Dividen KWSP 2025 Gagal Cecah 6.3%, Tapi 6.15% Adalah Satu Kemenangan

Pengumuman dividen KWSP 2025 sebanyak 6.15% bagi Simpanan Konvensional dan Shariah telah mencetuskan pelbagai reaksi. Walaupun angkanya sedikit rendah berbanding 6.30% tahun lalu, namun jika diteliti, angka ini sebenarnya satu pencapaian yang sangat baik di tengah-tengah badai ekonomi global.

Jom kita bedah kenapa dividen kali ini turun sedikit dan apa faktor di sebaliknya.

1. Tragedi ‘Gray Swan’ Dan Penangan Trump

Faktor pertama adalah prestasi pasaran saham domestik.

Pada separuh pertama 2025 (1H 2025), Bursa Malaysia diuji hebat. Indeks KLCI jatuh hampir 15% gara-gara pengumuman tarif oleh Donald Trump pada 2 April 2025, suatu peristiwa Gray Swan yang mengejutkan pasaran. Walaupun Bursa bangkit pada separuh kedua, kenaikan tahunan hanyalah sekitar 2.1%. Kita bernasib baik kerana pasaran Bon/Sukuk kita cemerlang, kalau tidak mungkin angkanya akan menjadi lebih rendah.

2. Dilema Ringgit Mengukuh

Ini yang ramai terlepas pandang. Kita seronok Ringgit mengukuh, tapi bagi pelabur global seperti KWSP, ini adalah cabaran besar.

Apabila Ringgit menguat berbanding USD, nilai keuntungan dari luar negara akan “mengecil” apabila ditukarkan semula kepada Ringgit. Sebagai contoh bayangkan KWSP untung 9.8% dalam mata wang USD hasil jualan saham NVIDIA, tetapi disebabkan Ringgit mengukuh daripada RM4.47 kepada RM4.05, keuntungan atas kertas itu boleh bertukar menjadi kerugian kecil -0.45% selepas pertukaran mata wang.

Inilah “kos” yang perlu dibayar apabila mata wang negara kita mengukuh.

3. Pelaburan Global: Enjin Utama KWSP

Walaupun pendedahan pasaran domestik masih tinggi (61.7%), enjin utama yang menarik naik dividen kita adalah Pasaran Global.

Sejak 2014, KWSP secara konsisten meningkatkan pegangan global mereka daripada 23% sehingga mencecah sekitar 38%. Keputusannya? Pelaburan global menjana RM39.9 bilion, lebih tinggi daripada pendapatan domestik (RM39.3 bilion) walaupun saiz aset global lebih kecil. Ini membuktikan strategi pengurusan KWSP untuk “keluar dari zon selesa” domestik adalah langkah yang sangat tepat.

Apa Cerita Tahun Depan?

Sebelum itu, mungkin ada yang tertanya-tanya kalau pasaran domestik “lemau” awal tahun lepas dan rugi matawang pula mencecah berbilion ringgit, macam mana KWSP masih mampu umumkan angka 6.15%? Takkan petik dari langit?

Di sinilah kita kena puji pengurusan risiko KWSP. Berdasarkan Laporan Tahunan 2024, KWSP mempunyai “Cumulative Surplus” (lebihan terkumpul) yang sangat tebal berjumlah sekitar RM17.80 bilion.

Besar kemungkinan, KWSP telah menggunakan sebahagian daripada simpanan lebihan ini untuk “menampung” kekurangan pendapatan akibat pengukuhan Ringgit dan kejatuhan pasaran saham tempatan pada separuh tahun pertama 2025.

Ibarat kita ada tabung kecemasan; bila gaji bulan tu kurang sebab Ringgit mahal, kita ambil sikit duit dalam tabung untuk pastikan “nafkah” (dividen) kepada ahli tetap terjaga. Tanpa simpanan lebihan ni, tak mustahil dividen kita boleh jatuh lebih rendah.

Berita baiknya: Dengan Ringgit yang lebih kuat sekarang, kos untuk KWSP memborong aset-aset global yang berkualiti akan menjadi lebih murah. Jika momentum ekonomi Suku Pertama 2026 ini berterusan, tidak mustahil kita bakal tersenyum lebih lebar melihat pengumuman dividen tahun hadapan.

