Pelaburan Jepun Dalam E&E Cecah RM10.5 Bilion, Bakal Wujud 9,009 Peluang Pekerjaan – MITI

KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) — Pelaburan dari Jepun yang diluluskan dalam sektor pembuatan elektrik dan elektronik (E&E) bagi 2021 hingga 2025 berjumlah RM10.5 bilion meliputi 46 projek dan dijangka mewujudkan 9,009 peluang pekerjaan baharu, menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Kementerian itu memaklumkan pelaburan Jepun yang diluluskan dalam sektor infrastruktur digital, khususnya pusat data pula berjumlah RM1.79 bilion menerusi dua projek di bawah insentif Skim Pecutan Ekosistem Digital (DESAC) dan berpotensi menjana 80 peluang pekerjaan baharu.

“Dari segi sumber daya maju ekonomi khususnya menjelang 2027, pelaburan dari Jepun ini akan dapat merangsang pertumbuhan industri bernilai tambah tinggi, meningkatkan produktiviti, serta eksport dan daya saing Malaysia.

“Selain membuka peluang perniagaan baharu kepada vendor tempatan dalam membekalkan bahan mentah, mesin, peralatan dan perkhidmatan berkaitan pembuatan (MRS), ia juga dapat meningkatkan permintaan terhadap perniagaan sokongan seperti peruncitan, logistik dan pelbagai perkhidmatan berkaitan,” tambah MIII.

Kementerian itu memaklumkan demikian dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini bagi menjawab soalan Senator Datuk Dr Mustafa Musa mengenai impak pelaburan langsung asing (FDI) Jepun dalam sektor digital, kecerdasan buatan (AI) dan pembuatan elektronik.

Beliau juga ingin tahu peluang pekerjaan serta pembangunan ekonomi negara dan negeri yang dapat diraih hasil daripada pelaburan berkenaan menjelang 2027.

Menurut MI’II, penglibatan syarikat multinasional Jepun dalam rantaian bekalan tempatan akan membantu memperkukuh keupayaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menerusi pemindahan teknologi, automasi dan penerapan piawaian pengeluaran bertaraf tinggi.

Jelasnya, usaha itu secara langsung menyokong salah satu sasaran dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) bagi mewujudkan 3,000 kilang pintar menjelang 2030.

“Negeri-negeri yang mempunyai hab perindustrian sedia ada seperti Pulau Pinang, Selangor, Johor, Kedah dan Melaka dijangka dapat menerima manfaat yang lebih besar melalui pertumbuhan kluster elektronik, pusat data dan industri Al yang mampu meran cakkan lagi ekonomi setempat,” tambah kementerian itu.

Menurut MI’II, manfaat pelaburan Jepun dalam sektor digital, Al dan pembuatan elektronik dijangka dapat dilihat menerusi peningkatan aktiviti ekonomi serta pembangunan ekosistem industri berteknologi tinggi di negeri yang menjadi lokasi projek menjelang 2027.

Sehubungan itu, kementerian berkenaan menambah kerajaan menerusi MITI dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) akan terus komited menarik pelaburan berteknologi tinggi dan berimpak tinggi ke seluruh negara.

Ini termasuk pelaburan dari Jepun yang terkenal dengan keupayaan teknologi, inovasi, amalan pengurusan berkualiti tinggi serta komitmen terhadap pembangunan industri yang mampan dan bernilai tambah tinggi.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Pos Malaysia Laksana Pelan Transformasi Kurangkan Kerugian

KUALA LUMPUR: Pos Malaysia Bhd (Pos Malaysia) di bawah DRB-HICOM Bhd (DRB-HICOM) akan melaksanakan pelan transformasi bagi mengurangkan kerugiannya, antaranya dengan memberi tumpuan kepada rasionalisasi rangkaian, pengembangan saluran digital dan pengurusan berhemat.

Menurut Kementerian Komunikasi, setakat ini Pos Malaysia telah mencatatkan peningkatan prestasi kewangan apabila merekodkan pengurangan kerugian bersih sebanyak RM19.5 juta bagi suku pertama 2026 berbanding RM41.5 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

“Pengurangan ini merupakan kerugian suku tahunan terendah dalam tempoh empat tahun, disokong oleh peningkatan hasil daripada perkhidmatan sijil digital dan percetakan, prestasi segmen penerbangan yang lebih kukuh serta pengurangan kerugian dalam segmen perkhidmatan pos,” jelasnya dalam jawapan bertulis yang disiarkan dalam laman sesawang Parlimen hari ini.

Kementerian Komunikasi berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Robert Lau Hui Yew mengenai sama ada kerajaan akan memberikan bantuan kewangan kepada Pos Malaysia memandangkan rekod kerugian syarikat tersebut di bawah DRB-HICOM.

Pada masa sama, kementerian berkata kerajaan amat menggalakkan usaha transformasi dan pemodenan operasi yang dilaksanakan oleh Pos Malaysia.

“Sebarang bentuk sokongan kerajaan akan dipertimbangkan berdasarkan dasar semasa, kedudukan kewangan kerajaan, keperluan penyediaan perkhidmatan sejagat dan kerangka kawal selia yang berkuat kuasa,” katanya.

Selain itu, tambahnya, kerajaan menganggap bantuan kewangan secara langsung kepada Pos Malaysia bukan satu langkah utama, sebaliknya akan mewujudkan mekanisme pembiayaan yang lebih mampan bagi menampung kos penyediaan perkhidmatan.

Sehubungan itu, jelasnya, kerajaan sedang meneliti penubuhan Kumpulan Wang Perkhidmatan Pos sebagai mekanisme jangka panjang bagi menyokong penyediaan perkhidmatan pos di kawasan yang kurang berdaya maju secara komersial, tanpa menjejaskan kemampanan industri secara keseluruhan.

–BERNAMA