Agong Sambut Baik Matlamat Jadikan Malaysia Negara Berpendapatan Tinggi

KUALA LUMPUR, 13 Feb (Bernama) — – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyambut baik matlamat untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi melalui usaha pemerkasaan peranan sektor swasta serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana.

“Bagi menyokong usaha tersebut, penyediaan infrastruktur dan akses kepada perkhidmatan digital perlu terus dipertingkatkan selaras dengan Dasar Keusahawanan Nasional tahun 2030,” titah Al-Sultan Abdullah dalam Titah Diraja sempena Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Seri Paduka bertitah kerajaan juga sentiasa prihatin akan nasib rakyat ekoran kesan kenaikan kadar inflasi global, kelemahan mata wang ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat serta fasa pemulihan pasca pandemik COVID-19.

”Dalam hal ini, kerajaan akan terus mengambil langkah untuk meringankan beban kalangan penternak, petani dan pengeluar makanan susulan peningkatan kos pengeluaran yang berterusan agar kelangsungan pengeluaran makanan negara berada pada tahap optimum dan aspek keterjaminan makanan negara kekal pada tahap terbaik,” titah baginda.

Al-Sultan Abdullah turut bertitah mengingatkan agar ekosistem industri juga hendaklah sentiasa dikawal selia dan ditambah baik seiring dengan perkembangan semasa.

Selain itu, baginda bertitah bahawa pelan jalinan digital negara telah dibangunkan untuk mempercepat pembangunan infrastruktur digital negara supaya rakyat dapat menikmati peluang yang bakal diwujudkan oleh teknologi tersebut dan seterusnya menyokong agenda pembangunan ekonomi digital negara.

“Pada 2021, ekonomi digital telah menyumbang sebanyak 23.2 peratus kepada keluaran dalam negara kasar dan e-dagang merupakan sektor yang paling pesat berkembang,” titah Seri Paduka.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

MICCI Tekankan Kepentingan Daya Tahan, KeupayaanMenyesuaikan Diri dan Peluang Baharu Ketika Ketidaktentuan Global Membentuk Semula Landskap Perniagaan

Kuala Lumpur – Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia (MICCI) menekankan kepentingan daya tahan, keupayaan menyesuaikan diri serta kerjasama erat antara sektor awam dan swasta ketika perniagaan berdepan dengan persekitaran operasi global yang semakin kompleks, dipengaruhi oleh ketegangan geopolitik, gangguan rantaian bekalan dan perubahan landskap ekonomi semasa Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) dan Majlis Makan Tengah Hari Tahunan MICCI ke-53 yang berlangsung semalam.

Acara tersebut menampilkan ucapan oleh Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, YB Tuan Sim Tze Tzin, yang turut menyertai sesi dialog bersama Puan Zalina Zainol, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Penggalakan dan Fasilitasi Pelaburan) di MIDA dan Puan Noor Hayati Abu Noh, Pengarah Bahagian Perancangan Strategik, Seksyen Koordinasi dan Pemantauan di MATRADE. Mereka berkongsi perspektif tentang prospek perdagangan dan pelaburan semasa, sentimen perniagaan, dan impaknya daripada konflik di Asia Barat.

Berucap pada majlis tersebut, Presiden MICCI, Christina Tee menyatakan bahawa perniagaan terpaksa mengharungi siri gangguan sepanjang dekad ini, daripada pandemik global kepada perubahan dasar perdagangan, peningkatan perlindungan perdagangan dan ketegangan geopolitik.

“Pada hari ini, konflik di Asia Barat telah mewujudkan kesan berantai terhadap pasaran global, menjejaskan harga tenaga, aliran perdagangan, keputusan pelaburan, rantaian bekalan serta kos operasi. Ia menjadi satu lagi peringatan bahawa perkembangan yang berlaku jauh dari negara kita boleh memberi kesan langsung dan ketara kepada perniagaan di Malaysia,” katanya.

Perniagaan kini sudah mula berdepan dengan gelombang pertama kesan tersebut melalui peningkatan kos logistik, kenaikan harga bahan api dan tenaga serta ketidaktentuan yang lebih besar dalam pasaran global. Namun, sebahagian daripada kesan yang lebih ketara mungkin hanya akan dirasai dalam beberapa bulan akan datang atau bahkan pada tahun hadapan.

“Perniagaan telah menyedari bahawa ketidaktentuan bukan lagi sesuatu yang luar biasa. Ia kini menjadi sebahagian daripada persekitaran operasi. Daya tahan bukan lagi sekadar kelebihan daya saing, tetapi satu keperluan,” tambah beliau.

Malaysia kekal berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan perubahan dalam rantaian bekalan global, integrasi ekonomi serantau dan peningkatan minat pelabur terhadap ASEAN. Tee menambah bahawa tempoh ketidaktentuan turut boleh membuka peluang untuk penyesuaian, inovasi dan pengukuhan kerjasama antara sektor perniagaan dan pembuat dasar. “Seiring dengan ulang tahun ke-189 MICCI pada tahun ini, kami kekal komited untuk memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai ekonomi yang kompetitif, terbuka dan berhubung secara global, di samping terus memainkan peranan sebagai jambatan yang dipercayai antara komuniti perniagaan antarabangsa dan pembuat dasar,” kata Tee