.
  3. Pilih borang WHT yang berkaitan (contohnya CP37 untuk royalti).
  4. Masukkan maklumat pembayar, penerima (termasuk TIN) dan butiran bayaran.
  5. Jana Bill Number.
  6. Buat pembayaran melalui ByrHASiL (FPX) atau saluran pembayaran yang dibenarkan.
  7. Muat turun resit pembayaran untuk simpanan rekod.

Tip: Antara cabaran yang sering dihadapi usahawan ialah mendapatkan maklumat penerima seperti Tax Identification Number (TIN) bagi syarikat luar negara. Jika TIN penerima belum tersedia, pembayar cukai boleh mendapatkan bantuan daripada LHDN melalui [email protected]

Kesimpulannya

Kita perlu faham bahawa WHT adalah mekanisme yang digunakan untuk memberi hak percukaian kepada Malaysia ke atas bayaran tertentu yang mengalir ke luar negara.

Ramai usahawan bukanlah mempertikaikan hak kerajaan untuk mengutip cukai. Apa yang mereka rungutkan ialah beban yang semakin bertambah.

Hari ini, mereka sudah pun membayar SST 8% ke atas perkhidmatan iklan digital. Dalam masa yang sama, timbul pula isu WHT yang memerlukan proses pengemukaan borang CP37 dan bayaran secara manual kepada LHDN.

Sebab itulah ada yang merasakan kos semakin tinggi, walaupun SST dan WHT sebenarnya merupakan dua cukai yang berbeza.

Namun, dalam era ekonomi digital hari ini, mungkin sudah tiba masanya mekanisme ini ditambah baik.

Antara cadangan yang boleh dipertimbangkan ialah:

  • Mewujudkan nilai ambang (threshold), sebagai contoh, hanya syarikat yang mempunyai hasil jualan tahunan melebihi jumlah tertentu diwajibkan mematuhi WHT bagi transaksi digital, manakala perusahaan mikro dan kecil diberi pengecualian
  • Menyediakan mekanisme pemotongan automatik melalui platform seperti Meta atau Google, seperti mana SST digital dikutip hari ini. Ini mengurangkan beban usahawan yang perlu memproses dan meremit sendiri WHT.
  • Memberikan tempoh pengampunan kepada pembayar cukai yang ingin membuat pengakuan secara sukarela tanpa dikenakan penalti 10%.

Bagi pembaca yang ingin memahami bagaimana mahkamah mentafsirkan isu Withholding Tax, berikut beberapa keputusan kes yang boleh dijadikan rujukan:

  • Kes Mahkamah Berkaitan WHT: Glocomp Systems (M) Sdn Bhd
    • Mahkamah Tinggi (Glocomp Systems (M) Sdn Bhd v KPHDN)
      Glocomp mencabar tindakan LHDN yang mengenakan WHT ke atas bayaran kepada Symantec Singapura. Mahkamah Tinggi memihak kepada Glocomp dan memutuskan bahawa bayaran tersebut bukan royalti, sebaliknya merupakan business profits di bawah DTA Malaysia–Singapura.
    • Mahkamah Rayuan (KPHDN v Glocomp Systems (M) Sdn Bhd)
      LHDN merayu keputusan tersebut. Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan LHDN. Namun, keputusan itu bukan kerana mahkamah memutuskan bayaran tersebut semestinya tertakluk kepada WHT. Sebaliknya, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa Glocomp sepatutnya menggunakan saluran rayuan cukai yang disediakan oleh Akta Cukai Pendapatan, iaitu melalui Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan (SCIT), dan bukannya terus memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi.
  • Wira Swire Sdn Bhd v Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri (Seksyen 109B ITA 1967) – Kes ini menunjukkan bahawa tidak semua bayaran kepada syarikat luar negara dikenakan WHT. Jika terdapat Perjanjian Pengelakan Pencukaian Dua Kali (DTA), hak Malaysia untuk mengenakan WHT mungkin terhad. Dalam keadaan tertentu, pendapatan tersebut hanya dikenakan cukai di negara tempat syarikat itu bermastautin.
  • Alwan Enterprise Sdn Bhd v Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri (Seksyen 109B ITA 1967) – jika pertikaian itu memerlukan penelitian terhadap kontrak dan fakta transaksi, tempat yang sesuai untuk menyelesaikannya ialah Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan (SCIT), bukannya terus membawa kes ke Mahkamah Tinggi.

Anda juga boleh merujuk:

Artikel ini bertujuan memberi penerangan umum mengenai konsep Withholding Tax (WHT). Contoh yang diberikan adalah untuk tujuan ilustrasi bagi memudahkan pemahaman pembaca. Sama ada sesuatu bayaran kepada bukan pemastautin tertakluk kepada WHT bergantung kepada fakta transaksi, jenis bayaran, peruntukan Akta Cukai Pendapatan 1967 serta, jika berkaitan, Perjanjian Pengelakan Pencukaian Dua Kali (DTA). Pembaca disarankan mendapatkan nasihat daripada penasihat cukai berlesen atau merujuk LHDN bagi menentukan layanan cukai yang tepat mengikut keadaan masing-masing.