Kuskop Peruntuk RM40 Juta Bantu Usahawan, Koperasi

TANJONG KARANG, 26 Sept (Bernama) — Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) melalui Bank Rakyat memperuntukkan dana sebanyak RM40 juta bagi membantu usahawan dan perniagaan koperasi sektor pendidikan serta masjid.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata inisiatif itu akan disalurkan melalui dua jenis kemudahan pembiayaan iaitu BR ProNiaga dan BR KOPLestari.

Noh berkata, pembiayaan itu seiring dengan saranan kerajaan untuk menawarkan pilihan produk perbankan, khususnya bagi mereka yang terlibat dalam perniagaan.

“BR ProNiaga memperuntukkan sebanyak RM10 juta bagi membantu golongan profesional yang terjejas pendapatannya sebelum ini akibat pandemik COVID-19 dan kini menceburi bidang perniagaan dengan menjadi usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

“Manakala, BR KOPLestari memperuntukkan dana sebanyak RM30 juta bagi membantu melestarikan perniagaan daripada sektor pendidikan seperti koperasi sekolah, koperasi institusi pendidikan tinggi (IPT) koperasi guru serta koperasi masjid yang berdepan dengan pelbagai kekangan untuk meneruskan perniagaan dalam fasa peralihan ke endemik ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan cawangan Bank Rakyat Tanjong Karang di sini hari ini. Yang turut hadir ialah Timbalannya, Datuk Muslimin Yahaya. 

Noh berkata, permohonan pembiayaan itu boleh dibuat bermula hari ini di semua cawangan Bank Rakyat.

“Bagi usahawan mikro, pinjaman yang ditawarkan di antara RM10,000 dan RM50,000 manakala bagi usahawan profesional pula, pinjaman boleh mencecah sehingga RM150,000,” katanya.

Dalam majlis yang sama, Ahli Parlimen Tanjong Karang itu berkata Bank Rakyat turut memperkenalkan produk penulisan wasiat dan rujukan pentadbiran harta pusaka yang dikenali sebagai Wasiat Rakyat dan Pusaka Rakyat yang bertujuan memupuk kesedaran dalam kalangan masyarat tentang kepentingan pengurusan harta semasa masih hidup.

Beliau berkata, baru-baru ini juga bank tersebut turut memperkenalkan produk pelaburan sulung mereka iaitu Akaun Pelaburan-i Rizq Plus Bank Rakyat yang membolehkan pelanggan melabur dalam aktiviti kewangan patuh Syariah.

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/kuskop-peruntuk-rm40-juta-bantu-usahawan-koperasi/

Previous ArticleNext Article

TH Tidak Sepatutnya Isytihar Hibah 2017 RM2.75 Bilion, Amal Perakaunan Kreatif

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) — Lembaga Tabung Haji (TH) tidak sepatutnya mengisytiharkan agihan keuntungan (hibah) tahunan sebanyak 4.50 peratus dan agihan keuntungan (hibah) haji 1.75 peratus yang menelan perbelanjaan sehingga RM2.75 bilion bagi tahun kewangan 2017, menurut Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji.

Dalam Laporan RCI bagi menyiasat isu pengurusan dan operasi ‘TH dari 2014 hingga 2020 yang diterbitkan malam ini, keghairahan TH untuk membayar agihan keuntungan (hibah) yang tinggi sejak 2014 hingga 2017 sehingga melampaui kemampuan kewangan antara faktor yang menyumbang kepada krisis kewangan.

Menurut RCI, pengurusan TH telah membuat amalan perakaunan kreatif bagi pengisytiharan agihan keuntungan (hibah) yang tinggi.

Suruhanjaya mendapati penyata kewangan “TH dari 2014 hingga 2017 telah diberi Sijil Audit Bersih walaupun laporan audit untuk tahun kewangan 2017 ada menyebutkan mengenai “Emphasis of Matter”.

Berkaitan pengauditan Penyata Kewangan TH 2017, RCI menjelaskan Jabatan Audit Negara (JAN) tidak sepatutnya mengeluarkan Sijil Audit Bersih bagi tahun kewangan berkenaan kerana perkara yang dinyatakan sebagai ‘Emphasis of Matter’ sepatutnya dinyatakan sebagai ketidakpatuhan.

Penjelasan mengenai “Emphasis of Matter” itu menunjukkan Ketua Audit Negara (KAN) telah mempertimbangkan perkara di luar skop audit dalam penemuannya ketika mengaudit Penyata Kewangan TH 2017, dan jelas JAN tidak tegas dalam pengauditan penyata kewangan ‘TH.

Jabatan Audit Negara Gagal Tegur

Menurut RCI, ketidaktegasan JAN juga dilihat apabila agensi berkenaan gagal menegur ‘TH berkaitan pemberian keuntungan (hibah) yang tinggi sepanjang 2014 hingga 2017.

Pembayaran agihan keuntungan (hibah) yang tinggi yang dibuat sebelum 2018 telah menyebabkan rizab ‘TH menyusut, tambah RCI.

“Pembayaran agihan keuntungan (hibah) yang tinggi ini telah menarik para pendeposit yang mencari pulangan yang tinggi. Dalam memenuhi jangkaan pendeposit ini menyebabkan TH tergelincir daripada matlamat penubuhannya.

“Ini mendedahkan “TH kepada risiko pendeposit besar yang berpotensi mengeluarkan deposit mereka (bank run) sekiranya agihan keuntungan (hibah) yang diberi oleh TH adalah terlalu rendah,” tambah RCI.

Menurut RCI, perkara itu berlaku pada 2019 selepas pengumuman agihan keuntungan (hibah) pada kadar 1.25 peratus bahawa terdapat pengecutan dalam deposit.

“Saiz deposit ‘TH menurun daripada kira-kira RM 73 bilion sebelum pengumuman agihan keuntungan (hibah) kepada RM69 bilion pada akhir 2019. TH bernasib baik kerana jumlah pengeluaran deposit dan kesannya adalah lebih kecil daripada apa yang dikhuatiri,” tambah RCI.

Menurut RCI, JAN seharusnya membuat teguran mengenai pengisytiharan agihan keuntungan (hibah) yang terlalu tinggi yang bertentangan dengan kemampuan kewangan ‘TH.

— BERNAMA