Bank Dunia Semak Naik Unjuran Pertumbuhan KDNK 2022 Malaysia Kepada 6.4 Peratus

KUALA LUMPUR, 27 Sept (Bernama) — Bank Dunia menyemak naik unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi 2022 kepada 6.4 peratus daripada 5.5 peratus yang dijangkakan sebelum ini, didorong peningkatan aktiviti ekonomi pada separuh pertama.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Dunia bagi Malaysia, Apurva Sanghi berkata data menunjukkan ekonomi ini berkembang jauh melebihi jangkaan pada separuh pertama 2022, dipacu oleh penggunaan domestik yang lebih baik dan pertumbuhan eksport yang kukuh daripada sektor elektrik dan elektronik (E&E) serta komoditi.

Beliau berkata prestasi lebih baik yang dicatatkan sektor perkhidmatan, pelancongan dan pembuatan ditambah dengan peningkatan semula yang dialami sektor pembinaan juga menyumbang kepada unjuran lebih baik dan disemak semula itu.

“Kami menjangkakan momentum positif berterusan sehingga separuh kedua…pertumbuhan pada suku ketiga 2022 dijangka meraih manfaat daripada asas rendah suku ketiga 2021 apabila ekonomi menguncup 4.5 peratus,” katanya semasa taklimat media secara maya bertajuk Perkembangan Ekonomi Asia Timur dan Pasifik oleh Bank Dunia pada Selasa.

Beliau berkata permintaan domestik Malaysia disokong baik pada suku kedua, didorong oleh peningkatan yang dialami pasaran buruh serta langkah seperti kenaikan gaji minimum dan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Penggunaan swasta meningkat 18.3 peratus pada suku tersebut didorong oleh peningkatan perbelanjaan ke atas item yang diinginkan seperti restoran dan hotel serta perkhidmatan rekreasi manakala pelaburan meningkat 5.8 peratus dalam sektor swasta dan awam, katanya.

Sanghi berkata risiko kenaikan inflasi, kos sara hidup yang lebih tinggi, kesan pengurangan langkah bantuan tunai dan persekitaran luaran yang lembap boleh menimbulkan risiko negatif pada separuh kedua 2022.

“Bagi ekonomi yang hampir 60 peratus bergantung kepada penggunaan swasta dan dua pertiga pertumbuhan disumbangkan oleh penggunaan swasta, sebarang kejutan terhadap permintaan domestik boleh melambatkan atau menjejaskan momentum pertumbuhan pada separuh kedua tahun ini.

“Justeru, pertumbuhan itu mudah terjejas,” katanya selain mengingatkan bahawa Malaysia perlu memberi tumpuan kepada membina rangka kerja penggalakan pelaburan yang padu untuk meningkatkan pelaburan langsung asing (FDI).

Beliau berkata selain itu, Bank Dunia menyemak turun unjuran pertumbuhan KDNK Malaysia bagi 2023 kepada 4.2 peratus daripada 4.5 peratus yang dibuat sebelumnya ekoran ketidaktentuan yang dialami dalam persekitaran global.

Terdapat cabaran besar daripada ketidaktentuan ekonomi global termasuk perkembangan terkini di Ukraine, kelembapan di China, peningkatan inflasi dalam negara serta kekurangan pekerja yang boleh mengekang Malaysia daripada mencapai potensi penuh, katanya.

Sanghi berkata bagaimanapun, asas-asas Malaysia kekal kukuh, dan berlandaskan status negara sebagai peserta komoditi utama dan E&E serta gangguan rantaian bekalan yang terhad di Asia berbanding Barat, semua ini akan memberikan sokongan kukuh kepada pertumbuhan.

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/bank-dunia-semak-naik-unjuran-pertumbuhan-kdnk-2022-malaysia-kepada-6-4-peratus/

Previous ArticleNext Article

Signature Memperkasa Pusat Kechara Soup Kitchen Di Jalan Imbi Untuk Memperluas Impak Komuniti

KUALA LUMPUR: Signature International Berhad (“Signature”) hari ini memperkenalkan Pusat Dapur Pengagihan Makanan & Pemerkasaan 2-dalam-1 yang pertama seumpamanya diterajui oleh korporat, hasil kerjasama bersama Kechara Soup Kitchen (KSK).

Inisiatif ini menyaksikan pusat KSK di Jalan Imbi dinaik taraf menjadi sebuah kemudahan khusus yang menggabungkan pengagihan makanan dengan pemerkasaan komuniti.

Inisiatif ini mencerminkan kepercayaan Signature bahawa perniagaan mampu mewujudkan impak sosial yang lebih besar dengan menerapkan kepakaran yang telah dibangunkan selama bertahun-tahun.

Bagi Signature, yang telah memberi tumpuan kepada penyediaan ruang kediaman berfungsi selama lebih tiga dekad, projek ini memberi peluang untuk menyumbangkan keupayaan dalam reka bentuk, pembuatan, pemasangan serta pengurusan projek bagi menyokong keperluan KSK yang terus berkembang.

