Dari Gaji Cukup-Cukup Makan, Kini Ada Duit Lebih. Apa Yang Kita Perlu Buat?

Dahulu, hidup berpaksikan survival; beli apa yang termampu, makan apa yang ada. Bila kerjaya semakin kukuh dan pendapatan bertambah, ia bukan tiket untuk berbelanja tanpa hala tuju, tetapi peluang untuk meningkatkan kualiti hidup secara strategik.

Bila gaji naik, biasanya duit itu akan entah hilang ke mana. Memang fitrah manusia mahu meraikan kejayaan, tetapi jangan sampai membazir.

Bila gaji naik, ramai yang terperangkap dengan lifestyle creep. Beli kereta baru, borong baju dan kerap makan luar sampai duit lebih itu ‘ghaib’ begitu saja.

Jangan mengulang kesilapan yang sama. Maka, setiap kali pendapatan meningkat, kita fokus pada perubahan-perubahan kecil yang akhirnya membawa impak besar dalam transformasi hidup kita.

1. Pilih Kualiti, Bukan Kuantiti

Dulu baju cepat lusuh sebab asal murah je beli. Sekarang boleh ubah strategi; beli sikit tapi quality over quantity. Nampak lebih kemas dan jimat jangka panjang. Gajet pun sama, tak perlu nak kejar model terbaru setiap tahun, yang penting masih berfungsi dengan baik

2. Jaga Badan Dengan Lebih Serius

Bila ada bajet lebih, saya pilih untuk jaga badan. Makan makanan yang lebih sihat, pergi gym dan buat medical check-up. Nampak macam benda biasa, tapi bila badan sihat, rasa bertenaga lain macam. Tak ternilai harganya.

Bila badan sihat, kerja juga lebih produktif.

3. Beli Masa

Jangan keberatan membayar untuk servis pembersihan atau penghantaran barang dapur jika ia memberikan kita ruang untuk bernafas. Masa itu terlalu berharga dan lebih baik digunakan untuk membaca, memulihkan tenaga dan menghargai detik bersama orang tersayang.

4. Upgrade Tidur

Kita pernah sakit belakang sebab tilam lama. Jadi kita invest dalam tilam dan bantal yang betul-betul selesa. Hasilnya tidur lebih nyenyak, bangun pagi badan segar.

Tidur berkualiti maka fokus dan emosi stabil.

5. Labur Pada Pengalaman

Hentikan pembaziran pada barangan yang menyusut nilai. Gunakan lebihan tunai untuk melancong dan menuntut ilmu di seminar. Pulangannya jauh lebih besar: perspektif baharu, memori yang kekal dan rangkaian strategik yang mampu menjadi pemangkin kepada kejayaan bisnes masa hadapan.

6. Naikkan Level Kewangan

Langkah seterusnya adalah mula diversify pelaburan. Ada bahagian untuk simpanan kecemasan, ada yang masuk saham, dan ada juga dalam unit trust. Tak lupa juga, cari penasihat kewangan untuk minta pandangan. Kadang-kadang kita kena rendahkan ego dan tanya orang yang lebih pakar supaya duit kita berkembang dengan cara yang betul.

Income naik, tapi kalau ilmu kewangan sama, kita akan stuck.

7. Tukar Circle

Kualiti hidup kita bergantung kepada dengan siapa kita berkawan. Boleh mula beralih daripada kawan-kawan yang sekadar menghabiskan duit kepada komuniti yang membina aset. Aura dan semangat mereka yang mementingkan kemajuan membuatkan kita akan lebih berdisiplin untuk mengejar impian yang lebih tinggi.

Circle kita tentukan hala hidup kita.

8. Asah Skill Baharu

Pelaburan terbaik adalah pelaburan ke atas diri sendiri. Mula aktif mengambil kursus dan memperkemas skil leadership serta komunikasi. Ini bukan sekadar untuk kerjaya sekarang, tetapi sebagai persediaan jika landskap ekonomi berubah.

Ilmu dan skill tak pernah rugi.

