Kadar Pengangguran Kekal 3.0 Peratus Pada Mei 2026 DOSM

PUTRAJAYA, 10 Julai (Bernama) — Kadar pengangguran Malaysia kekal pada 3.0 peratus pada Mei, dengan merekodkan 513,400 jumlah penganggur, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

DOSM dalam kenyataan hari ini memaklumkan pasaran buruh negara menunjukkan peningkatan sederhana seiring dengan pertumbuhan ekonomi stabil, mencatatkan pertumbuhan guna tenaga konsisten serta kadar pengangguran kekal rendah, walaupun berdepan krisis gangguan rantaian bekalan global.

“Tenaga buruh terus menunjukkan momentum peningkatan pada bulan tersebut, naik 0.1 peratus bulan ke bulan kepada 17.34 juta orang berbanding 17.33 juta orang bulan lepas.

“Sehubungan itu, kadar penyertaan tenaga buruh kekal pada 70.9 peratus, sama seperti bulan sebelumnya,” menurut kenyataan
itu.

Pada masa sama, DOSM memaklumkan bilangan penduduk bekerja terus meningkat pada Mei 2026 dengan pertambahan marginal 0.1 peratus, merekodkan 16.82 juta orang, manakala bilangan penganggur pula mencatat peningkatan 0.3 peratus mencecah 513,400 orang berbanding 511,800 orang pada April 2026.

“Dari perspektif sektor ekonomi, sektor perkhidmatan terus menjadi penyumbang utama kepada jumlah guna tenaga pada bulan tersebut, dengan aktiviti perdagangan borong dan runcit; aktiviti penginapan dan perkhidmatan makanan dan minuman; serta maklumat dan komunikasi meliputi sumbangan terbesar dalam guna tenaga.

“Sektor utama lain, termasuk pembuatan, pembinaan, pertanian, serta perlombongan dan pengkuarian, turut mencatatkan peningkatan dalam bilangan penduduk bekerja pada Mei 2026,” katanya.

Menurut DOSM, 79.5 peratus daripada jumlah penganggur merupakan penganggur aktif dengan kumpulan ini meningkat 0.2 peratus kepada 408,000 orang berbanding 407,100 orang pada April 2026.

DOSM juga memaklumkan pasaran buruh Malaysia dijangka terus kekal berdaya tahan dalam tempoh beberapa bulan akan datang, disokong oleh keadaan ekonomi domestik yang menggalakkan, aktiviti pelaburan berterusan serta kemajuan transformasi struktur ekonomi negara.

“Walaupun ketidaktentuan luaran berpotensi mempengaruhi aktiviti pengambilan pekerja dalam industri tertentu, kedudukan pasaran buruh secara keseluruhannya dijangka terus stabil.

“Usaha berterusan untuk meningkatkan produktiviti buruh, memperkukuh pengadaptasian tenaga kerja serta mempertingkatkan padanan antara penawaran buruh dengan permintaan industri akan terus menjadi faktor penting dalam mengekalkan peluang pekerjaan berkualiti dan menyokong pertumbuhan ekonomi jangka panjang,” menurut kenyataan itu.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Bank Negara Dijangka Kekalkan OPR Hingga Ke Akhir Tahun – Penganalisis

KUALA LUMPUR: Kadar Dasar Semalaman (OPR) dijangka dikekalkan pada paras 2.75 peratus sehingga penghujung tahun ini berikutan prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia yang kekal kukuh, inflasi yang masih terkawal serta pendirian berhati-hati Bank Negara Malaysia (BNM) dalam menilai perkembangan ekonomi global, demikian menurut penganalisis.

Penganalisis berpandangan, keputusan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) mengekalkan OPR pada mesyuarat keempat tahun ini mencerminkan keyakinan bank pusat terhadap daya tahan ekonomi domestik, di samping memberi ruang untuk memantau risiko luaran termasuk ketegangan geopolitik, dasar monetari Amerika Syarikat (AS) dan ketidaktentuan perdagangan global.

Ketua Penganalisis CIMB Treasury and Markets Research, Michelle Chia, berkata kenyataan dasar monetari BNM pada Julai menunjukkan nada yang lebih positif terhadap prospek pertumbuhan ekonomi negara berbanding mesyuarat terdahulu pada Mei.

Beliau berkata, penilaian lebih konstruktif terhadap sektor luaran memberi isyarat bahawa pertumbuhan ekonomi Malaysia berada pada landasan kukuh untuk mencapai unjuran rasmi antara empat hingga lima peratus bagi tahun ini.

Katanya, keputusan mengekalkan OPR pada 2.75 peratus dibuat ketika inflasi bagi lima bulan pertama 2026 terus terkawal, manakala permintaan domestik serta prestasi eksport yang kukuh terus menyokong momentum pertumbuhan ekonomi.

“BNM dilihat lebih yakin terhadap prospek ekonomi negara selepas mengambil kira prestasi eksport yang memberangsangkan serta kekuatan permintaan domestik, walaupun ketidaktentuan luaran masih wujud,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

CIMB Treasury and Markets Research turut menyatakan walaupun konflik di Asia Barat masih menjadi risiko kepada rantaian bekalan global, perkembangan rundingan antara AS dan Iran serta penyusutan harga minyak dunia sedikit sebanyak mengurangkan tekanan terhadap prospek inflasi global.

Firma itu juga menjangkakan pendirian dasar monetari BNM akan terus bersifat neutral kerana inflasi kekal sederhana, sekali gus tidak mewujudkan keperluan mendesak untuk menaikkan atau menurunkan kadar faedah dalam tempoh terdekat.

Sementara itu, Penganalisis TA Securities, Farid Burhanuddin menjangkakan BNM akan terus mengekalkan pendekatan ‘tunggu dan lihat’ dengan OPR dikekalkan pada paras 2.75 peratus sepanjang 2026.

Beliau berkata, pendirian dasar monetari semasa masih sesuai bagi menyokong pertumbuhan ekonomi mampan sambil memastikan tekanan inflasi kekal terkawal.

Katanya, ekonomi Malaysia terus disokong oleh perbelanjaan isi rumah yang berdaya tahan, pasaran buruh yang sihat serta prestasi eksport yang lebih kukuh daripada jangkaan, khususnya sektor elektrik dan elektronik (E&E) yang mendapat manfaat daripada kitaran teknologi global.

TA Securities mengekalkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia antara 4.3 hingga 4.7 peratus bagi 2026, sejajar dengan sasaran rasmi kerajaan.

“Walaupun pertumbuhan dijangka sederhana sedikit pada separuh kedua tahun ini berikutan kesan asas yang lebih tinggi serta normalisasi permintaan luaran, keseluruhan prestasi ekonomi dijangka kekal berdaya tahan.

“Inflasi pula terus terkawal dengan purata inflasi keseluruhan dan inflasi teras masing-masing sebanyak 1.7 peratus dan 2.1 peratus bagi lima bulan pertama tahun ini, sekali gus memberi ruang kepada BNM mengekalkan pendirian dasar monetari semasa,” katanya.

Farid berkata, bank pusat dijangka terus bergantung kepada data ekonomi semasa dalam menentukan hala tuju dasar monetari, sambil memantau rapat perkembangan inflasi, pertumbuhan ekonomi dan risiko luaran sebelum mesyuarat MPC seterusnya pada 3 September ini.

— Berita Harian