Sudah Tiba Masanya Anda Pula ‘Urus’ Dividen Sendiri?

Walaupun KWSP sudah melakukan tugas yang hebat, anda sebenarnya mempunyai pilihan untuk tidak hanya menjadi “pemerhati” dari tepi padang.

Kenapa perlu tunggu setahun sekali untuk merasa pulangan 6%, jika anda boleh belajar untuk melabur sendiri dalam saham-saham tempatan dan global yang berkualiti?

  • Bursa Malaysia: Masih banyak “permata tersembunyi” (undervalued stocks) yang menawarkan dividen tinggi dan potensi kenaikan harga (capital gain) yang menarik.
  • Pasaran Global (Wall Street): Jangan tengok saja syarikat macam Apple, Nvidia dan AMD ni buat untung berbilion. Kita pun boleh beli saham mereka terus dari Wall Street. Tukar status daripada pembeli barang kepada pemegang saham.

Pelaburan saham (tempatan mahupun global) mempunyai risiko tersendiri dan prestasi masa lalu bukan jaminan pulangan di masa hadapan. Sila dapatkan nasihat daripada perunding kewangan bertauliah sebelum membuat sebarang keputusan pelaburan. Pihak penulis tidak akan bertanggungjawab atas sebarang kerugian yang dialami.

BUKU INI WAJAR DIMILIKI OLEH MEREKA YANG BERANI BERIMPIAN !

Ramai yang nak gandakan duit simpanan dalam saham tapi fikir berpuluh kali. Jadi buku ini adalah step pertama. Bila baca buku ini, boleh 99% stay ahead dari orang lain! Bonusnya dapat jimat banyak masa.

Kami juga faham yang 2 sebab utama kenapa anak muda masih belum mula melabur saham adalah sebab TAKUT dan BELUM CUKUP DUIT. Yelah, kita melabur sebab nak tenang, bukan nak risau setiap masa.

Sambil kami terlibat dalam pasaran saham, sambil pandaikan orang lain tentang saham.

Terima kasih yang tidak terhingga kepada anda semua yang tak putus-putus menyokong kami dari awal sehingga ke hari ini.

Berita Baik : Kami sedang buat jualan penghabisan stok di Shopee!!

Previous ArticleNext Article
Individu berlesen/berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti.

Portal Semak Sebelum Labur SC membolehkan anda menyemak sama ada seseorang individu atau entiti dibenarkan oleh SC untuk menawarkan, mempromosi atau menjual sebarang produk dan perkhidmatan pasaran modal.

KWSP Suami Meninggal: Boleh Isteri Tuntut Sebagai Harta Sepencarian?

Selama ini, apabila seorang suami meninggal dunia, ramai mungkin menganggap wang KWSP yang ditinggalkan akan terus menjadi harta pusaka dan dibahagikan kepada waris mengikut faraid.

Namun, perkembangan hukum dan keputusan Mahkamah Syariah menunjukkan perkara ini sebenarnya lebih kompleks.

Pada September 2025, Muzakarah Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-128 memutuskan bahawa tuntutan harta sepencarian terhadap wang KWSP oleh ahli beragama Islam adalah diharuskan, tertakluk kepada pertimbangan dan keputusan Mahkamah Syariah.

Keputusan ini membawa satu implikasi penting kepada pasangan yang berkahwin.

Wang KWSP tidak semestinya keseluruhannya menjadi harta pusaka untuk difaraidkan.

Sekiranya Mahkamah Syariah memutuskan sebahagian wang tersebut merupakan hak harta sepencarian pasangan, bahagian itu akan diberikan kepada pasangan terlebih dahulu. Bahagian yang diperintahkan sebagai harta sepencarian tersebut pula tidak dikira sebagai harta pusaka pencarum dan tidak tertakluk kepada pembahagian faraid.

Tetapi sebenarnya, isu ini bukan bermula pada 2025

Menariknya, beberapa negeri sudah mempunyai perkembangan berkaitan isu ini sebelum keputusan Muzakarah Kebangsaan tersebut.

