Pasaran Benar-Benar Perlukan Isyarat Boleh Percaya Daripada Trump – Ahli Ekonomi

KUALA LUMPUR: Pasaran global termasuk pasaran saham dan mata wang di Malaysia amat memerlukan segera isyarat jelas dan konsisten daripada Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump bagi mencapai keredaan berterusan dalam konflik Asia Barat serta memulihkan kestabilan, kata ahli ekonomi.

Mereka berpandangan masih kurang jelas sama ada perang antara AS, Israel dan Iran akan berakhir dalam masa terdekat atau sebaliknya, walaupun pasaran menunjukkan beberapa tanda pemulihan selepas lebih tiga minggu mengharungi ketidaktentuan.

Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan, berkata pengumuman Donald Trump pada Isnin mengenai penangguhan selama lima hari bagi semua serangan terhadap loji jana kuasa dan tenaga Iran perlu lebih dilihat sebagai langkah sementara untuk mengawal kerosakan, bukannya perubahan sebenar risiko geopolitik.

“Penangguhan itu lebih sesuai ditafsirkan sebagai penstabilan sementara berbanding titik perubahan struktur,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Provos dan Dekan Institut Pengajian Siswazah, Universiti Sains dan Teknologi Malaysia, Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai, berkata penangguhan serangan AS selama lima hari ke atas Iran memberi kelegaan serta-merta kepada pasaran minyak seterusnya mendorong harga minyak global turun sejurus pengumuman dibuat.

Menurut satu laporan penyelidikan semalam, harga minyak dijangka mencecah purata sekitar AS$75 setong tahun ini, berbanding AS$65 hingga AS$70 setong pada 2027, berdasarkan konflik yang belaku dalam tempoh singkat serta pemulihan bekalan minyak secara beransur-ansur.

“Penangguhan ini mengurangkan ketidaktentuan jangka masa pendek kerana pasaran sebelum ini telah mengambil kira risiko penutupan Selat Hormuz sepenuhnya, yang boleh memberi kesan buruk kepada bekalan dan laluan perkapalan,” kata Barjoyai.

Mohd Sedek berkata, walaupun risiko geopolitik asas masih belum diselesaikan namun naratif yang bercanggah antara kedua-dua pihak terus menjejaskan keyakinan pasaran.

“Akibatnya, pelabur dijangka terus berhati-hati, dengan harga tenaga kekal sensitif kepada berita dan mudah berubah secara tiba-tiba,” katanya.

Beliau berkata, selagi tiada hala tuju dasar yang jelas dan terselaras, ketidaktentuan akan berterusan manakala turun naik pasaran akan terus dialami pasaran global.

Walaupun Trump mengisytiharkan untuk menghentikan sementara tindakan, Iran telah menafikan dakwaan beliau bahawa rundingan sedang dijalankan dengan Tehran.

Mohd Sedek berpandangan pengumuman Trump untuk meredakan sementara konflik telah memberi kesan yang ketara namun sementara terhadap turun naik pasaran global, terutama harga tenaga.

Hal itu terbukti berlaku dalam pasaran niaga hadapan, dengan minyak mentah Brent susut mendadak daripada AS$114 setong kepada di bawah AS$100 pagi ini, sebelum meningkat semula melepasi paras itu.

Mohd Sedek berkata, tekanan kini berada pada AS untuk memastikan ketegangan reda sementara itu direalisasikan memandangkan negara-negara sekutunya di Asia terus menghadapi tekanan ekonomi akibat kenaikan harga minyak mentah.

“Ini mungkin menjelaskan alasan Trump mengeluarkan kenyataan yang lebih berdamai, bertujuan untuk mengembalikan harga minyak di bawah AS$100 setong.

“Walaupun pengumuman itu pada awalnya mendorong penurunan harga minyak yang ketara, kesannya hanya bertahan kurang daripada sehari dan tidak kekal lama,” katanya.

Pada masa ini, harga minyak dijangka kekal pada sekitar AS$100 setong melainkan terdapat penyelarasan yang jelas dalam mesej dan hala tuju dasar antara AS dan Iran.

Barjoyai berkata, ketegangan yang reda sementara itu mengurangkan risiko konflik dengan serta-merta namun meningkatkan ketidaktentuan disebabkan oleh konfrontasi strategik yang belum dapat diselesaikan.

Beliau menyifatkan keadaan ini bukan sebagai titik perubahan sebaliknya hanya jeda sementara yang tidak stabil dan bersyarat.

Mohd Sedek berkata, kesan inflasi terhadap Malaysia akan berlaku secara beransur-ansur susulan kemungkinan kenaikan harga minyak, sekiranya ketegangan kembali berlaku selepas tempoh penangguhan selama lima hari.

Beliau berkata, kos tenaga yang lebih tinggi adalah yang pertama diserap di peringkat pengeluar.

Oleh itu, inflasi keseluruhan kekal terkawal pada mulanya namun, jika harga yang tinggi berterusan sehingga bulan kedua atau ketiga, tekanan kos akan mula dilepaskan kepada pengguna, sehingga menyebabkan kenaikan inflasi yang sederhana, terutama dalam sektor sensitif terhadap tenaga, katanya.