9. Jaga Mental Dan Emosi

Kesihatan mental adalah aset yang sering dilupakan. Dengan meluangkan masa untuk terapi dan aktiviti luar seperti hiking, bukan sahaja mendapat ketenangan, malah minda akan menjadi lebih tajam untuk menguruskan wang. Keputusan yang tenang sentiasa lebih baik daripada keputusan yang terburu-buru.

Mental sihat maka hidup lebih seimbang.

10. Upgrade Rumah

Daripada beli barang merapu, pilih untuk upgrade rumah sikit-sikit. Tukar lighting bagi lebih ‘ngam’, beli kerusi office yang jaga tulang belakang dan kemaskan ruang kerja. Bila tempat kita cantik dan selesa, nak buat kerja pun rasa lebih semangat dan produktif.

Rumah yang tenang buat kita lebih fokus dan gembira.

Kesimpulannya bila income naik, sebenarnya itu peluang untuk naikkan standard hidup dari semua sudut kesihatan, kewangan, masa, circle, mentaliti.

Perubahan kecil yang aku buat ni beri impak besar. Bezanya, dulu kita cuma “nampak macam cukup”, sekarang kita betul-betul rasa hidup lebih berkualiti.

Previous ArticleNext Article

Tiada Lagi Caj RM1 Pengeluaran Wang Di Semua Mesin ATM Mulai 1 Julai

KUALA LUMPUR: Pelanggan semua bank di Malaysia boleh mengeluarkan wang tunai di mana-mana mesin teler automatik (ATM) atau mesin kitar semula pintar (SRM) tanpa dikenakan caj RM1 mulai 1 Julai 2026.

Pengumuman itu dibuat Persatuan-Persatuan Bank di Malaysia (ABM), Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) dan Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia (ADFIM) dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan hari ini.

Menurut ketiga-tiga pihak itu, inisiatif berkenaan membolehkan pemegang kad debit di Malaysia mengakses lebih 14,000 ATM dan SRM di seluruh negara, tanpa mengira bank pengeluar kad mereka, dengan pengeluaran tunai percuma tanpa had.

“Pengecualian caj itu terpakai bagi ATM dan SRM yang dikendalikan oleh bank-bank di Malaysia,” menurut kenyataan bersama itu.

ABM, AIBIM dan ADFIM berkata, inisiatif itu yang dilaksanakan dengan kerjasama Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) mencerminkan komitmen berterusan industri perbankan untuk menjadikan perkhidmatan kewangan lebih mudah diakses, insklusif dan berpatutan kepada pelanggan.

Ia berkata, industri perbankan mengiktiraf bahawa wang tunai masih kaedah pembayaran yang penting dan asas bagi ramai rakyat Malaysia dalam mengurus kehidupan harian mereka.

Justeru, katanya, pemansuhan caj pengeluaran tunai ATM antara bank mencerminkan komitmen industri dalam memastikan akses yang boleh dipercayai, mudah dan berpatutan, di samping membantu meringankan beban kewangan harian rakyat.

Inisiatif itu menegaskan usaha berterusan sektor perbankan untuk menyokong semua lapisan masyarakat dengan memastikan pelanggan mempunyai akses kepada perkhidmatan kewangan yang praktikal, insklusif dan berfokuskan pelanggan.

Walaupun wang tunai masih merupakan pilihan penting bagi banyak komuniti, industri turut mengalu-alukan peningkatan penggunaan pembayaran digital dan tanpa tunai di seluruh negara.

ABM, AIBIM dan ADFIM berkata, seiring dengan kemajuan Malaysia ke arah ekonomi yang lebih digital, bank akan terus memperkukuh dan mempromosikan penyelesaian pembayaran tanpa tunai yang selamat, lancar dan mudah sebagai alternatif yang sesuai untuk transaksi harian.

Katanya, industri kekal komited untuk memperkasakan pelanggan dengan kebebasan memilih kaedah pembayaran yang paling sesuai dengan keperluan mereka, di samping memajukan keterangkuman kewangan dan meningkatkan pengalaman perbankan secara keseluruhan untuk semua rakyat Malaysia.

— Berita Harian