Kelantan: kes KWSP sebagai harta sepencarian sejak 2000-an

Antara kes yang sering dirujuk ialah Norhayati binti Yusoff lwn Ahmad Shah bin Ahmad Tabrani, yang diputuskan di Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu, Kelantan.

Dalam kes tersebut, wang KWSP suami menjadi antara aset yang dituntut sebagai harta sepencarian.

Mahkamah mengiktiraf konsep sumbangan tidak langsung isteri. Walaupun isteri mungkin tidak membuat caruman KWSP secara langsung, sumbangan kepada rumah tangga boleh menjadi faktor dalam menentukan hak harta sepencarian.

Ini penting kerana ia menunjukkan bahawa persoalan harta sepencarian bukan semata-mata tentang siapa yang memasukkan duit ke dalam akaun.

Sumbangan pasangan kepada rumah tangga juga boleh mempunyai nilai dari sudut undang-undang Syariah.

Selangor pula mempunyai pendirian yang jelas

Dalam panduan Jabatan Mufti Selangor pada 2020 berkaitan wang KWSP selepas kematian suami, dinyatakan bahawa isteri boleh membuat tuntutan harta sepencarian sepanjang tempoh perkahwinan dengan arwah suami sebelum lebihan harta tersebut dibahagikan mengikut faraid.

Kemudian pada 2023, Selangor mempunyai fatwa khusus berkaitan harta sepencarian selepas kematian salah satu pihak dalam perkahwinan. Rujuk Fatwa Tentang Harta Sepencarian Selepas Kematian Salah Satu Pihak Dalam Perkahwinan Di Negeri Selangor.

Ini menunjukkan konsep tuntutan harta sepencarian selepas kematian bukan sesuatu yang hanya muncul selepas keputusan MKI pada 2025.

Johor: daripada pendirian lama kepada pendekatan baharu

Pendirian terdahulu di Johor menyatakan wang KWSP pencarum yang meninggal dunia merupakan harta pusaka dan tidak boleh dianggap sebagai harta sepencarian. Fatwa Johor yang lebih lama, dikeluarkan pada 2013, menyatakan:

“Apabila pencarum KWSP meninggal, wang KWSP ialah harta pusaka dan perlu difaraidkan; ia tidak boleh dijadikan harta sepencarian.

Namun, selepas keputusan MKI 2025, Johor mengambil pendekatan baharu yang membenarkan tuntutan harta sepencarian terhadap wang KWSP bagi ahli beragama Islam yang layak, tertakluk kepada keputusan Mahkamah Syariah. Rujuk Keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor.

Perubahan ini menunjukkan bagaimana pendirian berkaitan KWSP dan harta sepencarian boleh berkembang mengikut keputusan hukum dan kerangka undang-undang semasa.

NegeriKedudukan yang ditemuiTahun / status
KelantanAda kes Mahkamah Tinggi Syariah yang membenarkan tuntutan terhadap KWSP sebagai harta sepencarian; turut ada fatwa berkaitan tuntutan harta sepencarian selepas kematianKes 2006; Fatwa Negeri 2002
SelangorSecara rasmi mengiktiraf bahawa selepas kematian salah satu pihak, pasangan boleh menuntut harta sepencarian. Soal jawab Mufti Selangor juga secara jelas menyebut isteri boleh menuntut harta sepencarian terhadap KWSP arwah sebelum baki difaraidkanFatwa 2023; panduan 2020
JohorDahulu berpendirian sebaliknya: KWSP ialah harta pusaka dan tidak boleh dijadikan harta sepencarian. Tetapi pada 2026, Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor mengeluarkan keputusan baharu yang membenarkan tuntutan KWSP sebagai harta sepencarian, selaras dengan MKI 20252013 → berubah 2026
SarawakPernah memutuskan wang caruman KWSP tidak boleh dianggap harta sepencarian, sebaliknya harta pusaka yang difaraidkanKeputusan terdahulu

Jadi, apa maksudnya kepada pasangan?

Kita ambil contoh mudah.

Katakan seorang suami meninggal dunia dan meninggalkan RM500,000 dalam KWSP.

Isteri membuat tuntutan harta sepencarian.