“Sebagai pengimport bersih petroleum dan dengan pendedahan yang ketara kepada laluan bekalan global, kenaikan harga diterjemahkan secara langsung kepada kos import yang lebih tinggi.

“Apabila kerajaan menyerap kejutan harga bagi melindungi pengguna, kos subsidi boleh meningkat ketara dalam tempoh yang singkat, walaupun bantuan bersasar diperluaskan kepada sektor kritikal seperti logistik dan pertanian, termasuk sokongan baja,” katanya.

Barjoyai berkata, rantau ASEAN menghadapi risiko gangguan rantaian bekalan dan perdagangan yang sederhana berpunca daripada ketidakstabilan di Asia Barat, terutama disebabkan pergantungan kepada minyak mentah yang diimport.

Walaupun ASEAN tidak terlalu terdedah seperti ekonomi utama Asia Timur (China, Jepun dan Korea) namun, harga minyak yang lebih tinggi dan kemungkinan gangguan terhadap laluan perkapalan utama masih boleh meningkatkan kos insurans serta pengangkutan, dengan kesan sampingan ke atas pengeluaran dan perdagangan, katanya.

Beliau berkata, kesan itu dijangka kekal boleh diuruskan dalam jangka masa terdekat tetapi boleh menjadi lebih ketara jika konflik berterusan.

“Rantaian bekalan global (baja, petrokimia, elektronik) adalah sensitif kepada kejutan harga minyak,” katanya.

-BERNAMA

Previous ArticleNext Article

GEAR-uP: KWAP labur RM51 juta dalam Bioscience Nutraceutical

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) melabur RM51 juta dalam Bioscience Nutraceutical Holdings Sdn Bhd, pembekal sehenti dan pemilik jenama nutraseutikal di Malaysia, bagi membangunkan ekosistem pasaran persendirian negara menerusi Dana Pemacu.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam Laporan Kemajuan GEAR-uP yang dikeluarkan hari ini berkata, pelaburan itu dilaksanakan menerusi pengurus dana tempatan Mekar Capital dan pengurus dana global Navis Capital.

Menurut laporan itu, pelaburan berkenaan membuktikan modal institusi mampu memajukan sektor kesihatan bernilai tinggi menerusi inovasi nutraseutikal, pengkomersialan produk serta pembangunan jenama premium.

KWAP turut menyokong pertumbuhan ekonomi menerusi pelaburan bersama sebanyak RM210 juta dalam Fasa 1 bagi pembangunan 9,000 katil.

“Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada pembangunan yang lebih luas untuk menyediakan 28,800 katil menerusi empat projek, dengan jumlah nilai pembangunan kasar kira-kira RM600 juta,” menurut laporan itu.

MOF berkata, pelaburan berkenaan bertujuan mewujudkan persekitaran kediaman lebih baik kepada golongan yang menyumbang kepada kemajuan ekonomi negara.

Laporan itu turut memaklumkan pencapaian setakat Jun 2026 bagi inisiatif Dana Impak Khazanah Nasional Bhd.

Sebanyak 32 syarikat peringkat pertengahan disokong di bawah Mid-Tier Companies Growth Innovation Programme, manakala 21 lagi menerima sokongan menerusi Program ELEVATE 2.0.

Sementara itu, MOF berkata syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) memainkan peranan penting sebagai pelabur asas dan pelabur utama strategik dalam penyenaraian berkualiti di Bursa Malaysia.

Langkah itu melengkapkan konsep larian berganti apabila modal yang dipulangkan kepada pelabur modal teroka dan ekuiti swasta boleh dilaburkan semula dalam generasi baharu firma peringkat awal.

Pendekatan berkenaan membolehkan lebih banyak syarikat berkembang secara berperingkat sehingga mencapai tahap sesuai untuk disenaraikan.

Menurut laporan itu, aliran penyenaraian yang berterusan penting bagi mencapai sasaran Pelan Induk Pasaran Modal 2026-2030 untuk meningkatkan permodalan pasaran kepada antara RM5.8 trilion hingga RM6.3 trilion menjelang 2030.

Sokongan kukuh pelabur institusi turut menjadi antara faktor penting bagi memastikan aliran berkenaan kekal mampan.

MOF berkata, GLIC mengurus secara aktif portfolio merangkumi 37 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dengan sasaran pulangan tahunan 7.5 peratus bagi tempoh 2024 hingga 2028.

Portfolio berkenaan berpotensi menjana nilai sehingga RM100 bilion.

Prestasi pada 2025 melepasi sasaran apabila mencatat pulangan pemegang saham sebanyak 8.0 peratus.

“Memandangkan GLC mewakili kira-kira 27 peratus daripada permodalan Pasaran Utama Bursa Malaysia, keuntungan ini disalurkan semula kepada ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, KWAP, Permodalan Nasional Bhd dan Tabung Haji untuk meningkatkan simpanan persaraan rakyat Malaysia,” menurut MOF.

Menurut laporan itu, GLIC memacu penjanaan nilai portfolio menerusi tiga pendekatan utama, iaitu menyediakan laluan keluar bagi kitaran modal, memperkukuh kredibiliti untuk pasaran lebih luas serta membina asas pemilik jangka panjang yang stabil.