Dilaksanakan menerusi Signature Cares, platform tanggungjawab korporat jangka panjang Kumpulan, inisiatif ini memperluaskan kepakaran Signature melangkaui ruang kediaman dan ke dalam komuniti.

Signature mereka bentuk semula pusat Jalan Imbi berdasarkan keperluan operasi organisasi tersebut, di samping mewujudkan ruang yang mampu menyokong program pemerkasaan pada masa hadapan.

Selama hampir dua dekad, pusat Kechara Soup Kitchen di Jalan Imbi telah menjadi salah satu hab komuniti utama organisasi tersebut, menyediakan makanan, bantuan kebajikan serta sokongan kepada individu dan keluarga yang berdepan kesukaran.

Seiring dengan perkembangan usaha jangkauan komuniti, keperluan terhadap sebuah kemudahan yang mampu menyokong pengagihan makanan secara lebih cekap serta program yang melengkapkan penerima manfaat dengan kemahiran praktikal untuk mencapai kebergantungan diri yang lebih tinggi turut meningkat.

Dengan pengalaman lebih 30 tahun sebagai penyedia penyelesaian Total Home & Living terkemuka di Malaysia, Signature telah mereka bentuk semula dan menaik taraf keseluruhan pusat tersebut berdasarkan keperluan operasi organisasi tersebut bagi menambah baik aliran kerja, fungsi ruang serta pengalaman sukarelawan, kakitangan dan penerima manfaat.

Teras utama usaha pemerkasaan ini ialah Pusat Dapur Pengagihan Makanan & Pemerkasaan 2-dalam-1, sebuah konsep inovatif yang membolehkan ruang khusus yang sama menjalankan dua fungsi saling melengkapi. Dalam operasi harian, pusat ini menyokong penyediaan dan pengagihan makanan secara lebih cekap kepada komuniti yang memerlukan.

Selain perkhidmatan penyediaan makanan, ruang ini turut berfungsi sebagai pusat pemerkasaan yang membolehkan program memasak, membakar serta pembangunan kemahiran lain dijalankan bagi melengkapkan penerima manfaat dengan kebolehan praktikal, meningkatkan keyakinan diri dan membuka laluan ke arah kehidupan yang lebih berdikari dalam
jangka panjang.

Reka bentuk fleksibel ini membolehkan KSK memaksimumkan penggunaan satu kemudahan sepanjang hari, memenuhi keperluan komuniti semasa sambil mewujudkan peluang untuk pelaksanaan program pemerkasaan jangka panjang dalam ruang yang sama.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Signature, Encik Lau Kock Sang, berkata projek ini menunjukkan bagaimana perniagaan boleh mencipta perubahan bermakna dengan memanfaatkan kepakaran yang dimiliki.

“Apabila kami pertama kali mengunjungi pusat Kechara Soup Kitchen di Jalan Imbi, kami melihat sebuah organisasi yang telah berkhidmat kepada rakyat Malaysia yang memerlukan dengan penuh dedikasi selama lebih 20 tahun.

Persoalan bagi kami bukanlah sama ada kami perlu membantu, tetapi bagaimana kami boleh menyumbang dengan cara yang paling bermakna menggunakan kepakaran yang telah kami bina selama lebih tiga dekad.

“Kepercayaan tersebut menjadi asas kepada Signature Cares. Setiap perniagaan memiliki keupayaan yang melangkaui produk atau perkhidmatan yang ditawarkan. Apabila keupayaan tersebut dimanfaatkan untuk memenuhi keperluan komuniti sebenar, ia mampu mencipta nilai berpanjangan yang jauh melangkaui satu-satu projek,” katanya.

Pengurus Besar Kechara Soup Kitchen, Encik Justin Cheah Kok Leong, berkata kemudahan yang telah dinaik taraf ini merupakan pencapaian penting dalam usaha berterusan organisasi tersebut untuk membantu komuniti yang memerlukan.

“Pusat yang telah dinaik taraf ini membolehkan kami menyediakan dan mengagihkan makanan dengan lebih cekap, di samping menyediakan persekitaran khusus untuk program yang membantu penerima manfaat membina kemahiran praktikal serta keyakinan diri. Ia memberikan kami fleksibiliti yang lebih besar untuk memenuhi keperluan semasa sambil melabur dalam usaha pemerkasaan jangka panjang,” jelasnya.

Sebagai sebahagian daripada Inisiatif Sumbangan Bank Makanan Signature (Signature Food Bank Donation Initiative), para Signatorians turut bersama-sama menyumbangkan barangan makanan kering asas berdasarkan senarai keperluan yang disediakan oleh Kechara Soup Kitchen.

Barangan yang dikumpulkan akan diserahkan kepada Kechara Soup Kitchen bagi menyokong usaha berterusan organisasi tersebut dalam membantu komuniti yang memerlukan.

Kerjasama ini menandakan permulaan kepada perkongsian jangka panjang antara Signature dan Kechara Soup Kitchen, dengan kedua-dua organisasi meneroka peluang bagi inisiatif sukarelawan, aktiviti penglibatan komuniti serta program pemerkasaan pada masa hadapan di bawah Signature Cares.