Jika Mahkamah Syariah selepas mempertimbangkan tuntutan tersebut memutuskan bahawa RM150,000 adalah hak harta sepencarian isteri, maka RM150,000 itu bukan lagi sebahagian daripada harta pusaka suami untuk difaraidkan.

Baki RM350,000 pula barulah menjadi sebahagian daripada harta pusaka, tertakluk kepada proses pengurusan pusaka dan pembahagian mengikut faraid.

Jadi bukan bermaksud:

“Isteri automatik dapat separuh KWSP.”

Tidak.

Yang betul ialah:

“Isteri yang layak boleh membuat tuntutan, dan jumlah yang menjadi harta sepencarian bergantung kepada keputusan Mahkamah Syariah.”

Kenapa perkara ini penting untuk perancangan pusaka?

Sebab ramai orang melihat KWSP hanya daripada sudut simpanan persaraan.

Tetapi apabila berlaku kematian, ia menjadi sebahagian daripada proses pengurusan harta si mati.

Dalam konteks pasangan Islam, terdapat beberapa perkara yang perlu dibezakan:

Pertama, harta sepencarian.

Ini ialah tuntutan pasangan terhadap harta yang diperoleh sepanjang tempoh perkahwinan, tertakluk kepada undang-undang dan keputusan Mahkamah Syariah.

Kedua, harta pusaka.

Selepas hak-hak yang berkaitan seperti harta sepencarian ditentukan, baki harta si mati boleh menjadi harta pusaka.

Ketiga, faraid.

Baki harta pusaka kemudiannya dibahagikan kepada waris yang berhak mengikut hukum faraid.

Sebab itu seseorang tidak boleh terus melihat angka KWSP dan berkata:

“Ini semua akan difaraidkan.”

Ia bergantung kepada keadaan dan, bagi tuntutan harta sepencarian, keputusan Mahkamah Syariah.

Namun, jangan salah faham

Keputusan MKI 2025 bukan bermaksud setiap isteri automatik mendapat sebahagian daripada KWSP suami.

Ia hanya membuka ruang bahawa tuntutan tersebut diharuskan.

Tuntutan masih perlu dibuat dan dipertimbangkan oleh Mahkamah Syariah.

Jumlahnya juga tidak semestinya 50:50.

Mahkamah boleh melihat kepada pelbagai faktor dan bukti berkaitan sumbangan pasangan serta keadaan harta yang dituntut.

Satu lagi perkara penting ialah status keputusan hukum tersebut di setiap negeri. Keputusan Muzakarah MKI perlu dilihat bersama peruntukan dan proses undang-undang Syariah negeri masing-masing.

Daripada “siapa dapat KWSP?” kepada “apa hak setiap pihak?”

Ini sebenarnya perubahan cara kita melihat perancangan pusaka.

Bila seorang suami meninggal dunia, persoalannya bukan semata-mata:

“Berapa banyak isteri dapat?”

Tetapi:

“Apakah hak isteri sebagai pasangan? Apakah yang menjadi harta sepencarian? Apakah yang benar-benar menjadi harta pusaka? Dan siapa yang berhak menerima baki tersebut melalui faraid?”

Perbezaan ini nampak kecil, tetapi dari sudut nilai harta, ia boleh menjadi sangat besar.

Lebih-lebih lagi bagi keluarga yang mempunyai simpanan KWSP jutaan ringgit.

Maka, bagi pasangan yang beragama Islam, memahami kedudukan harta sepencarian dan faraid semasa masih hidup jauh lebih baik daripada cuba memahami semuanya selepas berlaku kematian.

KWSP bukan sekadar soal berapa banyak kita berjaya kumpul. Kita juga perlu tahu bagaimana wang itu akan diurus apabila kita sudah tiada.

Penafian: Artikel ini bertujuan memberikan maklumat umum dan bukan nasihat undang-undang, fatwa atau nasihat kewangan. Kedudukan harta sepencarian, tuntutan wang KWSP dan proses pembahagian harta pusaka boleh berbeza mengikut negeri, fakta kes dan keputusan Mahkamah Syariah. Pembaca disarankan mendapatkan nasihat daripada peguam syarie, pihak berkuasa agama negeri atau pihak yang berkelayakan sebelum membuat sebarang tuntutan atau keputusan berkaitan harta pusaka.